Sabtu, 27 Mac 2010

JANGAN LARI DARI MASALAH...

BISMILLAHIRROHMANIRROHIM...

Hmm...agak lama saya tidak meng-update blog ni. Mungkin kerana keterbatasan waktu, dan mungkin juga saya memang malas walaupun masa tu saya agak lapang. Selepas lama menyepi...akhirnya saya merajinkan diri ini untuk menekan keyboard laptop dan terus mencoretkan apa yang ingin diluahkan.


MASALAH...hidup ini memang tidak sunyi dari masalah. Samada  masalah itu hadir tanpa diundang atau kita sendiri yang mengundang masalah. Masalah adalah fitrah manusia dan kehidupan. Orang yang tidak pernah menghadapi masalah adalah bermasalah kerana masalahnya ialah dia tidak pernah ada masalah. Atau hakikatnya dia tidak tahu apa masalahnya yang sebenar. Wujudkah manusia yang tidak menghadapi masalah?

 JANGAN LARI DARI MASALAH

Itulah prinsip yang perlu kita pegang apabila kita menghadapi masalah samada ringan ataupun berat. Jangan berhenti berusaha dan mudah menyerah kepada masalah tersebut.Berani dan hadapilah segala permasalahan yang berlaku.

Berkata memang mudah. Untuk melakukan dan merealisasikan apa yang dikatakan sangatlah sulit. Memang begitu! Namun itulah cara yang mesti kita lakukan. Menyerah secara total kepada masalah yang berlaku adalah perbuatan orang yang lemah dan kurang jati diri. Perbuatan tersebut bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah, bahkan mengundang masalah yang lain pula. Secara tidak langsung, ianya akan mengembangkan pemikiran yang negatif iaitu mudah menyerah kalah. Seterusnya, kita mudah lemah, cepat runsing dan mungkin juga membawa kepada gangguan emosi dan jiwa. Na'uzubillahi min zalik!

Pernah dengar kenyataan berkenaan cara menghadapi ketakutan?

Seseorang yang takut kepada kegelapan, cara untuk menghadapinya ialah dia perlu menghadapi kegelapan tersebut. Lama kelamaan masalah itu mampu diatasi secara beransur-ansur.

Jika masalah tersebut tidak mampu diatasi juga, ubahlah cara untuk menghadapinya. Kita perlu kreatif dan sentiasa berfikiran positif. Apa yang menjadi keutamaan ialah jangan mudah mengalah dan berasa letih. Sikap ini perlu dijauhi kerana apabila kita mula menyerah, maka secara tidak langsung kita akan menyerah kalah untuk kali yang kedua, ketiga, keempat dan ke seterusnya. Maka jadilah kita orang yang mudah kalah tanpa mencuba. Alangkah ruginya jika ini yang terjadi kepada kita.

SETIAP MASALAH ADA PENYELESAIANNYA

Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Kunci untuk membuka jalan tersebut ada pada diri kita. Tidaklah Allah menjadikan sesuatu itu hanya untuk sia-sia. Setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi disebaliknya.

Ingatlah janji Allah. "Kamu akan dapat mengikut apa yang kamu usahakan."

Lalu, berusahalah untuk keluar dari masalah yang sedang membelengu anda.

Pernah terfikir, bagaimana masalah ini datang? Pernah cari punca kepada segala permasalahan yang sedang dihadapi tersebut?

Memetik kalam Dr. Ismail Zain : " Lebih banyak kesukaran yang kita tempuhi, semakin banyak peluang yang kita perolehi untuk menyelesaikan kesukaran."

Salah satu kunci untuk merungkai keserabutan dan permasalahan yang sedang dihadapi ialah mencari punca dan titik permulaan masalah tersebut. Apabila sudah dikenalpasti, fikirkan cara untuk menyelesaikannya. Kemudian hadapilah dengan tenang.

Sebenarnya, kita perlu belajar dari permasalahan dan kesilapan yang pernah kita hadapi dan lakukan. Hal ini kerana disitulah terciptanya pengalaman dan peluang untuk keluar dari belengu hidup dan terus mara untuk mencipta kemenangan dan kecemerlangan diri.

MARA DAN TERUS MARA!

Untuk akhirnya...apa yang dapat disimpulkan disini ialah, janganlah kita mudah lemah ketika ditimpa masalah. Apabila kita cuba lari dari masalah,maka permasalahan itu tidak akan pernah berhenti untuk mengejar kita. Ibarat seorang tentera, ditengah kancah peperangan yang menginginkan kemenangan, jika tentera tersebut hanya tahu untuk melarikan diri, sampai ke akhirnya dia tidak mampu untuk menang. Bahkan, kekalahan sahaja yang semakin hampir dengannya. Lalu, cara untuk mencapai kemenangan itu, tentera itu perlu berhadapan dengan musuhnya. Kemenangan akan dicapai samada kemenangan ke atas musuh atau kemenangan melalui kematian iaitu syahid.

Ingin diingatkan juga, sebagai umat Islam, konsep doa,usaha dan tawakkal adalah perkara yang sangat penting. Berakhlaklah sebagaimana akhlak seorang mukmin yang apabila ditimpa masalah,musibah dan ujian terus mencari Tuhannya. Doa adalah senjata mukmin dan kesabaran akan menghasilkan buah iman yang mantap.

"BAYANGAN DALAM PEMIKIRAN PENCORAK TINDAKAN DAN PENENTU DESTINASI KEHIDUPAN"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan