Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah, sudah hampir setengah bulan Muharram kita lalui. Apabila menjenguk ke blog-blog sahabat maya, kebanyakkannya berkisar tentang awal Muharram, fadhilat dan kelebihan, tahun pertama hijrah dan sebagainya. Namun ada beberapa perkara yang mungkin perlu diambil perhatian, iaitu berkaitan tarikh berlakunya hijrah Rasulullah s.a.w ke Madinah dengan bulan pertama dalam taqwim hijrah/hijriah. Ramai yang menyangka bahawa 1 Muharram adalah tarikh berlakunya peristiwa agung penghijrahan Rasul s.a.w dan sahabatnya Abu Bakar r.a dari Makkah ke Madinah. Perlulah diambil perhatian, 1 Muharram bukanlah tarikh berlakunya peristiwa hijrah tersebut, tetapi 1 Muharram adalah permulaan kepada perkiraan bulan di dalam taqwim atau kalendar hijriah. Seperti taqwim masihi, 1 Januari merupakan permulaan atau awal tahun baru di dalam perkiraan kalendar tersebut. Lalu, bilakah tarikh sebenarnya berlaku peristiwa hijrah?
KISAH HIJRAH RASULULLAH S.A.W
Mengikut beberapa riwayat yang terdapat di beberapa kitab sirah, seperti sirah Ibnu Hisyam, kitab sirah Al-Raheeq al-Makhtum dan beberapa kitab sirah yang lain ada menyebut bahawa Rasulullah s.a.w meninggalkan rumahnya pada malam 27 bulan Safar tahun keempat belas kenabian bersamaan 12 atau 13 September tahun 622 Masihi. Baginda terus ke rumah Abu Bakar r.a dan mereka segera beredar keluar dari rumah Abu Bakar dari pintu belakang secepat mungkin sebelum fajar menyingsing.
Mereka tidak terus menuju ke Madinah mengikut jalan biasa iaitu dari arah utara, tetapi Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar r.a telah mengambil jalan yang berada disebelah selatan menghala ke negeri Yaman, baginda mengambil jalan itu yang sejauh lima kilometer hingga tiba ke bukit yang dikenali sebagai Jabal Thur. Mereka bersembunyi di sana selama 3 hari.
Selepas tiga hari berlalu, maka mereka meneruskan perjalanan ke Madinah pada malam Isnin satu hari bulan Rabiul al-Awal, bersamaan 16 September 622 Masihi ditemani seorang penunjuk jalan bernama Abdullah bin Uraiqat.
Selepas beberapa ketika, maka bertepatan pada hari Isnin 8 Rabiul al-Awal tahun 14 kenabian, bersamaan 23 September 622 Masihi, Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar r.a telah tiba di Quba'. Rasulullah s.a.w tinggal di Quba' selama empat hari (Isnin,selasa,rabu dan khamis).Di sini, Rasulullah s.a.w telah mengasaskan masjid Quba', masjid pertama di dalam islam yang didirikan atas dasar taqwa.
Kemudian Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar r.a meneruskan pejalanan dan tiba di Madinah di kalangan Banu al-Najar pada hari Jumaat 12 Rabiul al-Awal bersamaan 27 September tahun 622 masihi.(Ada sesetengah riwayat menyatakan Rasulullah tiba di Quba' pada 20 September 622 masihi dan riwayat lain menyatakan Rasulullah s.a.w tiba di Madinah pada 23 September tahun 622 masihi.) Namun kesemua riwayat bersepakat untuk menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w tiba di Madinah pada bulan Rabiul al-Awal.
SEJARAH TAQWIM HIJRAH
Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar bin Al-Khattab r.a. Ini adalah turutan dari Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya.
Ada satu riwayat lain yang mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa al-'Asy'ari telah mengirimkan surat kepada Saidina Umar r.a minta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya. Maka dengan ini beliau (Umar r.a) mahukan satu kalendar / taqwim Islam yang khas untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu.
Di kalangan bangsa Arab sendiripun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah. Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah s.a.w untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar / taqwim Islam.
Peristiwa tersebut adalah peristiwa hijrah Rasullullah saw dari Makkah ke Madinah. Ini adalah kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada RasulNya dan agama Islam ditegakkan. Hasil dari itu, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil dari pilihan Umar itu.
Di antara kejayaan besar Islam waktu itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Baitul Maqdis dibebaskan dari Rom dan Masjid Al-Aqsa dibangunkan. Setelah Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar Persia dan Romawi, didapati bahawa kalendar ini ternyata lebih baik. Maka dengan itu Umar mengisytiharkan Kalendar Tahun Hijrah adalah Kalendar / Taqwim Islam yang rasmi.
Kalendar Tahun Hijrah ini dimulai dengan bulan Muharram sebagai permulaan perkiraan bulannya. Muharram dipilih sebagai bulan pertama taqwim hijrah kerana tidak ada pertentangan di antara prinsip hjrah dan permulaan tahun berasaskan kiraan peredaran bulan, lalu mereka (Saidina Umar dan beberapa sahabat yang terlibat) mengawalkan dua bulan beberapa hari kalendar hijrah daripada tarikh sebenar berlakunya peristiwa hijrah. Dengan itu, tahun hijrah dikira bermula dengan bulan Muharram.
BULAN-BULAN DI DALAM TAQWIM HIJRAH

Berikut adalah nama bulan Islam dan asal-usulnya (yang kebanyakannya muncul sebelum Islam lagi). Kebanyakan nama tersebut timbul sempena cuaca ketika suatu peristiwa besar berlaku ataupun sempena peristiwa besar tersebut. Walau bagaimanapun, oleh kerana semuanya adalah nama bulan dan bulan berubah 11 hari lebih awal setiap tahun, maka, musim atau peristiwa asal tidak begitu mempengaruhi nama sesetengahnya kini.
- Muharram al-Haram (dipendekkan kepada Muharram – محرّم)
- Bulan ini mengambil perkataan "Haram" yang bermaksud terlarang. Ini disebabkan budaya atau tradisi Arab mengharamkan sebarang peperangan pada bulan ini. Selepas munculnya Islam, Allah meneruskan budaya ini lantas menjadi satu antara empat bulan haram dalam Islam.
- Safar (ﺻﻔﺮ)
- Perkataan in bermaksud tiupan angin. Ketika nama tersebut mula diguna pakai, kemungkinan yang ketika itu adalah waktu yang berangin. Safar juga menunjukkan yang masyarakat Arab (badwi) meninggalkan rumah mereka.
- Rabiul Awwal (ﺭﺑﻴﻊ ﺍﻷﻭﻝ)
- Bulan pertama musim bunga iaitu masa ketika bulan tersebut dinamakan.
- Rabiul Akhir (ﺭﺑﻴﻊ ﺍﻷﺧﻴﺮ/'ﺭﺑﻴﻊ ﺍﻟﺜﺎﻧﻲ)
- Bulan kedua musim bunga.
- Jamadil Awwal (ﺟﻤاﺪ ﺍﻷﻭﻝ)
- Bulan pertama musim panas. "Jumada" bermaksud kering.
- Jamadil Akhir (ﺟﻤاﺪ ﺍﻷﺧﻴﺭ/ﺟﻤاﺪ ﺍﻟﺜﺎﻧﻲ)
- Bulan kedua musim panas. Jamada, juga bulan yang lain juga lebih sejuk, yang membawa maksud telaga menyejuk adalah suatu yang biasa ketika itu.
- Rejab (ﺭﺟﺐ)
- Satu lagi bulan suci yang mengharamkan perlawanan atau peperangan dan salah satu bulan yang dihormati. Ia juga dikenali sebagai Rajab al Fard. Fard bermaksud keseorangan; kerana tiga bulan suci yang lain berada jauh dan berturutan berbanding Rejab di tengah-tengah.
- Syaaban (ﺷﻌﺒاﻦ)
- Bulan ini terbit dari perkataan "syu'ba", bermaksud berpecah/menyimpang. Masyarakat Arab dahulu sering keluar dan berpecah untuk mencari air.
- Ramadhan (ﺭﻣﻀاﻦ)
- Diambil daripada perkataan "ramda", yang bermaksud batu panas. Ini menceritakan ketika nama tersebut diberikan, keadaan amat panas ketika itu.
- Syawal (ﺷﻮﺍﻝ)
- Diambil daripada perkataan yang membawa maksud, apabila unta betina bunting. Ketika nama bulan ini diberikan, lazimnya unta betina bunting pada ketika itu.
- Zulkaedah (ﺫﻭ ﺍﻟﻘﻌﺪة)
- Diambil daripada perkataan "qa'ada" bermaksud untuk duduk. Inilah bulan suci ketiga yang mengharamkan sebarang pertempuran. Kebanyakan orang juga mula menghentikan aktiviti perniagaan mereka untuk duduk dan bersedia untuk menunaikan haji.
- Zulhijjah (ﺫﻭ ﺍﻟﺤﺠة)
- Ini adalah bulan suci terakhir dalam setahun dan dilarang melakukan sebarang pertempuran kerana pada bulan ini, haji dilaksanakan. Perkataan tersebut juga mengambil perkataan "haji" sebagai rujukan nama bagi bulan haji ini.
Diharapkan perkongsian maklumat yang sedikit ini dapat memberi manfaat dan berguna kepada kita pada hari ini dan masa-masa akan datang.
Wallahu a'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan