Jumaat, 31 Disember 2010

PETUA UNTUK MURAH REZEKI DAN DIJAUHKAN DARI KESULITAN


Abu Yazid Al Busthami, pelopor sufi, pada suatu hari pernah didatangi seorang lelaki yang wajahnya kusam dan keningnya selalu berkerut. Dengan  murung lelaki itu mengadu,

"Tuan Guru, sepanjang hidup saya, rasanya tak  pernah lepas saya beribadah kepada Allah. Orang lain sudah lelap, saya masih bermunajat. Isteri saya belum bangun, saya sudah mengaji. Saya juga bukan pemalas yang enggan mencari rezeki. Tetapi mengapa saya selalu malang dan kehidupan saya penuh kesulitan?"

Sang Guru menjawab sederhana,

"Perbaiki penampilanmu dan rubahlah air mukamu. Kau tahu, Rasulullah adalah penduduk dunia yang miskin namun wajahnya tak pernah keruh dan selalu ceria. Sebab menurut Rasulullah, salah satu tanda penghuni neraka ialah muka masam yang membuat orang curiga kepadanya."

Lelaki itu tertunduk. Ia pun berjanji akan memperbaiki penampilannya. Wajahnya senantiasa berseri. Setiap kesedihan diterima dengan sabar, tanpa mengeluh. Alhamdullilah sesudah itu ia tak pernah datang lagi untuk berkeluh kesah. Keserasian selalu dijaga. Sikapnya ramah,wajahnya senantiasa mengulum senyum bersahabat. Roman mukanya berseri.

Tidak hairanlah  jika Imam Hasan Al Basri berpendapat, awal keberhasilan sesuatu pekerjaan adalah riak muka yang ramah dan penuh senyum.Bahkan Rasulullah menegaskan, senyum adalah sedekah paling murah tetapi paling besar pahalanya. 

Demikian pula bagi seorang suami atau seorang isteri. Alangkah celakanya  rumah tangga jika suami isteri selalu berwajah tegang. Begitu juga didalam pergaulan seharian kita bersama sahabat-sahabat dan masyarakat. Riak muka yang masam akan menyebabkan diri seseorang sukar didekati dan menyebabkan seseorang itu dituduh sebagai sombong. Cubalah untuk sentiasa tenang dan memaniskan muka. Sebab tidak ada persoalan yang dapat diselesaikan dengan mudah melalui kekeruhan dan ketegangan. Dengan hati yang tenang, fikiran yang bersih dan wajah yang cerah, Insya Allah, apapun persoalannya nescaya dapat diatasi. .

"Keriangan mampu tergambar pada wajah,namun tidak mungkin pada hati,segalanya bukan sengaja,tapi ia adalah ketentuan illahi,Allah menjauhkan hati dari wajah adalah rahmat yang tidak terhingga...walau duka dalam hati,namun ia masih bisa menguntumkan senyuman pada wajah, lantas insan sekeliling jua tersenyum.SENYUM ITU BARAKAH"

Sabtu, 6 November 2010

AL-QURAN MELEMAHKAN MUSUH

Mukjizat merupakan sesuatu perkara yang menyalahi apa yang biasanya berlaku, ampuh daripada sebarang cabaran pencabarnya dan ia merupakan anugerah Allah kepada rasul-rasulNya di dalam membuktikan kebenaran kepada kenabian dan kerasulan mereka.

    Al-Quran merupakan mukjizat paling besar kepada nabi Muhammad S.A.W dan berkekalan sehingga hari qiamat. Jika kita merujuk kepada beberapa buah kitab samaada yang turasi(tua) ataupun mua'sarah(terkini), kita akan dapati bagaimana muallif kitab itu membincangkan bagaimana Al-Quran melemahkan mereka yang telah, sedang dan akan mencabarnya melalui beberapa kriteria yang tertentu. Di sini akan disentuh secara ringkas kriteria-kriteria berikut untuk maklumat kita bersama.
I'jaz bayani (susunan dan kehalusan bahasa)

    Kriteria ini merupakan kriteria yang utama daripada yang lain kerana pengutusan nabi Muhammad S.A.W ditengah-tengah masyarakat arab yang tinggi bahasanya dari sudut balaghah, fasohah dan kehalusan bahasa arab. Jika difikirkan bagaimana Rasulullah S.A.W mampu menulis Al-Quran sebagaimana yang didakwa oleh musyrikin sedangkan dia seorang yang buta huruf dan tidak pernah belajar daripada intelek arab pada masa itu. Ini menunjukkan kepada kita bahawa al-Quran itu merupakan mukjizat bukannya hasil penulisan Rasululllah S.A.W sendiri. Ramai generasi sekarang kurang merasai kehalusan dan kesenian serta kelebihan Al-Quran dari sudut bayani kerana bahasa arab sekarang dimasuki unsur-unsur luar. Al-Quran telah menjadi rujukan utama ulama' lughah di dalam mengetahui kaedah nahu, balaghah dan sebagainya. Kita sebagai seorang muslim hendaklah mendalami ilmu tersebut kerana ia akan menimbulkan kesan yang mendalam dilubuk hati kita apabila melihat susunan, kehalusan, kesenian, balaghah dan fasohah lughah Al-Quran yang tiada tandingannya. Bagaimana seseorang itu hendak merasai keindahan Al-Quran dari sudut bayani melainkan dia tahu dan faham dengan ilughah arabiah. Al-Quran telah mencabar pencabarnya pada lima tempat iaitu:

1. Ayat 23-24 surah al-Baqarah yang bermaksud :Dan kamu tetap dalam keraguan berkenaan al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami Muhammad S.A.W, buatlah satu surah sahaja seumpama al-Quran dan ajaklah pembantu-pembantu selain Allah jika kamu orang-orang yang benar.

2. Ayat 37-39 surah Yunus yang bermaksud : Tidak mungkin al-Quran itu dibuat oleh mereka selain Allah,akan tetapi al-Quran itu telah membenarkan kitab-kitab sebelumnya dan menjelaskan hukum-hukum yang telah ditetapkannya.Tiada keraguan padanya,diturunkan dari Tuhan semesta alam. Atau patutkah mereka mengatakan : ''Muhammad telah membuatnya''. Katakanlah:''Jika benar apa yang kamu dakwa itu maka cuba datangkan satu surah seumpamanya dan ajaklah sesiapa yang yang dapat kamu panggil untuk membuatnya selain allah jika kamu orang-orang yang benar.

3. Ayat 12-14 surah Hud yang bermaksud : Maka kemungkinankamu hendak meninggal sebahagian daripada apa yang diwahyukan kepadamu dan kerananya dadamu terasa sempit, disebabkan resah mereka mengatakan : '' Mengapa tidak diturunkan padanya perbendaharaan atau datang bersamanya seorang malaikat?''. Sesungguhnya kamu hanyalah seorang pemberi peringatan dan Allah Maha pemelihara segala sesuatu. Bahkan mereka mengatakan : '' Muhammad telah membuat al-Quran itu''. Katakanlah :'' Jika demekian maka datangkanlah sepuluh surah yang dibuat seumpamanya dan serulah orang-orang yang kamu sanggup mengajaknya untuk bersamamu selain Allah jikakamu orang-orang yang benar.

4. Ayat 86-88 surah al-Isra' yang bermaksud : Dan sesungguhnya jika kami menghendaki nescaya Kami lenyapkan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan dengan dengan pelenyapan itu kamu tidak akan mendapati seorang pembela pun terhadap Kami. Kecuali kerana rahmat dari Tuhanmu. Sesungguhnya kurniaan ke atasmu adalah besar. Katakanlah : '' Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat seumpama al-Quran ini maka mereka tidak kan mampu untuk membuat seumpamanya sekalipun sebahagian daripada mereka menjadi pembantu untuk sebahagian yang lain.

5. Ayat 33-34 surah at-Tur yang bermaksud : Ataukah mereka mengatakan : '' Dia iaitu Muhammad membuatnya''. Sebenarnya mereka tidak beriman. Maka hendaklah mereka mendatangkan kalimah (satu ayat lengkap)seumpama al-Quran itu jika mereka orang-orang yang benar.

Walaupun ada yang cuba menyahut cabaran ini tetapi mereka tidak mampu seperti Musailamah al-Kazzab. Pada masa kini ada golongan orientalis barat yang cuba menulis lima surah palsu tetapi apabila dikaji dari sudut bahasa dan keseniannya agak tersasar jauh dari Al-Quran disamping apa yang ditulis menunjukkan penafian adanya mukjizat pada hasil tulisan mereka apabila dalam kebanyakan ayat, Rasulullah S.A.W telah menghina diri sendiri sebagai pengkhianat dan orang gila sedangkan salah satu syarat mukjizat ialah mesti mempertahankan rasul atau nabi yang menunjukkan sesuatu mukjizatnya bukan menafikannya. Jika tidak fahami lughah dan kesenian serta buta bahasa arab, kita tidak mungkin merasai kepalsuannya. Sesungguhnya Allah tetap menjaga Al-Quran daripada musuh-musuhnya. Imam Syafi'e telah berkata bahawa mereka yang pakar dengan bahasa arab ini adalah jin manusia yang mana mereka nampak apa yang orang lain tidak nampak. Ini membawa maksud bahawa jin mampu melihat apa yang tidak dapat dilihat oleh manusia biasa. Maka begitulah juga dengan pakar bahasa arab mampu melihat pada nas atau petikan yang mana orang biasa tidak dapat melihatnya. Ini kerana mereka melihat dari sudut makna yang mana orang biasa tidak mampu melihatnya.

I'jaz ilmi
    Kriteria ini menunjukkan kepada kita bagaimana Al-Quran telah melemahkan pencabarnya dari sudut perbahasan ilmiah. Bagimana seorang rasul yang tidak pernah belajar mengenai angkasa lepas serta kedoktoran mampu bercakap atau menulis mengenai perkara tersebut melainkan ia merupakan mukjizat yang dianugerahkan oleh Allah kepada baginda S.A.W. Mengenai perjalanan matahari misalnya para ahli sains menyatakan bahawa bumi mengelilingi matahari yang mana matahari berkedudukan tetap sedangkan di dalam Al-Quran melalui ayat 38 surah Yasin, Allah berfirman : Dan matahari bergerak di atas paksinya, Itu menunjukkan kekuasaan Allah Yang maha hebat dan bijaksana. Al-Quran juga memberitahu kepada kita bagaimana kejadian janin manusia di dalam perut ibunya melalui beberapa ayat seperti ayat 14 surah al-Mukminun yang bermaksud : Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu dari segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, lalu dari segumpal daging itu kami tulang belulang, lalu dari tulang belulang itu Kami saluti dengan daging. Kemudian Kami jadikan ia makhluk yang berbentuk lain. Maka Maha Suci Allah pencipta yang paling baik. Begitu juga dengan proses hujan yang dinukilkan dalam Al-Quran melalui ayat 43 surah an-Nur yang bermaksud :

Tidakkah kamu memerhatikan bagaimana Allah mengarakkan awan kemudian mengumpulkan antara bahagian-bahagiannya, kemudian menjadikannya bertindih-tindih, maka kelihatanlah olehmu hujan keluar dari celahannya dan Allah juga menurunkan butiran air dari langit iaitu dari gumpalan awan seperti gunung-gunung maka dicurahkan air tadi kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan dipalingkan daripada sesiapa yang dikehendakiNya. Kilauan kilat awan itu hampir-hampir menghilangkan penglihatan.
 
 I'jaz tasyri'e (perundangan)

    Kriteria ini membuktikan bagaimana Al-Quran membincangkan perundangan rabbani yang adil dan sesuai dijalankan sepanjang masa. Tidak mungkin seorang nabi yang diketahui buta huruf yang mana kebanyakan waktunya dihabiskan dengan memelihara kambing dan berniaga mampu untuk menulis perundangan yang sempurna ini melainkan ia merupakan mukjizat. Walaupun telah ramai yang cuba mencipta dan menjalankan sistem perundangan dan pemerintahan yang berdasarkan komusisme, sosialisme, sekularisme dan ideologi yang lain tetapi semuanya menemui kegagalan kerana perundangan Al-Quran tetap melemah dan menggagalkan pencabarnya. Antara perundangan yang terkandung dalam Al-Quran ialah berkaitan dengan solat, puasa, zakat, haji, pembahagian harta pusaka, kekeluargaan, hukum hudud, qisas, pemilihan pemimpin dan sebagainya. Kita melihat bagaimana barat sendiri mengakui perundangan Al-Quran adalah yang terbaik dan sempurna seperti hukuman 100 rotan untuk penzina yang belum berkahwin merupakan satu-satunya jalan untuk mengubati penyakit Aids(bala). Manakala bagi mereka yang sudah berkahwin maka tiada jalan lagi kerana mereka memang tiada peluang lagi untuk selamat daripada penyakit itu melainkan direjam sehingga mati. Begitu juga Islam menjaga maruah seseorang daripada di’aibkan walaupun dia bersalah selagi mana dia tidak dihukum melalui hukum li’an, qazaf, zihar dan beberapa hukum yang lain.
Ini membawa kepada penjagaan maruah pesalah dan keluarganya dan mengelakkan orang ramai daripada membuat tuduhan tanpa bukti dan saksi.
Kita juga pernah membaca bagaimana kerajaan Amerika Syarikat cuba mengharamkan peminuman, pembelian, penjualan, pengeluaran dan pengedaran arak pada tahun1930. Mereka mengemukakan pelbagai cara melalui penyelidikan yang teliti dan perbahasan ilmiah mengenai bahayanya arak untuk disebarkan kepada rakyat mengenainya. Media massa digunakan sepenuhnya untuk menerangkan mengenai perkara ini yang mana tujuan ini menelan belanja sebanyak US65 juta dan pencetakan sahaja meliputi US9 juta dan 4 juta lebih bagi tujuan pelaksanaan undang-undang ini. Menurut laporan dari bahagian penyelidikan dan pengkajian menunjukkan kesan pelaksanaannya antara Oktober 1933 telah menyebabkan 200 orang dihukum bunuh, seramai setengah juta orang dipenjara dan rampasan kepada arak mencapai angka US 1.5 juta serta denda yang dikenakan kerana kesalahan ini berjumlah US400 juta. Akhirnya undang-undang ini terpaksa dibatalkan pada akhir tahun 1933memandang mereka kehilangan banyak nyawa dan juga denda yang dilakukan tidak mampu membendung masalah arak ini. Ini adalah kerana undang-undang yang dicipta oleh tangan manusia tidak mampu menimbulkan keinsafan dan juga tiadanya perhubungan antara duniawi dan ukhrawi tidak sepertimana hukum Allah yang Maha Adil dan memberi kesan kepada makhlukNya. Hukuman sebat sebanyak 80 rotan ke atas peminum arak sebagaimana yang ditetapkan oleh Islam mampu menginsafkan mereka yang terlibat dan mampu pula untuk mencegah orang lain dari terjerumus dalam kesalahan yang sama. Ia juga dilaksanakan dihadapan ramai bukannya di bilik khas yang mana hanya pegawai yang bertugas dan pesalah sahaja yang tahu azabnya seksaan yang dijatuhkan ke atasnya. Bilakah kita mampu merasai keadilan hukum Allah? Ia adalah kewajipan kita bersama di dalam melaksanakannya.

I'jaz tarikhi

Kriteria ini membuktikan kepada kita bagaimana Al-Quran membawa pelbagai berita dan kisah  yang berkaitan dengan perkara yang silam, sekarang dan akan datang. Di sini dibahagikan contoh kepada 3 bahagian bersesuaian dengan apa yang telah, sedang dan akan berlaku.
.
PERTAMA :
Al-Quran telah merakamkan bagaimana Firaun apabila hampir tenggelam telah mengaku beriman kepada Allah tetapi taubatnya tidak diterima melalui ayat 90-92 surah Yunus yang mana maksud Allah berfirman : Dan Kami memungkinkan bani Israel menyeberangi laut laulu mereka diikuti oleh Firaun dan bala tenteranya kerana mereka mahu menganiayai dan menindas sehingga apabila Firaun hampir lemas berkatalah dia :" Aku percaya bahawa tiada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai oleh bani Israel dan aku termasuk oarang-orang yang berserah diri kepada Allah. Adakah sekarang engkau baru percaya sedangkan sebelum ini engkau telah mendustaiNya dan engaku termasuk dalam golongan mereka yang melakukan kerosakan. Maka pada hari ini Kami selamatkan badanmu agar dapat menjadi pengajaran kepada umat selepasmu dan sesungguhnya kebanyakan manusia alpa dengan tanda kekuasan Kami. Ayat ini juga menerangkan bagaimana tubuh Firaun tidak hancur ditelan ombak atau dimakan oleh ikan tetapi sebaliknya jasadnya telah dibawa oleh ombak ke tepian pantai untuk disaksikan oleh kaumnya bagaimana Firaun yang sebelum ini mengaku tuhan telah mati lemas dan telah dibinasakan dengan cara yang hina. Jasad ini dipercayai masih wujud bersama-sama mumia yang lain di muzium Mesir melalui kajian beberapa orang pakar dari barat. Ini menunjukkan kepada kita  mukjizat Al-Quran dan menafikan ia adalah tulisan nabi S.A.W. Selain itu Al-Quran turut merakamkan tentang umat dan rasul serta nabi sebelum baginda S.A.W untuk menjadi renungan bukannya sekadar dibaca sahaja. Jika kita perhati dan baca dengan penuh pemerhatian maka kita dapati cerita di dalam al-Quran ada yang hanya terdapat dalam satu surah dan ada yang terdapat dalam beberapa surah yang lain. Allah juga menceritakan perkara ini secara rambangnya jika kita teliti, cerita ini putus-putus dan tidak secara penuh sebaliknya Allah menceritakannya pada sesuatu keadaan yang penting dan boleh diambil pengajaran sahaja. Ini membezakan al-Quran dengan buku sejarah atau buku cerita yang lain.

KEDUA :
Al-Quran telah menjelaskan kepada kita mengenai tentang sifat Allah, malaikat, jin, syurga dan neraka serta keadaan alam barzakh dan sebagainya untuk renungan kita bersama. Antara contoh yang kita akan dapati ialah melalui penerangan serba sedikit mengenai keadaan di dalam syurga melalui firmanNya dalam ayat 25 surah al-Baqarah yang bermaksud : Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang beriman dan berbuat kebaikan bahawa mereka disediakan syurga yang mana mengalir air di dalamnya. Setiap mereka akan dianugerahi buah-buahan syurga lalu mereka menyatakan : inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu. Mereka diberikan buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya. Ini membuka mata kita bahawa jika ia merupakan tulisan manusia maka dia tidak mungkin mampu menceritakan sifat syurga sebagaimana tersebut dalam ayat ini.

KETIGA  :
Al-Quran telah memberitahu tentang kemenangan yang akan dicapai oleh tentera Rom ke atas Parsi dalam tempoh beberapa tahun sebagaimana ayat 1-6 surah al-Rom yang bermaksud :
Alif Laam Miim. Telah dikalahkan kuasa Rom. Di negeri yang terdekat dan mereka sesudah itu kan diberikan kemengan kembali. dalam beberapa tahun lagi Bagi Allahlah segala urusan sebelum ini dan sesudah mereka mencapai kemenangan. Dan pada hari kemenangan kuasa Rom itu bergembiralah orang yang beriman. Kerana pertolongan Allah. Dia menolong sesiapa yang dikehendakiNya. Janji yang sebenar-benar itu dari Allah. Allah tidak  akan memungkiri janjiNya tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
            Banyak lagi kisah yang seumpama ini seperti kemenangan yang bakal dicapai oleh orang muslimin dan sebagainya untuk renungan dan menambah keyakinan tentang mukjizat al-Quran dan kebenaran kenabian nabi Muhammad S.A.W dan agama Islam yang dibawa oleh baginda S.A.W.

I'jaz 'adadi (bilangan)

                 Kriteria ini menunjukkan bagaimana Al-Quran telah memastikan bahawa ia merupakan merupakan mukjizat dari sudut bilangan sama ada ayat, surah dan jumlah perkataan yang tidak berubah dan kekal sehingga hari qiamat. Apabila adanya golongan yang cuba menambah beberapa surah Al-Quran maka dengan sendirinya kita dapat tahu bahawa ia adalah surah palsu kerana melebihi jumlah surah Al-Quran yang sebenar iaitu 114 surah disamping bertambahnya bilangan ayat dan jumlah kalimah.
         Inilah serba ringkas perbincangan mengenai kriteria i'jazul Quran. Semoga penerangan yang serba ringkas ini mampu memberi serba sedikit maklumat mengenai kriteria penting bagaimana Al-Quran mampu melemahkan musuh-musuhnya dari dahulu sehingga sekarang.
 
Rujukan :
1. Al-Bayan fi I'jazul Quran karangan Profesor Solah Al-Khalidi cetakan Darul Qalam
2. Al-I'jazul Quranul Karim karangan Profesor Fadhil 'Abbas dan anak perempuannya cetakan Darul Furqan

Isnin, 27 September 2010

Doa Taubat (Astaghfirullah) - Pelajar Madrasah Al-Junied Islamiah Singapura

 
Bismillahirrohmanirrohim...

Semoga alunan zikir taubat ini dapat melembutkan hati yang keras,
menghidupkan hati yang mati,
menambahkan rasa kebesaran Allah di dalam diri,
meningkatkan rasa keimanan dan ketakwaan terhadap Robul Jalil,

Hati yang hidup tidak akan mudah dimasuki anasir kotor,
manakala hati yang mati..mudah tersasar dari landasan yang benar.
Ibarat ikan di laut,
air laut yang masin tidak mampu untuk memasinkan ikan,
biar berpuluh-puluh tahun ia di dasar lautan,
namun...
apabila di darat...secubit garam pun bisa memasinkan isi ikan tersebut.

Hati yang khusyu' dalam mengingati Allah akan sentisa berada dalam ketenangan,
biar badai dan ribut melanda jasad di luar...
namun hati tersebut tetap tenang dalam dakapan kalimah Tuhan.
الا بذكرالله تطمئن القلوب

Ya Allah...
Redhoilah kam sebagai hambaMu,
Janganlah dijauhkan rahmatMu dari kami,
Sesungguhnya...
Hanya kepadaMu lah kami memohon keampunan.

Amin ya robbal 'alamin....

Ahad, 25 Julai 2010

QASIDAH AL-MUHAMMADIAH....

video

Sedikit pengenalan tentang pengarang Qasidah Al-Muhammadiah yang masyhur ini. Beliau ialah Imam Muhammad Al-Busiri. Dilahirkan di sebuah kampung yang bernama Busair pada tahun 608H. Gelaran Al-Busiri yang terdapat pada namanya diambil sempena nama kampung tempat beliau dilahirkan. Merupakan seorang yang pakar dalam kesasteraan (Adab) dan juga syair.

Imam Muhammad Al-Busiri telah mengarang sebuah qasidah untuk menunjukkan kecintaannya kepada Nabi Muhammad s.a.w. Pada ketika itu, beliau dalam keadaan lumpuh anggota badannya. Ditakdirkan Allah, beliau telah didatangi oleh Baginda Rasululllah s.a.w ketika tidur dan Rasulullah s.a.w telah menyempurnaan rangkap bait qasidah yang tidak sempurna. Rasulullah s.a.w juga telah mengusap tangannya yang mulia ke badan Imam Muhammad Al-Busiri, lalu apabila beliau bangun dari tidur, tubuh beliau telah sihat dari penyakit lumpuh.

Beliau merupakan salah seorang ulama' kebanggaan rakyat Mesir. Maqamnya terletak di sebuah masjid di Iskandariah, Mesir.

Maqam Imam Muhammad Al-Busiri di Iskandariah.

Terjemahan bait-bait Qasidah Al-Muhammadiah.

Nabi Muhammad s.a.w itu adlah sebaik-baik orang Arab dan Ajam(selain dari Arab).
Nabi Muhammad s.a.w itu adalah sebaik-baik orang yang berjalan di atas kaki.
Nabi Muhammad s.a.w itu penyebar perkara ma'ruf dan berakhlak dengannya.
Nabi Muhammad s.a.w itu yang memiliki ihsan dan kemuliaan.
Nabi Muhammad s.a.w itu adalah mahkota para pesuruh Allah sekaliannya.
Nabi Muhammad s.a.w itu benar dalam kata-kata dan bicaranya.
Nabi Muhammad s.a.w itu benar dalam janji bahkan sentiasa menjaganya.
Nabi Muhammad s.a.w itu punyai akhlak terpuji dan elok sifatnya.
Nabi Muhammad s.a.w itu kejadiannya disertai dengan nur.
Nabi Muhammad s.a.w itu akan sentiasa bercahaya sejak azali.
Nabi Muhammad s.a.w itu hakim pada keadilan yang mempunyai kemuliaan.
Nabi Muhammad s.a.w itu asal tempat lahirnya nikmat-nikmat dan hikmah-hikmah.
Nabi Muhammad s.a.w itu adalah sebaik-baik makhluk Allah s.w.t dari zuriat Mudhar.
Nabi Muhammad s.a.w itu adalah sebaik-baik pesuruh Allah s.w.t semuanya.
Nabi Muhammad s.a.w itu agamanya benar yang kita beragama dengannya.
Nabi Muhammad s.a.w itu sangat elok rupa dan peribadi di atas bukit.
Nabi Muhammad s.a.w itu dengan mengingatinya menjadi roh kekuatan pada diri kita.
Nabi Muhammad s.a.w itu dengan syukur kepadanya menjadi kewajipan ke atas umat.
Nabi Muhammad s.a.w itu penghias dunia dan keelokannya.
Nabi Muhammad s.a.w itu pembuka kesempitan dan kegelapan.
Nabi Muhammad s.a.w itu penghulu yang hebat perjalanan hidupnya.
Nabi Muhammad s.a.w itu dijadikan Allah s.w.t Yang Maha Pemurah dengan segala nikmatNya.
Nabi Muhammad s.a.w itu makhluk pilihan dari kalangan makhluk dan yang sebaik-baiknya.
Nabi Muhammad s.a.w itu suci dari segala tohmahan.
Nabi Muhammad s.a.w itu menyukai para tetamu kerana memuliakannya.
Nabi Muhammad s.a.w itu kekasih Allah s.w.t dan Allah s.w.t tidak pernah menzalimi.
Nabi Muhammad s.a.w itu menjadi tenang dunia dengan perutusannya.
Nabi Muhammad s.a.w itu datang dengan mukjizat dan hikmah-hikmah.
Nabi Muhammad s.a.w itu pada hari dibangkitkan manusia akan menjadi pemberi syafaat kepada kita.
Nabi Muhammad s.a.w itu cahayanya menunjuki kegelapan.
Nabi Muhammad s.a.w itu membawa rislah Allah s.w.t yang mempunyai keazaman yang kuat.
Nabi Muhammad s.a.w itu penutup kepada para Rasul sekaliannya.

Rabu, 26 Mei 2010

SEMUA ADA....

Subhanallah...
Alhamdulillah...
Allahu Akhbar...

Al-Quran merupakan kitab Allah s.w.t yang diwahyukan kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w melalui malaikat Jibril a.s. Merupakan kitab yang terakhir diturunkan kepada penutup sekalian nabi dan rasul. Mukjizat agung Rasulullah s.a.w yang kekal dan terpelihara sehingga hari kiamat.

Telah dikeluarkan daripada Imam Al-Baihaqi daripada Hasan katanya : "Sesungguhnya Allah s.w.t telah menurunkan 104 kitab, terkandung segala ilmunya di dalam 4 kitab iaitu Taurat, Injil, Furqan dan Zabur.Kemudian terkandung segala ilmu dalam 3 kitab kedalam satu kitab, iaitu Al-Furqan (Al-Quran)."

Ini bermakna semua ilmu yang terdapat didalam 104 kitab yang terawal dan 3 kitab selepasnya iaitu Taurat, Injil dan Zabur terkumpul semuanya di dalam satu kitab yang agung, kitab yang menjadi mukjizat maknawi dan kitab yang terakhir kepada rasul terakhir iaitu kitab Al-Quran. Cukup menakjubkan!

Al-Imam Asy-Syafie r.a berkata : "Semua yang dikatakan oleh umat ini adalah penjelasan dari As-Sunnah, dan keseluruhan As-Sunnah adalah penjelasan dari Al-Quran."

Dan beliau juga berkata: "Semua yang diputuskan oleh Rasulullah s.a.w merupakan apa yang difahami dari Al-Quran."  Dan ini dita'kidkan lagi dengan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : "Aku tidak menghalalkan kecuali apa yang dihalalkan oleh Allah dan aku tidak mengharamkan kecuali apa yang diharamkan  oleh Allah di dalam kitabNya." (Imam Syafie r.a meriwayatkan lafaz ini dari kitab Al-Umm.)

Sa'id bin Jubair berkata :"Aku tidak mendengarkan hadith Rasulullah s.a.w yang sampai kepadaku kecuali aku mendapatkan ada pembenarnya di dalam Kitab Allah."

Ibnu Mas'ud berkata : "Jika aku menceritakan kepada kalian sebuah hadith, maka aku memberitahukan kepada kalian bahawa pembenarnya adalah dari Kitab Allah."

Telah berkata Imam Asy-Syafie r.a : "Tidak ada seuatu pun yang baru dalam urusan agama yang dialami oleh hamba, kecuali dalil yang menunjukkannya di dalam Al-Quran. Jika ada yang mengatakan bahawa ada sebahagian hukum yang sejak dari mula ditetapkan Sunnah, maka kami mengatakan bahawa hal itu pada asalnya diambil dari Al-Quran. Hal ini kerana Al-Quran mewajibkan kita untuk mengikuti Sunnah Rasulullah s.a.w dan berpegang teguh dengannya."

Tidak dapat disangkal lagi bahawa semua perkara terdapat di dalam Al-Quran. Daripada urusan dunia sehinggalah kepada urusan akhirat. Daripada sebesar-besar perkara, hingga kepada perkara yang kecil. Sehinggakan bilangan roti yang dapat dibuat dari seguni tepung juga disebutkan di dalam al-Quran.

Diceritakan. telah datang seorang lelaki kepada Imam Asy-Syafie r.a dan bertanya adakah didalam Al-Quran terdapat dalil mengenai berapakah bilangan roti yang dapat dibuat daripada seguni tepung. Lalu Imam Asy-Syafie r.a membawa lelaki tersebut kepada pembuat roti lalu bertanyakan kepada pembuat roti berkenaan soalan lelaki tersebut. Maka dijawab oleh pembuat roti bahawa jumlah roti yang dapat dihasilkan dari seguni tepung ialah 100 keping roti. Lalu lelaki tadi berkata, aku tidak nampak pun perkara ini disebutkan di dalam Al-Quran. Jawab Imam asy-Syafie..."Bertanyalah kepada orang yang mengetahui jika kamu tidak tahu" yang merupakan maksud sebahagian ayat yang terdapat di dalam Al-Quran.

Pada suatu ketika, Imam Asy-Syafie r.a berkata : "Tanyalah kepadaku apa yang kamu inginkan, aku akan menjawabnya dari Al-Quran." Maka ada yang bertanya, " Apakah pendapatmu, seseorang yang berihram dan kemudiannya dia membunuh lebah?" Lalu dijawab oleh Imam Asy-Syafie r.a dengan dalil Al-Quran, yang bermaksud, "Apa yang diberikan Rasul kepadamu terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya tinggalkanlah ia." Surah Al-Hasyr ayat 7.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :"Ikutilah dua orang sepeninggalanku iaitu Abu Bakar dan Umar"

Al-Imam Bukhari meriwayatkan dari Ibnu Ma'sud, :"Allah melaknat sesiapa yang bertatu dan melakukan perbuatan tatu, para wanita yang mencabut bulu diwajah, yang mengikir atau mengikis gigi untuk tujuan mencantikkan kerana semuanya termasuk di dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah s.w.t" Maka telah bertanya seorang wanita daripada Bani Asad, : "Sesungguhnya aku mendengar kamu melaknat yang demikian dan demikian." Lalu dijawab oleh Ibnu Mas'ud, : "Mengapa pula aku tidak melaknat apa yang dilaknat oleh Rasul s.a.w, an laknat itu terdapat di dalam Al-Quran!". Wanita itu berkata, :"Aku telah membaca Al-Quran keseluruhannya, tapi aku tidak menemuinya". Dijawab oleh Ibnu Mas'ud :"Jika kamu telah membacanya, kamu akan menemuinya. Tidakkah kamu membaca firman Allah s.w.t : yang bermaksud:"Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkannya".

Wanita tersebut menjawab :"Ya". Ibnu Mas'ud pun berkata, :"Maka sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah melarangnya."

Ibnu Mujahid telah berkata, :"Tidak ada sesuatu apa pun didalam alam ini kecuali semuanya terkandung didalam Al-Quran". Seseorang telah bertanya, "Dimanakah disebutkan perkataan warung didalam Quran?" Jawab Ibnu Mujahid, Allah s.w.t berfirman yang maksudnya, "Tidak ada dosa atasmu memasuki rumah yang tidak disediakan untuk didiami, yang di dalamnya ada keperluanmu".

"Itulah warung." (Hal ini kerana, warung,kedai,super market atau lain-lainnya adalah tempat awam dan tidak perlukan keizinan tuannya untuk masuk)

MasyaAllah...betapa hebatnya Al-Quran yang merupakan kalam Allah. Sehinggakan ada sebahagian ulama' membuat kesimpulan kewafatan Nabi s.a.w pada usia 63 tahun, tahun 11 hijrah juga diketahui dari Al-Quran.

Apa buktinya?

Surah Al-Munafiqun, surah keberapa turutannya di dalam Al-Quran? Jawapannya 63, sama seperti umur Nabi s.a.w ketika wafat.

Ada berapa ayat? Jawapannya 11 ayat.

Ayat yang terakhir yang bermaksud : "Allah s.w.t tidak akan sesekali menangguhkan kematian seseorang apabila datang waktu kematiannya".

Bertepatan dengan tahun 11 hijrah.

Kemudian selepas Surah Al-Munafiqun adalah Surah At-Taghabun(Tipu menipu) yang merupakan salah satu nama daripada hari kiamat. Kerana pada hari kiamat akan berlaku tipu menipu dan rugi merugikan.

Bersesuaian dengan kewafatan Nabi s.a.w yang menunjukkan kiamat akan berlaku selepasnya. Tidak akan ada rasul dan nabi selepas Nabi Muhammad s.a.w, tidak ada kitab lain yang akan diturunkan selepas kitab Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi s.a.w. Sesungguhnya, hari kiamat akan berlaku selepas kewafatan Nabi s.a.w.

Allahu akhbar!

Alangkah ruginya apabila kita membaca Al-Quran, tetapi tidak cuba untuk memahami apa yang tersirat didalamnya. Allah s.w.t telah mengkhabarkan semuanya didalam Al-Quran. Hanya bergantung kepada kita untuk menceduk dan menggali isinya.

"Sebaik-baik dari kalangan kamu ialah mereka yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya"

Sabtu, 22 Mei 2010

SEDEKAH ORANG YANG SIHAT

Daripada Abi Hurairah r.a telah berkata : Telah datang seorang lelaki kepada Nabi s.a.w lalu berkata : Wahai Rasulullah, sedekah manakah yang paling besar pahalanya? Lalu Rasulullah s.a.w bersabda : " Kamu bersedekah dan kamu dalam keadaan yang sihat dan kedekut kerana kamu takut untuk jadi faqir dan kamu bercita-cita untuk jadi kaya, lalu janganlah kamu menangguhkannya sehingga apabila telah sampai nyawa di halkum maka kamu katakan kepada si fulan begini, dan kepada si fulan begini dan sesungguhnya kepada si fulan begini."  Muttafaq 'alaih.

Hadis keempat dalam bab Mubadarah ilal khairat (bersegeralah kepada kebaikkan).

Maksud dan pengajaran hadis :

Sesungguhnya sedekah orang yang sihat lebih baik dari sedekah orang yang sedang sakit kerana orang yang dalam keadaan sihat selalunya bersangatan kedekutnya terhadap manusia. Maka apabila dia bermurah hati untuk bersedekah, maka sedekahnya itu menjadi bukti benar dan ikhlas niatnya kerana Allah s.w.t. Tetapi ianya berbeza dengan keadaan orang yang sudah berputus asa untuk sihat, lalu dia bersedekah, pahalanya menjadi kurang berbanding bersedekah ketika sihat. Hadis ini juga menggalakkan agar kita bersegera kepada kebaikkan dan bersedekahlah sebelum maut datang menjemput kita.

                Realiti yang berlaku pada hari ini, ramai orang yang apabila berada dalam keadaan yang sihat dan cergas, kurang keinginan untuk memberi atau bersedekah kepada orang lain. Tetapi apabila berada dalam keadaan yang sakit dan kurang upaya, maka mudah sahaja untuk memberikan apa yang menjadi miliknya kepada orang sekeliling.

"Kek tu kalau engkau nak, makanlah...buah tu pun sama. Aku tak nak..." Selalunya situasi ni kerap berlaku ketika kita ditimpa sakit. Manakan tidak, nafsu makan ketika itu sudah kurang. Makanan yang mampu kita habiskan tanpa memberi kepada orang lain ketika sihat, hanya dipandang sekali lalu dan tanpa ada perasaan. Lalu kita pun berkata..."Aku tak larat nak makan, selera takde...korang makanlah. Aku sedekah ke korang jelah..."

Cuba ketika sihat, "Ops...nasi ayam ni aku yang punya, korang nak...beli sendiri."

               *              *           *         *          *           *           *      

Oleh hal yang demikian, marilah kita bersegera untuk bersedekah  dan melakukan amalan kebaikkan yang lain sementara Allah masih memberi kita nikmat kesihatan buat masa ini. Apabila ditarik nikmat tersebut, memang bagus dan sepatutnya kita tetap meneruskan sedekah, tetapi ganjarannya menjadi agak kurang sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis. Perlu juga dingatkan, segala amalan yang kita lakukan hendaklah benar niat kita kerana Allah s.w.t. Janganlah dilakukan untuk mendapat pujian dan sanjungan dari orang lain. Riya', takabbur, ujub dan sum'ah hanya merosakkan amalan kebaikkan yang kita lakukan. Alangkah ruginya... Untuk akhirnya...FASTABIQUL KHAIRAT....

Ahad, 25 April 2010

RELEASE TENSION JAP...

 

Humm...mari bernasyid kejap...
Kepala terasa berat dan macam pening-pening lalat.
Lagu huruf hijaiyyah...
Boleh ikut sekali sebab ada lirik...


الف ارنب يجري يلعب
يأكل جزرا كي لا يتعب

باء بطة نطت نطة
وقعت ضحكت منها القطة

تاء تاج فوق الرأس
فيه الذهب فيه الماس

ثاء ثعلب صاد دجاحة
هو ماكر وقت الحاجة

جيم جمل في الصحرء
مثل سفينة فوق الماء

حاء حج أسمى رغبة
فيه طواف حول الكعبة

خاء خبز عند البائع
لا يأكله الا الجائع

دال ديك حسن الصوت
قام يؤذن فوق البيت

ذال ذئب وحش صلب 
لا يرهبه الا الكلب

راء رجل عرف الدين
فهو صدوق وهو امين

زين زهرة اصفر احمر
هي بعين احلى منظر

سين ساعة تحفظ وقتي
في مدرستي او في بيتي

شين شمس صنع قدير
فيها الدفء وفيها النور

صاد صائد ألقى الشبكة
بعد قليل صاد سمكة

ضاد ضابط يحمى وطني
يحفظ أمني يرعى سكني

طاء طفل أجمل طفل
فهو نظيف حسن الشكل

ظاء ظفر نظفناه
طال قليلا فقصصناه

عين عين تخش الله 
تشهد خيرا فيه رضاه

غين غار غار حراء
فيه أنزل القرأن

فاء فيل ذو انياب
وهو صديق يا أصحاب

قاف قمر فيه منال
ومواقيت تهدى السائل

كاف كلب عاش جواري
يحرس غنمي يحرس داري

لام لحم ينمو جسمى
يكسو عظمى فيه أسمى

ميم مسجد بيت الله
فيه أؤدى كل صلاة

نون نهر نهر النيل
فهو كريم غير بخيل

هاء هرم اعلى القمة
وبناء رمز للهمة

واو وجه للانسان
فيه اشراف الايمان

ياء يد ترسم زهرة
تبدع شكلا تظهر فكرا


wassalam

Jumaat, 23 April 2010

TENANG DAN DAMAIKAN HATI YANG GALAU

بدأت ببسم الله فى النظم أولا      *         تبارك رحمنا رحيما وموئلا
وثنيت صلى الله ربي على الرضا   *      محمد المهدى الى الناس مرسلا
 وعترته ثم الصحابة ثم من     *  تلاهم على الاءحسان بالخير وبلا
وثلثت أن الحمد لله دائم    *         وما ليس مبدؤا به أجزم العلا

Teringat matan Al-Imam As-Syatibi yang dihafal ketika tahun satu di maahad dulu. Empat bait tersebut merupakan permulaan matan As-syatibiah untuk qiraat tujuh. Untuk sekarang, saya belajar qiraat sepuluh dari matan Toiyyibatun nasr, karangan Imam Ibnu Jazari. Namun, apa yang hendak di sampaikan ialah tentang penggunaan basmalah pada permulaan bait. Kalau dilihat, semua kitab karangan ulama'-ulama' akan dimulai dengan basmalah dan tahmid serta selawat. Tidak kiralah melalui bait-bait atau muqaddimah kitab atau sebagainya. Ini adalah untuk menunjukkan rasa kesyukuran dan adab yang mulia. Lagi pula, kita memang disunatkan memulakan segala pekerjaan dengan kalimah basmalah bagi mendapatkan keberkatan. Kesimpulannya...mulakan hari, hidup, pekerjaan dan segalanya dalam hidup anda dengan basmalah.

Bismillahirrohmanirrohim...

Sebenarnya tak tahu nak letak apa kat blog kali ni.Tengok blog yang dah lama terbiar...tak sampai hati pula. Nak study...tengah tak de mood. Padahal imtihan sudah hampir sangat. Kepala terasa berat bila memikirkan apa yang berlaku dalam perjalanan hidup ni. Tapi apa yang berlaku tidak boleh dijadikan alasan untuk berasa malas dan lemah.

Kekuatan dan semangat perlu dibina. MESTI!

Cepat bangun!

Kepada sahabat-sahabat sekalian, doakan saya dan sahabat-sahabat yang nak imtihan bermula 29/4 ni dipermudahkan segala urusan, di kuatkan semangat, diberikan ketenangan  dan beroleh najah sofi untuk imtihan tahun ni ye.

Allahumma ja'alna minan najihin wal faizin wal mumtazin...

Jazakallahu khairan kathira...

Wassalam.

Sabtu, 27 Mac 2010

JANGAN LARI DARI MASALAH...

BISMILLAHIRROHMANIRROHIM...

Hmm...agak lama saya tidak meng-update blog ni. Mungkin kerana keterbatasan waktu, dan mungkin juga saya memang malas walaupun masa tu saya agak lapang. Selepas lama menyepi...akhirnya saya merajinkan diri ini untuk menekan keyboard laptop dan terus mencoretkan apa yang ingin diluahkan.


MASALAH...hidup ini memang tidak sunyi dari masalah. Samada  masalah itu hadir tanpa diundang atau kita sendiri yang mengundang masalah. Masalah adalah fitrah manusia dan kehidupan. Orang yang tidak pernah menghadapi masalah adalah bermasalah kerana masalahnya ialah dia tidak pernah ada masalah. Atau hakikatnya dia tidak tahu apa masalahnya yang sebenar. Wujudkah manusia yang tidak menghadapi masalah?

 JANGAN LARI DARI MASALAH

Itulah prinsip yang perlu kita pegang apabila kita menghadapi masalah samada ringan ataupun berat. Jangan berhenti berusaha dan mudah menyerah kepada masalah tersebut.Berani dan hadapilah segala permasalahan yang berlaku.

Berkata memang mudah. Untuk melakukan dan merealisasikan apa yang dikatakan sangatlah sulit. Memang begitu! Namun itulah cara yang mesti kita lakukan. Menyerah secara total kepada masalah yang berlaku adalah perbuatan orang yang lemah dan kurang jati diri. Perbuatan tersebut bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah, bahkan mengundang masalah yang lain pula. Secara tidak langsung, ianya akan mengembangkan pemikiran yang negatif iaitu mudah menyerah kalah. Seterusnya, kita mudah lemah, cepat runsing dan mungkin juga membawa kepada gangguan emosi dan jiwa. Na'uzubillahi min zalik!

Pernah dengar kenyataan berkenaan cara menghadapi ketakutan?

Seseorang yang takut kepada kegelapan, cara untuk menghadapinya ialah dia perlu menghadapi kegelapan tersebut. Lama kelamaan masalah itu mampu diatasi secara beransur-ansur.

Jika masalah tersebut tidak mampu diatasi juga, ubahlah cara untuk menghadapinya. Kita perlu kreatif dan sentiasa berfikiran positif. Apa yang menjadi keutamaan ialah jangan mudah mengalah dan berasa letih. Sikap ini perlu dijauhi kerana apabila kita mula menyerah, maka secara tidak langsung kita akan menyerah kalah untuk kali yang kedua, ketiga, keempat dan ke seterusnya. Maka jadilah kita orang yang mudah kalah tanpa mencuba. Alangkah ruginya jika ini yang terjadi kepada kita.

SETIAP MASALAH ADA PENYELESAIANNYA

Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Kunci untuk membuka jalan tersebut ada pada diri kita. Tidaklah Allah menjadikan sesuatu itu hanya untuk sia-sia. Setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi disebaliknya.

Ingatlah janji Allah. "Kamu akan dapat mengikut apa yang kamu usahakan."

Lalu, berusahalah untuk keluar dari masalah yang sedang membelengu anda.

Pernah terfikir, bagaimana masalah ini datang? Pernah cari punca kepada segala permasalahan yang sedang dihadapi tersebut?

Memetik kalam Dr. Ismail Zain : " Lebih banyak kesukaran yang kita tempuhi, semakin banyak peluang yang kita perolehi untuk menyelesaikan kesukaran."

Salah satu kunci untuk merungkai keserabutan dan permasalahan yang sedang dihadapi ialah mencari punca dan titik permulaan masalah tersebut. Apabila sudah dikenalpasti, fikirkan cara untuk menyelesaikannya. Kemudian hadapilah dengan tenang.

Sebenarnya, kita perlu belajar dari permasalahan dan kesilapan yang pernah kita hadapi dan lakukan. Hal ini kerana disitulah terciptanya pengalaman dan peluang untuk keluar dari belengu hidup dan terus mara untuk mencipta kemenangan dan kecemerlangan diri.

MARA DAN TERUS MARA!

Untuk akhirnya...apa yang dapat disimpulkan disini ialah, janganlah kita mudah lemah ketika ditimpa masalah. Apabila kita cuba lari dari masalah,maka permasalahan itu tidak akan pernah berhenti untuk mengejar kita. Ibarat seorang tentera, ditengah kancah peperangan yang menginginkan kemenangan, jika tentera tersebut hanya tahu untuk melarikan diri, sampai ke akhirnya dia tidak mampu untuk menang. Bahkan, kekalahan sahaja yang semakin hampir dengannya. Lalu, cara untuk mencapai kemenangan itu, tentera itu perlu berhadapan dengan musuhnya. Kemenangan akan dicapai samada kemenangan ke atas musuh atau kemenangan melalui kematian iaitu syahid.

Ingin diingatkan juga, sebagai umat Islam, konsep doa,usaha dan tawakkal adalah perkara yang sangat penting. Berakhlaklah sebagaimana akhlak seorang mukmin yang apabila ditimpa masalah,musibah dan ujian terus mencari Tuhannya. Doa adalah senjata mukmin dan kesabaran akan menghasilkan buah iman yang mantap.

"BAYANGAN DALAM PEMIKIRAN PENCORAK TINDAKAN DAN PENENTU DESTINASI KEHIDUPAN"

Ahad, 31 Januari 2010

PERMAINAN, KITA DAN ISLAM...

KENYATAAN HIDUP DISEBALIK PERMAINAN INI.

Seorang guru wanita sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya. Ia duduk menghadap murid-muridnya. Di tangan kirinya ada kapur, di tangan kanannya ada pemadam. Guru itu berkata, "Saya ada satu permainan... Caranya begini, ditangan kiri saya ada kapur, di tangan kanan
ada pemadam. Jika saya angkat kapur ini, maka berserulah "Kapur!", jika saya angkat pemadam ini, maka katalah "Pemadam!"

Murid muridnya pun mengerti dan mengikuti. Guru berganti-gantian mengangkat antara kanan dan kiri tangannya, semakin lama semakin cepat. Beberapa saat kemudian guru kembali berkata, "Baik sekarang perhatikan. Jika saya angkat kapur, maka sebutlah "Pemadam!", jika saya angkat pemadam, maka katakanlah "Kapur!". Dan diulangkan seperti tadi, tentu saja murid-murid tadi keliru dan kekok, dan sangat sukar untuk mengubahnya. Namun lambat laun, mereka sudah biasa dan tidak lagi kekok. Selang beberapa saat, permainan berhenti.

Sang guru tersenyum kepada murid-muridnya. "Murid-murid, begitulah kita umat Islam. Mulanya yang haq itu haq, yang bathil itu bathil. Kita begitu jelas membezakannya. Namun kemudian, musuh musuh kita memaksakan kepada kita dengan perbagai cara, untuk menukarkan sesuatu, dari yang haq menjadi bathil, dan sebaliknya. Pertama-tama mungkin akan sukar bagi kita menerima hal tersebut, tapi kerana terus disosialisasikan dengan cara-cara menarik oleh mereka, akhirnya lambat laun kamu akan terbiasa dengan hal itu. Dan anda mulai dapat mengikutinya. Musuh-musuh kamu tidak pernah berhenti membalik dan menukar nilai dan ketika.

"Keluar berduaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, Zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah, tanpa rasa malu, sex sebelum nikah menjadi suatu kebiasaan dan trend, hiburan yang asyik dan panjang sehingga melupakan yang wajib adalah biasa, materialistik kini menjadi suatu gaya hidup dan lain lain." "Semuanya sudah terbalik. Dan tanpa disedari, anda sedikit demi sedikit menerimanya tanpa rasa ia satu kesalahan dan kemaksiatan. Paham?" tanya Guru kepada murid-muridnya. "Paham cikgu..."

"Baik permainan kedua..." begitu Guru melanjutkan.

"Cikgu ada Qur'an,cikgu akan letakkannya di tengah karpet. Sekarang anda berdiri diluar karpet. Permainannya adalah, bagaimana caranya mengambil Qur'an yang ada ditengah tanpa memijak karpet?"

Murid-muridnya berpikir . Ada yang mencuba alternatif dengan tongkat,dan lain-lain.

Akhirnya Guru memberikan jalan keluar, digulungnya karpet, dan ia ambil Qur'an. Ia memenuhi syarat, tidak memijak karpet. "Murid-murid, begitulah ummat Islam dan musuh-musuhnya...Musuh-musuh Islam tidak akan memijak-mijak anda dengan terang-terang...Kerana tentu anda akan menolaknya mentah mentah. Orang biasapun tak akan rela kalau Islam dihina dihadapan mereka. Tapi mereka akan menggulung anda perlahan-lahan dari pinggir, sehingga anda tidak sadar.

"Jika seseorang ingin membuat rumah yang kuat, maka dibina tapak yang kuat. Begitulah Islam, jika ingin kuat, maka bangunlah aqidah yang kuat. Sebaliknya, jika ingin membongkar rumah, tentu susah kalau dimulai dgn tapaknya dulu, tentu saja hiasan-hiasan dinding akan dikeluarkan dulu, kerusi dipindahkan dulu, Almari dibuang dulu satu persatu, baru rumah dihancurkan..."

"Begitulah musuh-musuh Islam menghancurkan kita. Ia tidak akan menghentam terang-terangan, tapi ia akan perlahan-lahan meletihkan anda. Mulai dari perangai anda, cara hidup, pakaian dan lain-lain, sehingga meskipun anda muslim, tapi anda telah meninggalkan ajaran Islam dan mengikuti cara yang mereka... Dan itulah yang mereka inginkan." "Ini semua adalah fenomena Ghazwul Fikri (Perang Pemikiran). Dan inilah yang dijalankan oleh musuh
musuh kita... "

"Kenapa mereka tidak berani terang-terang memijak-mijak cikgu?" tanya murid- murid.

"Sesungguhnya dahulu mereka terang-terang menyerang, misalnya Perang Salib, Perang Tartar, dan lain-lain. Tapi sekarang tidak lagi." "Begitulah Islam... Kalau diserang perlahan-lahan, mereka tidak akan sedar, akhirnya hancur. Tapi kalau diserang serentak terang-terangan, mereka akan bangkit serentak, baru mereka akan sadar".


"Kalau begitu, kita selesaikan pelajaran kita kali ini, dan mari kita berdoa dahulu sebelum pulang..." Matahari bersinar terik takala anak-anak itu keluar meninggalkan tempat belajar mereka dengan pikiran masing-masing di kepalanya...

APA TINDAKAN KITA?

Takwiniyah, jalan penyelesaian...

Dalam keadaan seperti ini, Allah menghendaki kaum Muslimin kembali kepada Islam yang sebenar, beriman dengan iman yang istiqamah, bertaqwa dengan sebenarnya, serta menyiapkan diri untuk mati di jalan Islam (husnul khatimah).

“Hai orang-orang yang beriman bertaqwalah kamu dengan sebenar-benarnya taqwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan berserah diri (Islam) kepada Allah”. (QS 3:102)

Inilah perintah Allah bagi setiap individu muslim. Mereka harus mempertahankan keperibadian Islam pada diri mereka. Untuk itu, mereka harus mengislamisasi kembali diri dan keluarga mereka menuju kepada terbentuknya masyarakat Islam.

Umat Islam mesti bangun semula dan sedar akan peranannya sebagai penyelamat ummah dan dunia, serta membangunkan peradaban positif. Mereka harus bangun dari tidur nyenyak dan melepaskan diri dari tilam empuk, tegak dan bangkit, kembali pada bimbingan dan pimpinan Allah. Untuk itu Allah mengisyaratkan:

“Dan berperanglah kamu semua dengan tali (Din) Allah dan jangan saling bercerai-berai, ingatlah nikmat Allah yang diberikanNya kepada kamu, ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan kemudian Allah menjinakkan di antara hati kamu, maka jadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara. Dan padahal kamu berada di pinggir jurang neraka maka Allah selamatkan kamu daripadanya. Demikian Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya agar kamu mendapat petunjuk” (QS 3:103)

Ayat ini jelas mewajibkan kaum muslimin untuk:

1. Berpegang teguh pada satu ikatan (hablullah)
2. Bersatupadu, tidak bercerai-berai atau berpecah-belah
3. Sentiasa mengingat nikmat Allah yang telah menyatukan hati mereka dalam ikatan aqidah islamiyah
4. Menyuburkan ukhuwah islamiyah

Inilah jalan yang boleh menyelamatkan kaum muslimin dari kehancuran yang dinanti-nanti dan dirancangkan oleh musuh-musuh Islam. Untuk mencapai usaha di atas, Allah mewajibkan pembentukan suatu gerakan dakwah yang mampu mengajak manusia pada kebaikan, menyuruh mereka melakukan ma’ruf dan mencegah mereka dari perbuatan mungkar. Mereka harus memulakan usaha ini, membentuk umat yang memiliki kualiti tinggi dalam menegakkan Islam.

Dalam pembentukan umat dakwah ini, takwin memainkan peranan yang penting. Umat Islam mesti kembali mendidik suatu generasi yang mampu menampilkan islam dalam bentuk yang sebenarnya sebagaimana yang telah timbul pada zaman sahabah. Dasar dan jalannya ialah:

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu umat yang mengajak kepada kebaikan yang menyuruh mengerjakan yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar. Mereka itulah orang-orang yang beruntung” (QS 3:104)

Rujukan utama dalam melaksanakan ini ialah Rasulullah saw. Dalam perjalanan hidup Rasul dan para sahabat ridwanullahu alaihim, Allah telah menggambarkan suatu manhaj yang jelas dan cemerlang untuk membangun kembali umat ini. Dengan cara pembinaan yang dibuktikan oleh Rasulullah, nyatalah bahawa bentuk pembinaan (takwiniyah) harus merupakan tarbiyah islamiyah harakiyah (pendidikan Islam berbentuk gerakan). Hal ini lahir dan amat diperlukan tuntutan dari realiti umat yang kita hadapi sekarang mempuyai persamaan dengan keadaan di masa Rasul. Di samping itu, watak khas dari semua kitabullah adalah tarbiyah Rabbaniyah. Firman Allah:

“Tetapi jadilah kamu orang-orang yang Rabbani, oleh sebab kamu selalu mengajarkan Al-Kitab dan disebabkan kamu sentiasa mempelajari Al-Kitab”.(QS3:79)

Maka Al Quran menjadi sumber utama dalam takwiniyah. Setiap ayatnya menuntut untuk membangun generasi baru peradaban Islam. Bukankah ia membentuk peribadi-peribadi terbaik dan umat terbaik (khairu ummah)? Rasulullah bersabda:

“Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkan Al-Quran”(HR Bukhari dan Muslim).

Khamis, 28 Januari 2010

SOALNYA HATI...

SOALNYA HATI…

Hati…raja bagi semua anggota kita. Rosaknya raja akan memberikan kesan kepada seluruh rakyat jelata. Baiknya raja akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat dan jajahan takluknya.

Soalnya hati??? …

Bunyi macam menarik… Ya…memang menarik.

Apabila berbicara mengenai hati...banyak perkara yang kita boleh perkatakan. Namun yang paling sering diperkatakan mengenai hati ialah mengenai perasaan kasih sayang yang terbit dan tumbuh dari hati. Mengenai kesucian cinta yang lahir dari hati yang ikhlas dan sebagainya yang berkaitan dengan cinta dan kasih sayang.

Bukan...Bukan...Bukan...

Bukan itu yang hendak diperkatakan...

Soalnya hati yang hendak saya kongsikan bersama adalah mengenai hancurnya amalan kebaikkan yang kita lakukan dek kerana terbitnya sepicing perasaan riya’, ujub, takabbur mahupun sum’ah.

Ish..mana ada...saya buat amalan ni..ikhlas kerana Allah.

Betulkah? Betulkah ikhlas boleh di ukur dengan perkataan. Tiada yang mampu menilai keikhlasan amalan yang kita lakukan melainkan Allah yang Maha Mengetahui.

Pernahkah kita melakukan perkara-perkara ini :

- Bila pergi ke masjid...automatik kita akan buat segala solat sunat. Padahal jika di rumah, yang wajib pun liat untuk dilakukan. Kadang-kadang ditunaikan di pengakhiran waktu. Bukankah itu riya’?
- Bila kita menjadi imam, automatik kita memilih surah-surah yang panjang untuk dibaca. Padahal jika sembahyang sendirian…hanya membaca ayat-ayat lazim yang pendek. Bukankah itu riya’?
- Bila berdoa bersama jemaah, kita akan khusyuk dan melunakkan suara sambil kepala ditundukkan. Mata dipejamkan…tapi, bila berdoa ketika bersendirian…mata melilau ke serata penjuru…sambil tangan menggaru-garu muka. Bacaan doa pun ala kadar… Silap-silap doa yang kita minta ialah “Ya Allah..daoku adalah seperti sebelum-sebelum ni..amin…”Bukankah itu riya’.
- Atau kita menulis di status YM, “tidur awal..esok nak bangun tahjjud”. Nanti bila orang baca, orang akan memuji…Bukankah itu sum’ah?
- Atau ketika meng up-date blog, friendster,tagged atau sebagainya…kita beria-ia mempercantikan dan make up background dan sebagainya supaya orang memuji ruangan social kita yang cantik. Bukankah itu riya’ dan sum’ah?

Banyak lagi contoh-contoh yang kalau kita singkap…mesti ada yang pernah kita buat.

Ish..takde…takde…saya kat depan orang macam tue…bila sendirian pun macam tue jugakla.

Cuba kita fikirkan keadaan yang ini pulak…

- Ketika membaca Al-Quran dalam keadaan seorang diri…dengan tertib kita memulakan bacaan. Tiba-tiba terasa syok sendiri. Wah sedapnya suara aku… Maka kita pun kembali menyambung bacaan dengan suara yang lunak dan lebih lunak. Bukankah sudah terbit ujub dalam diri?
- Atau ketika bangun qiamullail, terdetik di hati. Wah bagusnya aku…bangun qiamullail lagi…takdek orang nampak lagi, bagusnya aku. Bukankah itu ujub?

Macammana ni?

Semua yang kita lakukan habis dalam sekelip mata. Amalan yang pada asalnya nampak ikhlas, lebur kerana terbitnya perasaan riya’ sum’ah dan ujub dalam diri.

Soalnya hati…

Semuanya terletak pada hati. Oleh itu telah disebutkan didalam kitab Bidayatul Hidayah karangan Al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad al-Ghazali, di dalam bab yang ketiga iaitu mengenai maksiat-maksiat hati.

Antaranya, kita diberi peringatan agar berjaga-jaga dengan tiga perkara daripada penyakit hati kerana ianya ibu kepada perkara-perkara buruk yang lain iaitu :

- hasad
- riya’
- ujub


Nabi s.a.w telah bersabda: “ tiga perkara yang memusnahkan amalan: seorang yang kedekut, seseorang yang mengikuti hawa nafsu, dan seseorang yang merasa ujub dengan dirinya”

HASAD

Merupakan salah satu cabang dari sifat bakhil. Orang yang bakhil adalah orang yang kedekut untuk memberikan kepada orang lain apa yang dimilikinya.

Bagi orang yang ada sifat hasad pula, mereka merasa susah hati sekiranya Allah memberikan nikmat dan kesenangan kepada orang lain, samada nikmat harta, kasih sayang, perhatian orang ramai atau sebagainya.

SoalNya hati…hati seorang pendengki atau hasad tidak pernah tenang. Sentiasa sakit dan terus sakit. Apabila melihat orang lain mendapat kejayaan,harta,jawatan atau sebagainya…

”Aduh, geramnya…nak menunjuk hebat…mengada sungguh!”

“Eleh..aku pun boleh dapat lebih baik dari dia..saja malas nak tunjuk..dia tu bernasib baik je…”

“Hisyhhh…tak faham aku…apsal la dia boleh jadi pengarah program..aku ni lagi hebat, takde pulak orang nak suruh…menyampah betul…”

Khulasohnya…apa sahaja yang dikecapi oleh orang di sekelilingnya akan dikutuk..diperlekeh… Syaitan pun bukan main suka…sibuk menyalakan api. Jika boleh dilihat hati yang terbakar itu..mungkin sudah hangus,hangit,garing atau hanya tinggal debu sahaja hati itu…

Imam Al- Ghazali juga mengkategorikan orang yang hasad ini kepada tiga :

1) Bercita-cita supaya hilang terus nikmat orang lain dan berpindah terus nikmat itu kepadanya.
2) Bercita-cita supaya hilang nikmat yang dikecapi oleh orang lain, meskipun dia tidak memperolehi nikmat tersebut kerana boleh jadi dia sudah memiliki atau tidak suka kepada nikmat tersebut.
3) Tidak bercita-cita supaya hilang nikmat tersebut daripada orang itu, tetapi dia tidak suka melihat orang lain mendapat nikmat yang lebih banyak atau tinggi daripadanya,

RIYA’

Merupakan syirik yang tersembunyi. Orang yang riya’ sentiasa menginginkan kedudukan di hati manusia. Suka untuk dipuji. Apabila berada di hadapan khalayak ramai, dirinya seumpama seorang yang budiman lagi rupawan. Tetapi apabila bersendirian…bagaikan tarzan dibelantara.

Kebanyakkan amalan kebaikkan lebur akibat timbul sifat riya’ dan sum’ah dalam diri.

Di dalam satu riwayat ada diceritakan mengenai beberapa orang yang pada zahirnya kita melihat amalan yang dilakukan adalah yang terbaik dan ikhlas kerana Allah tetapi apabila dibawa amalan itu menghadap Allah s.w.t,ternyata amalan itu kembali dicampakkan ke muka si pelaku kerana adanya sifat riya’ yang terbit walaupun sebesar zarah.

“Pada hari kiamat, seorang mati syahid dicampakkan ke dalam neraka. Lalu dia berkata “ Wahai Tuhanku, aku dahulu syahid di atas jalanmu.” Maka Allah s.w.t menjawab, “bahkan, kamu sebenarnya hanya menginginkan agar orang berkata kepadamu.. ‘si fulan itu sangat berani’” Maka habislah nilai amalannya. Begitu juga yang berlaku kepada orang yang berilmu yang mengajar kepada orang ramai, orang yang melakukan haji dan juga para qari’.

Soalnya hati…
Bagaimanakah hati kita???


UJUB, SOMBONG, BANGGA DIRI DAN MEGAH


Inilah antara penyakit hati yang paling kronik. Memandang diri sendiri dengan pandangan yang menunjukkan kemegahan dan rasa bangga terhadap apa yang dilakukan dan dikecapi

Apabila berada di sesuatu majlis, suka untuk diangkat-angkat dan dimuliakan,suka untuk menjadi perhatian,berasa tersinggung sekiranya cakapnya di bantah dan sebagainya.

Ingatlah...


Azazil yang alim dan tinggal di kalangan para malaikat, akhirnya dilaknat menjadi Iblis yang terkutuk kerana sifat megah, bangga diri, bongkak dan takabbur. Merasakan diri lebih mulia dari Adam a.s, akhirnya memakan diri menjadi hamba yang dilaknat sehingga kiamat. Segala amal habis binasa...

Soalnya hati...

Bagaimanakah dengan diri kita. Kadang-kadang di dalam medan dakwah kita dikenali sebagai seorang yang hebat dan sangat berketerampilan. Namun, apabila hadirnya sifat-sifat tersebut...musnahlah segala amalan. Peratus amalan yang pada asalnya 100% menjadi 0%. Celakalah diri apabila begitu kesudahannya.

Sang penuntut ilmu…satu golongan yang cukup mulia. Menimba ilmu Allah buat bekalan diri. Namun celakalah jika menuntut ilmu kerana dunia. Mahu diangkat sebagai si intelek yang berkarisma.

Oh hati...

Betapa banyaknya kemusnahan yang datang dari segumpal darah. Menjadi raja berturutkan nafsu. Musnah binasa rakyat yang menurut.

Berpenyakit “hubbud dunya”...itulah puncanya.

Nabi s.aw. telah bersabda yang bermaksud : “cintakan dunia punca segala kejahatan”

Soalnya hati...

Apabila memandang si kecil yang comel…katakanlah, “sesungguhnya budak ini masih kecil, tidak melakukan maksiat kepada Allah sedangkan aku sering melakukan maksiat. Dia lebih baik daripadaku.”

Apabila memandang si tua yang naif...katakanlah, “sesungguhnya dirinya lebih dahulu beramal daripadaku, sudah tentu si tua ini lebih baik dariku.”

Apabila memandang si alim yang bijaksana…katakanlah, “sesungguhnya dia sudah banyak memberi dan menyampaikan ilmunya, sedangkan aku?...ternyata dirinya lebih baik dariku”

Apabila memandang si jahil yang alpa...katakanlah, “sesungguhnya maksiat yang dilakukan olehnya adalah kerana dibelengu kejahilan, sedangkan aku...melakukan maksiat dalam keadaan sedar dan tahu itu adalah maksiat. Mana mungkin aku lebih baik darinya...”

Apabila ,melihat mereka yang kafir...katakanlah, “sesungguhya...kita tidak tahu bagaimana kesudahan hidupnya. Kemungkinan dia mendapat kurnia Islam dan mati dengan keimanan. Sedangkan aku yang Islam juga tidak tahu akan kesudahan hidupku. Kemungkinan hari ini aku dekat padaNya..tetapi esok jauh dariNya.”

Soalnya hati..

Perbaikilah raja itu..moga dengan baiknya raja...baiklah yang lain.

Dunia tempat bercucuk tanam..akhirat sana tempat menuai hasil.
Bajailah tanaman itu dengan sebaiknya.
Sesiapa yang mengambil dunia untuk sekadarnya sahaja…maka dunia itu menjadi tempatnya bercucuk tanam.
Sesiapa yang mengambil dunia untuk mengecap kenikmatan, maka dunia itu menjadi perosak kepadanya.

Soalnya hati…

Bermohonlah kepada Pencipta hati…

“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas landasan agamaMu dan di dalam ketaatan kepadaMu Ya Karim…”

“Wahai Tuhan yang Maha Penyayang…janganlah dijauhkan rahmatMu daripadaku. Terimalah dan redhailah aku sebagai hambamu”.

Amin…

Muhasabah buat hatiku dan hati-hati yang seringkali lalai….
Soalnya hati…bukan perkara kecil…fikir dan renungkanlah…

Ahad, 24 Januari 2010

AIR MATA ITU....

ERTI 1 TANGISAN

Kata Ibnu Qayyim - 10 Jenis Tangis

1) Menangis kerana kasih sayang & kelembutan hati.
2) Menangis kerana rasa takut.
3) Menangis kerana cinta.
4) Menangis kerana gembira.
5) Menangis kerana menghadapi penderitaan.
6) Menangis kerana terlalu sedih.
7) Menangis kerana terasa hina dan lemah.
8) Menangis untuk mendapat belas kasihan orang.
9) Menangis kerana mengikut-ikut orang menangis.
10) Menangis orang munafik - pura-pura menangis.

"..dan bahawasanya DIA lah yang menjadikan orang tertawa dan menangis."
(AnNajm : 43)

Jadi, Allah lah yang menciptakan ketawa dan tangis, serta menciptakan sebab tercetusnya. Banyak air mata telah mengalir di dunia ini. Sumber nya dari mata mengalir ke pipi terus jatuh ke bumi. Mata itu kecil namun ia tidak pernah kering ia berlaku setiap hari tanpa putus-putus. Sepertilah sungai yang mengalir ke laut tidak pernah berhenti?.kalaulah air mata itu di tampung banjirlah dunia ini.

Tangis tercela atau terpuji ??

Ada tangisan yang sangat di cela umpamanya meratapi mayat dengan meraung
dan memukul-mukul dada atau merobek-robek pakaian.
Ada pula tangisan sangat-sangat di puji dan di tuntut iaitu tangisan kerana menginsafi dosa-dosa yang silam atau tangis kerana takut akan azab dan
siksa Allah.

Tangisan dapat memadamkan api Neraka "Rasulullah saw bersabda :

Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan
tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya
tidak akan terkotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan di rahmati. Tidaklah ada sesuatupun yang tak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka."

Air mata taubat Nabi Adam a.s Beliau menangis selama 300 tahun tanpa mendonggak ke langit tersangat takut dan hibanya terhadap dosa yang telah ia lakukan.Dia bersujud di atas gunung dan air matanya mengalir di jurang Serandip. Dari air matanya itulah Allah telah menumbuhkan pohon kayu manis dan pohon bunga cengkih.Beberapa ekor burung telah meminum akan air mata Adam lalu berkata, "Manis sungguh air ini." Nabi Adam terdengar lalu menyangka burung itu mempersendakannya lalu ia memperhebatkan tangisannya. Lalu Allah mendengar dan menerima taubat Adam dan mewahyukan, "Hai Adam sesungguhnya belum Aku pernah menciptakan air lebih lazat daripada air mata taubat mu!."


Air mata yang tiada di tuntut, Janganlah menangis kalau tak tercapai cita-cita bukan kah Tuhan yang telah menentukannya. Janganlah menangis ketika menonton filem hindustan itu kan cuma lakonan.Membazirkan air mata namanya...

Janganlah menangis kerana cinta tak berbalas mungkin dia bukanlah jodoh yang telah Tuhan tetapkan. Tetapi menangislah andai cinta Allah gagal dicari.

Janganlah menangis jika gagal dalam peperiksaan mungkin kita kurang membuat persediaan.

Jangan menangis kalau wang kita hilang di jalanan sebab mungkin kita kurang
bersedekah buat amalan. Kemungkinan juga..itu adalah rezeki untuk orang lain.

Janganlah menangis kalau tidak di naikkan pangkat yakin lah, semua itu
adalah pemberian Tuhan.Kemungkinan, bila dinaikkan pangkat..akan ada sifat bongkak,riya' dan segala sifat mazmumah dalam diri.

Dari itu??.. Simpanlah air mata-air mata tangisan itu semua buat bekalan untuk menginsafi di atas segala kecuaian yang telah melanda diri, segala dosa-dosa yang berupa bintik2 hitam yang telah mengkelamkan hati hingga sukar untuk menerima hidayah dari Allah swt. Serulah air mata itu dari persembunyiannya di balik kelopak mata agar ia menitis membasahi dan mencuci hati agar ia putih kembali dan juga semoga ia dapat melebur dosa2 dan moga-moga akan mendapat ampunanNya jua.

Junjungan Mulia bersabda "Ada 2 biji mata yang tak tersentuh api neraka, mata yang menangis di waktu malam hari kerana takut kepada Allah swt dan 2 biji mata yang menjaga pasukan fi sabillah di waktu malam."

"Di antara 7 golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah dihari qiamat"??seseorang yang berzikir bersendirian lalu mengenang tentang kebesaran Allah swt lalu bercucuran air matanya."

"Jika tubuh seseorang hamba gementar kerana takut kepada Allah, maka berguguran lah dosa-dosanya bak gugurnya dedaunan dari pepohonan kering."

Berkata Salman Al Faarisi r.a

Aku di buat menangis atas 3 perkara jua :
1) Berpisah dengan Rasulullah saw dan para sahabat-sahabat.
2) Ketakutan seorang yang perkasa tatkala melihat malaikat Israil
datang mencabut nyawanya.
3) Aku tidak tahu samada aku akan di perintahkan untuk ke syurga atau
neraka.

Air mata tanda rahmat Tuhan

Rasulullah saw bersabda : Jagalah mayat ketika kematiannya & perhatikanlah
3 perkara.

1) Apabila dahi nya berpeluh.
2) Airmatanya berlinang.
3) Hidungnya keluar cecair seperti hingus.

kerana hal hal tersebut menandakan rahmat Allah swt untuk si mayat.(riwayat
dari Salman al Faarisi)

Sucikanlah 4 hal dengan 4 p erkara :

"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan, Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu, Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu, dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Dzat yang memiliki mu..."

Jumaat, 22 Januari 2010

SI SOPAK, SI BOTAK DAN SI BUTA

الأبرص والأقرع والأعمى

(SI SOPAK, SI BOTAK DAN SI BUTA)


Seperti hari-hari yang lain, selepas pulang dari sekolah, Muhammad segera mendapatkan datuknya yang sedang duduk di bawah sepohon pokok tidak jauh dari rumah mereka. Cuaca pada hari itu sangat baik. Angin yang bertiup perlahan-lahan menyapa pepohon kayu sekaligus mendamaikan keadaan.

“ Atuk, Muhammad dah datang. Cepatlah ceritakan kisah yang baru. Semalam atuk dah janji untuk bercerita , hari ni Muhammad nak dengar cerita atuk lagi.” Kata Muhammad sambil tersenyum.

“Ooo..kamu dah balik dari sekolah. Mari sini duduk dekat atuk.”

Tiba-tiba seorang lelaki yang berpakaian compang-camping menghampiri mereka. Lelaki itu berkata dengan suara yang lemah, “Tolonglah beri aku sesuatu…” Muhammad berkata “ Pak cik datanglah kepada kami pada yang waktu lain. Sekarang kami tengah sibuk.” “Tidak! Kamu tunggulah sekejap wahai lelaki.” Kata datuk Muhammad. Lalu datuk Muhammad pun pulang sebentar ke rumah sambil membawa sebekas makanan. “Ambillah ini wahai hamba Allah” kata datuk dengan lemah-lembut.

“Terima kasih, semoga Allah menambahkan rezeki dan kebaikkan kepada kamu.” Kata lelaki tersebut dengan gembira lalu berlalu pergi.

Kemudian datuk kembali duduk di tempat asalnya. Lalu datuk berkata kepada Muhammad, “Muhammad, harta, makanan, pakaian dan segala yang kita ada adalah milik Allah. Apabila datang orang yang berada dalam kesusahan, janganlah kita kedekut untuk menghulurkan bantuan. Apabila kita memberi sesuatu kepada orang yang memerlukan, InsyaAllah..Allah akan menambah kebaikkan untuk kita.”

Muhammad mengangguk tanda faham. “Baiklah..atuk akan ceritakan kepada kamu kisah si sopak, si botak dan si buta,” Kata datuk sambil tersenyum.

“Si sopak, si botak dan si buta?”

“Ya..si sopak, si botak dan si buta.”

Lalu mulalah datuk bercerita..... begini kisahnya...

Pada zaman dahulu, terdapat tiga orang lelaki yang Allah timpakan penyakit kepada mereka yang menyebabkan orang lain tidak senang dan menjauhkan diri dari mereka.

Lelaki pertama ialah seorang lelaki yang berpenyakit sopak iaitu sejenis penyakit kulit. Lelaki kedua pula di timpa penyakit keguguran rambut sehingga menyebabkan dia menjadi botak. Manakala lelaki ketiga pula dicabut penglihatannya sedikit demi sedikit sehingga dia menjadi buta.

Pada suatu hari, Allah telah mengutuskan seorang malaikat untuk menguji sama ada mereka bertiga adalah orang yang bersyukur atau tidak. Lalu datanglah malaikat kepada lelaki yang pertama iaitu si sopak. Lalu menyamarlah malaikat sebagai seorang lelaki dan duduk bersama si sopak. Mengadulah si lelaki yang bernyakit sopak tentang penyakitnya yang menyebabkan orang ramai menjauhi dan mencelanya.

Berkata malaikat, “Apakah yang kamu kehendaki?”

Jawab si sopak, “ Aku inginkan kulit yang halus dan elok. Warna yang cantik, tidak seperti sekarang yang menyebabkan orang ramai menjauhkan diri daripadaku”

Maka, malaikat pun menyapu kulit si sopak dengan tangannya. Dengan izin Allah, sembuhlah penyakit si sopak pada waktu itu juga. Kulitnya berubah menjadi sangat baik dan halus dengan warna yang sangat elok. Lelaki yang berpenyakit sopak tersebut sangat gembira.

Malaikat bertanya lagi, “Apakah harta yang paling kamu sukai?”

Jawab si sopak, “Aku sangat sukakan unta.”

Malaikat tersenyum lalu memberikan lelaki tersebut seekor unta betina yang bunting sambil berdoa, “Semoga Allah merahmati kamu, sesungguhnya Dia telah menanggalkan kesedihan darimu, dan Dia juga telah memberikan kamu kulit yang halus lagi cantik kepadamu.”

Kemudian malaikat pergi kepada lelaki yang kedua iaitu si botak lalu duduk bersamanya. Lalu mengadulah lelaki botak itu kepada malaikat mengenai kesulitan yang dihadapinya.

Berkata malaikat, “Apakah yang kamu kehendaki?”

Jawab si botak dengan penuh pengharapan, “ Aku inginkan rambut yang cantik. Rambut yang lebat dan orang ramai tidak lagi mengeji dan menjauhi aku kerana penyakit botak yang aku alami ini.”

Maka, malaikat pun menyapu kepala si botak dengan tangannya. Dengan izin Allah, sembuhlah penyakit si botak pada waktu itu juga. Rambutnya tumbuh dengan lebat dan sangat cantiknya. Lelaki itu sangat gembira.

Malaikat bertanya lagi, “Apakah harta yang paling kamu sukai?”

Jawab si botak, “Aku sangat sukakan lembu.”

Malaikat tersenyum lalu memberikan lelaki tersebut seekor lembu betina yang bunting sambil berdoa, “Semoga Allah merahmati kamu, sesungguhnya Dia telah menanggalkan kesedihan darimu, dan Dia juga telah memberikan kamu rambut yang lebat lagi cantik kepadamu.” Lalu malaikat meninggalkan lelaki botak itu dalam keadaan yang gembira.

Seterusnya, malaikat pun pergi kepada lelaki yang ketiga yang ditimpa penyakit buta.

Seperti lelaki yang pertama dan kedua, lelaki ketiga ini juga mengadukan masalah yang di hadapinya kepada malaikat.

Berkata malaikat, “Apakah yang kamu kehendaki?”

Jawab si buta dengan penuh pengharapan, “ Aku inginkan agar Allah mengembalikan penglihatanku supaya aku dapat melihat orang ramai. Aku mengharapkan Allah menjauhkan aku dari perkara yang menyebabkan orang ramai mengeji dan mencela aku kerananya.”

Maka, malaikat pun menyapu mata si buta dengan tangannya. Dengan izin Allah, sembuhlah penyakit si buta pada waktu itu juga. Matanya kembali terang. Penglihatannya pun pulih seperti sediakala malahan lebih baik dari sebelum ini. Lelaki itu sangat gembira.

Malaikat bertanya lagi, “Apakah harta yang paling kamu sukai?”

Jawab si buta, “Aku sangat sukakan kambing.”

Malaikat tersenyum lalu memberikan lelaki tersebut seekor kambing betina yang bunting sambil berdoa, “Semoga Allah merahmati kamu, sesungguhnya Dia telah menanggalkan kesedihan darimu, dan Dia juga telah memberikanmu penglihatan yang sangat baik.”

Kemudian malaikat meninggalkan lelaki tersebut. Hiduplah ketiga-tiga lelaki tersebut dengan gembira di samping rezeki yang melimpah ruah.

Selepas berlalu beberapa tahun, si sopak telah memilik unta yang sangat banyak. Si botak juga memiliki kawanan lembu yang besar dan banyak. Begitu juga dengan si buta yang menjadi pengembala kambing yang berjaya.

Pada suatu hari, Allah kembali mengutuskan malaikat untuk menguji ketiga-tiga mereka. Pergilah malaikat dalam bentuk manusia yang berpenyakit sopak kepada lelaki yang pertama.

Berkatalah malaikat dengan suara yang lemah dan sedih, “Aku ini lelaki miskin yang sedang dalam perjalanan, aku mohon kepadamu yang mempunyai kulit yang halus dan cantik dan harta yang banyak agar memberikan aku sedikit makanan dan seekor unta untuk memudahkan perjalananku.”

Berkatalah si sopak dengan angkuhnya, “Aku tidak mempunyai apa yang engkau hajatkan”

Malaikat berkata, “Seakan-akan aku mengenali kamu. Bukankah kamu si sopak yang dijauhi dan di cela manusia. Lalu Allah telah menghilangkan penyakitmu dan kefakiranmu dengan kulit yang cantik dan harta yang banyak.”

Si sopak berkata dengan marah, “ Tidak! Aku mendapat semua ini kerana aku mewarisinya dari kedua orang tuaku.”

Malaikat berkata dengan sedih, “ Sekiranya kamu berdusta, maka Allah akan mengembalikan kamu kepada keadaan asalmu”.

Kemudian, bertukarlah si sopak kepadaan asalnya yang fakir dan kulit yang buruk dan dihina oleh orang ramai.

Kemudian malaikat mendatangi si botak.

Berkatalah malaikat dengan suara yang lemah dan sedih, “Aku ini lelaki miskin yang sedang dalam perjalanan, aku mohon kepadamu yang mempunyai rambut yang lebat dan cantik serta harta yang banyak agar memberikan aku sedikit makanan dan seekor lembu untuk memudahkan perjalananku.”

Berkatalah si botak dengan angkuhnya, “Aku tidak mempunyai apa yang engkau hajatkan”

Malaikat berkata, “Seakan-akan aku mengenali kamu. Bukankah kamu si botak yang dijauhi dan di cela manusia. Lalu Allah telah menghilangkan penyakitmu dan kefakiranmu dengan rambut yang lebat dan cantik beserta harta yang banyak.”

Si botak berkata dengan marah, “ Tidak! Aku mendapat semua ini kerana aku mewarisinya dari kedua orang tuaku.”

Malaikat berkata dengan sedih, “ Sekiranya kamu berdusta, maka Allah akan mengembalikan kamu kepada keadaan asalmu”.

Maka kembalilah si botak kepada asalnya. Rambutnya gugur satu demi satu sehingga menjadi botak. Hartanya juga hilang sedikit demi sedikit. Lalu dia kembali botak dan fakir. Orang ramai juga mula menjauhinya. Hiduplah si botak dengan keadaannya seperti dahulu.

Kemudian malaikat pergi kepada lelaki buta yang dipulihkan dari penyakitnya.

Berkatalah malaikat dengan suara yang lemah dan sedih, “Aku ini lelaki miskin yang sedang dalam perjalanan, aku mohon kepadamu yang mempunyai penglihatan yang baik dan harta yang banyak agar memberikan aku sedikit makanan dan seekor kambing untuk memudahkan perjalananku.”

Si buta pun berkata dengan gembira dan senang hati, “Wahai hamba Allah, sesungguhnya dahulu, aku seorang yang buta dan fakir dan dijauhi manusia kerananya, lalu Allah telah mengembalikan penglihatan kepadaku dan memberikan kepadaku harta yang banyak. Ambillah segala yang kamu perlukan dan tinggalkan yang selebihnya. Sesungguhnya harta ini adalah milik Allah.”

Berkatalah malaikat sambil tersenyum, “Semoga Allah memberkatimu. Sesungguhnya aku ini adalah malaikat yang menyamar sebagai lelaki yang diutuskan Allah untuk menguji engkau dan sahabat-sahabatmu. Sesungguhnya Allah telah redha kepadamu dan mencela sahabat-sahabatmu. Hiduplah kamu dengan gembira di bawah keredhaan Allah sehinga akhir hayatmu.”

“Ha, begitulah Allah memberikan nikmat kepada hambanya yang bersyukur,” kata datuk kepada Muhammad.

“Mulai hari ini, Muhammad akan jadi seorang yang selalu mensyukuri nikmat Allah dan sentiasa membantu orang yang memerlukan pertolongan.” Kata Muhammad penuh semangat.

Datuk tersenyum sambil mengusap-usap kepala cucunya.

“Mari kita pulang, hari dah hampir senja.”


* * *

Emm..dah habis…kepada sahabat-sahabat sekalian, walaupun cerita ini nampak cam biasa je..tapi banyak pengajaran yang boleh kita ambil. Sesungguhnya Allah akan menambah rezeki hamba-hambanya yang sentiasa bersyukur kepadaNya. Ingatlah Firman Allah s.w.t di dalam surah Ibrahim, ayat yang ke tujuh :

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ


Maksudnya : Dan ingatlah ketika Tuhanmu memberitahukan, “Kalau kamu bersyukur, sudah tentu Aku akan memberikan lebih banyak , dan sekiranya kamu tidak bersyukur, sesungguhnya siksaku sangat keras.”

Bagaimanakah caranya kita bersyukur kepada Allah?

Banyak cara yang kita dapat lakukan untuk menunjukkan tanda syukur kepada Allah s.w.t antaranya, kita menggunakan segala nikmat yang Allah berikan kepada kita dengan sebaiknya dan pada tempat yang hak. Menzahirkan rasa syukur melalui lisan dan hati yang sentiasa berzikir. Membantu golongan yang memerlukan dan sebagainya. Sesungguhnya orang yang rugi adalah orang yang tidak bersyukur terhadap nikmat yang diberikan kepadanya dan orang yang melakukan kemungkaran di dunia ini. Oleh kerana itu, mereka mendapat celaan daripada Allah s.w.t dan azab yang pedih di hari kemudian.

Siapakah kita di hadapan Tuhan Yang Maha Perkasa?

Memetik kata-kata Saidina Umar Al-Khattab sebagai muhasabah bersama : “Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab.”

Semoga kita semua tergolong dari golongan hamba Allah yang sentiasa mensyukuri nikmatNya dan beramal dengan amalan soleh. Amin...