Jumaat, 22 Januari 2010

SI SOPAK, SI BOTAK DAN SI BUTA

الأبرص والأقرع والأعمى

(SI SOPAK, SI BOTAK DAN SI BUTA)


Seperti hari-hari yang lain, selepas pulang dari sekolah, Muhammad segera mendapatkan datuknya yang sedang duduk di bawah sepohon pokok tidak jauh dari rumah mereka. Cuaca pada hari itu sangat baik. Angin yang bertiup perlahan-lahan menyapa pepohon kayu sekaligus mendamaikan keadaan.

“ Atuk, Muhammad dah datang. Cepatlah ceritakan kisah yang baru. Semalam atuk dah janji untuk bercerita , hari ni Muhammad nak dengar cerita atuk lagi.” Kata Muhammad sambil tersenyum.

“Ooo..kamu dah balik dari sekolah. Mari sini duduk dekat atuk.”

Tiba-tiba seorang lelaki yang berpakaian compang-camping menghampiri mereka. Lelaki itu berkata dengan suara yang lemah, “Tolonglah beri aku sesuatu…” Muhammad berkata “ Pak cik datanglah kepada kami pada yang waktu lain. Sekarang kami tengah sibuk.” “Tidak! Kamu tunggulah sekejap wahai lelaki.” Kata datuk Muhammad. Lalu datuk Muhammad pun pulang sebentar ke rumah sambil membawa sebekas makanan. “Ambillah ini wahai hamba Allah” kata datuk dengan lemah-lembut.

“Terima kasih, semoga Allah menambahkan rezeki dan kebaikkan kepada kamu.” Kata lelaki tersebut dengan gembira lalu berlalu pergi.

Kemudian datuk kembali duduk di tempat asalnya. Lalu datuk berkata kepada Muhammad, “Muhammad, harta, makanan, pakaian dan segala yang kita ada adalah milik Allah. Apabila datang orang yang berada dalam kesusahan, janganlah kita kedekut untuk menghulurkan bantuan. Apabila kita memberi sesuatu kepada orang yang memerlukan, InsyaAllah..Allah akan menambah kebaikkan untuk kita.”

Muhammad mengangguk tanda faham. “Baiklah..atuk akan ceritakan kepada kamu kisah si sopak, si botak dan si buta,” Kata datuk sambil tersenyum.

“Si sopak, si botak dan si buta?”

“Ya..si sopak, si botak dan si buta.”

Lalu mulalah datuk bercerita..... begini kisahnya...

Pada zaman dahulu, terdapat tiga orang lelaki yang Allah timpakan penyakit kepada mereka yang menyebabkan orang lain tidak senang dan menjauhkan diri dari mereka.

Lelaki pertama ialah seorang lelaki yang berpenyakit sopak iaitu sejenis penyakit kulit. Lelaki kedua pula di timpa penyakit keguguran rambut sehingga menyebabkan dia menjadi botak. Manakala lelaki ketiga pula dicabut penglihatannya sedikit demi sedikit sehingga dia menjadi buta.

Pada suatu hari, Allah telah mengutuskan seorang malaikat untuk menguji sama ada mereka bertiga adalah orang yang bersyukur atau tidak. Lalu datanglah malaikat kepada lelaki yang pertama iaitu si sopak. Lalu menyamarlah malaikat sebagai seorang lelaki dan duduk bersama si sopak. Mengadulah si lelaki yang bernyakit sopak tentang penyakitnya yang menyebabkan orang ramai menjauhi dan mencelanya.

Berkata malaikat, “Apakah yang kamu kehendaki?”

Jawab si sopak, “ Aku inginkan kulit yang halus dan elok. Warna yang cantik, tidak seperti sekarang yang menyebabkan orang ramai menjauhkan diri daripadaku”

Maka, malaikat pun menyapu kulit si sopak dengan tangannya. Dengan izin Allah, sembuhlah penyakit si sopak pada waktu itu juga. Kulitnya berubah menjadi sangat baik dan halus dengan warna yang sangat elok. Lelaki yang berpenyakit sopak tersebut sangat gembira.

Malaikat bertanya lagi, “Apakah harta yang paling kamu sukai?”

Jawab si sopak, “Aku sangat sukakan unta.”

Malaikat tersenyum lalu memberikan lelaki tersebut seekor unta betina yang bunting sambil berdoa, “Semoga Allah merahmati kamu, sesungguhnya Dia telah menanggalkan kesedihan darimu, dan Dia juga telah memberikan kamu kulit yang halus lagi cantik kepadamu.”

Kemudian malaikat pergi kepada lelaki yang kedua iaitu si botak lalu duduk bersamanya. Lalu mengadulah lelaki botak itu kepada malaikat mengenai kesulitan yang dihadapinya.

Berkata malaikat, “Apakah yang kamu kehendaki?”

Jawab si botak dengan penuh pengharapan, “ Aku inginkan rambut yang cantik. Rambut yang lebat dan orang ramai tidak lagi mengeji dan menjauhi aku kerana penyakit botak yang aku alami ini.”

Maka, malaikat pun menyapu kepala si botak dengan tangannya. Dengan izin Allah, sembuhlah penyakit si botak pada waktu itu juga. Rambutnya tumbuh dengan lebat dan sangat cantiknya. Lelaki itu sangat gembira.

Malaikat bertanya lagi, “Apakah harta yang paling kamu sukai?”

Jawab si botak, “Aku sangat sukakan lembu.”

Malaikat tersenyum lalu memberikan lelaki tersebut seekor lembu betina yang bunting sambil berdoa, “Semoga Allah merahmati kamu, sesungguhnya Dia telah menanggalkan kesedihan darimu, dan Dia juga telah memberikan kamu rambut yang lebat lagi cantik kepadamu.” Lalu malaikat meninggalkan lelaki botak itu dalam keadaan yang gembira.

Seterusnya, malaikat pun pergi kepada lelaki yang ketiga yang ditimpa penyakit buta.

Seperti lelaki yang pertama dan kedua, lelaki ketiga ini juga mengadukan masalah yang di hadapinya kepada malaikat.

Berkata malaikat, “Apakah yang kamu kehendaki?”

Jawab si buta dengan penuh pengharapan, “ Aku inginkan agar Allah mengembalikan penglihatanku supaya aku dapat melihat orang ramai. Aku mengharapkan Allah menjauhkan aku dari perkara yang menyebabkan orang ramai mengeji dan mencela aku kerananya.”

Maka, malaikat pun menyapu mata si buta dengan tangannya. Dengan izin Allah, sembuhlah penyakit si buta pada waktu itu juga. Matanya kembali terang. Penglihatannya pun pulih seperti sediakala malahan lebih baik dari sebelum ini. Lelaki itu sangat gembira.

Malaikat bertanya lagi, “Apakah harta yang paling kamu sukai?”

Jawab si buta, “Aku sangat sukakan kambing.”

Malaikat tersenyum lalu memberikan lelaki tersebut seekor kambing betina yang bunting sambil berdoa, “Semoga Allah merahmati kamu, sesungguhnya Dia telah menanggalkan kesedihan darimu, dan Dia juga telah memberikanmu penglihatan yang sangat baik.”

Kemudian malaikat meninggalkan lelaki tersebut. Hiduplah ketiga-tiga lelaki tersebut dengan gembira di samping rezeki yang melimpah ruah.

Selepas berlalu beberapa tahun, si sopak telah memilik unta yang sangat banyak. Si botak juga memiliki kawanan lembu yang besar dan banyak. Begitu juga dengan si buta yang menjadi pengembala kambing yang berjaya.

Pada suatu hari, Allah kembali mengutuskan malaikat untuk menguji ketiga-tiga mereka. Pergilah malaikat dalam bentuk manusia yang berpenyakit sopak kepada lelaki yang pertama.

Berkatalah malaikat dengan suara yang lemah dan sedih, “Aku ini lelaki miskin yang sedang dalam perjalanan, aku mohon kepadamu yang mempunyai kulit yang halus dan cantik dan harta yang banyak agar memberikan aku sedikit makanan dan seekor unta untuk memudahkan perjalananku.”

Berkatalah si sopak dengan angkuhnya, “Aku tidak mempunyai apa yang engkau hajatkan”

Malaikat berkata, “Seakan-akan aku mengenali kamu. Bukankah kamu si sopak yang dijauhi dan di cela manusia. Lalu Allah telah menghilangkan penyakitmu dan kefakiranmu dengan kulit yang cantik dan harta yang banyak.”

Si sopak berkata dengan marah, “ Tidak! Aku mendapat semua ini kerana aku mewarisinya dari kedua orang tuaku.”

Malaikat berkata dengan sedih, “ Sekiranya kamu berdusta, maka Allah akan mengembalikan kamu kepada keadaan asalmu”.

Kemudian, bertukarlah si sopak kepadaan asalnya yang fakir dan kulit yang buruk dan dihina oleh orang ramai.

Kemudian malaikat mendatangi si botak.

Berkatalah malaikat dengan suara yang lemah dan sedih, “Aku ini lelaki miskin yang sedang dalam perjalanan, aku mohon kepadamu yang mempunyai rambut yang lebat dan cantik serta harta yang banyak agar memberikan aku sedikit makanan dan seekor lembu untuk memudahkan perjalananku.”

Berkatalah si botak dengan angkuhnya, “Aku tidak mempunyai apa yang engkau hajatkan”

Malaikat berkata, “Seakan-akan aku mengenali kamu. Bukankah kamu si botak yang dijauhi dan di cela manusia. Lalu Allah telah menghilangkan penyakitmu dan kefakiranmu dengan rambut yang lebat dan cantik beserta harta yang banyak.”

Si botak berkata dengan marah, “ Tidak! Aku mendapat semua ini kerana aku mewarisinya dari kedua orang tuaku.”

Malaikat berkata dengan sedih, “ Sekiranya kamu berdusta, maka Allah akan mengembalikan kamu kepada keadaan asalmu”.

Maka kembalilah si botak kepada asalnya. Rambutnya gugur satu demi satu sehingga menjadi botak. Hartanya juga hilang sedikit demi sedikit. Lalu dia kembali botak dan fakir. Orang ramai juga mula menjauhinya. Hiduplah si botak dengan keadaannya seperti dahulu.

Kemudian malaikat pergi kepada lelaki buta yang dipulihkan dari penyakitnya.

Berkatalah malaikat dengan suara yang lemah dan sedih, “Aku ini lelaki miskin yang sedang dalam perjalanan, aku mohon kepadamu yang mempunyai penglihatan yang baik dan harta yang banyak agar memberikan aku sedikit makanan dan seekor kambing untuk memudahkan perjalananku.”

Si buta pun berkata dengan gembira dan senang hati, “Wahai hamba Allah, sesungguhnya dahulu, aku seorang yang buta dan fakir dan dijauhi manusia kerananya, lalu Allah telah mengembalikan penglihatan kepadaku dan memberikan kepadaku harta yang banyak. Ambillah segala yang kamu perlukan dan tinggalkan yang selebihnya. Sesungguhnya harta ini adalah milik Allah.”

Berkatalah malaikat sambil tersenyum, “Semoga Allah memberkatimu. Sesungguhnya aku ini adalah malaikat yang menyamar sebagai lelaki yang diutuskan Allah untuk menguji engkau dan sahabat-sahabatmu. Sesungguhnya Allah telah redha kepadamu dan mencela sahabat-sahabatmu. Hiduplah kamu dengan gembira di bawah keredhaan Allah sehinga akhir hayatmu.”

“Ha, begitulah Allah memberikan nikmat kepada hambanya yang bersyukur,” kata datuk kepada Muhammad.

“Mulai hari ini, Muhammad akan jadi seorang yang selalu mensyukuri nikmat Allah dan sentiasa membantu orang yang memerlukan pertolongan.” Kata Muhammad penuh semangat.

Datuk tersenyum sambil mengusap-usap kepala cucunya.

“Mari kita pulang, hari dah hampir senja.”


* * *

Emm..dah habis…kepada sahabat-sahabat sekalian, walaupun cerita ini nampak cam biasa je..tapi banyak pengajaran yang boleh kita ambil. Sesungguhnya Allah akan menambah rezeki hamba-hambanya yang sentiasa bersyukur kepadaNya. Ingatlah Firman Allah s.w.t di dalam surah Ibrahim, ayat yang ke tujuh :

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ


Maksudnya : Dan ingatlah ketika Tuhanmu memberitahukan, “Kalau kamu bersyukur, sudah tentu Aku akan memberikan lebih banyak , dan sekiranya kamu tidak bersyukur, sesungguhnya siksaku sangat keras.”

Bagaimanakah caranya kita bersyukur kepada Allah?

Banyak cara yang kita dapat lakukan untuk menunjukkan tanda syukur kepada Allah s.w.t antaranya, kita menggunakan segala nikmat yang Allah berikan kepada kita dengan sebaiknya dan pada tempat yang hak. Menzahirkan rasa syukur melalui lisan dan hati yang sentiasa berzikir. Membantu golongan yang memerlukan dan sebagainya. Sesungguhnya orang yang rugi adalah orang yang tidak bersyukur terhadap nikmat yang diberikan kepadanya dan orang yang melakukan kemungkaran di dunia ini. Oleh kerana itu, mereka mendapat celaan daripada Allah s.w.t dan azab yang pedih di hari kemudian.

Siapakah kita di hadapan Tuhan Yang Maha Perkasa?

Memetik kata-kata Saidina Umar Al-Khattab sebagai muhasabah bersama : “Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab.”

Semoga kita semua tergolong dari golongan hamba Allah yang sentiasa mensyukuri nikmatNya dan beramal dengan amalan soleh. Amin...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan