Jumaat, 8 Januari 2010

JIN. GANGGUAN DAN CARA MENGUBATINYA (Bahagian 10)

3.3 GANGGUAN JIN MELALUI SIHIR

3.3.1 PENGERTIAN SIHIR DAN HAKIKATNYA

Sihir merupakan satu jenayah yang besar, kufur dan termasuk dalam perkara-perkara yang sering diuji kepada manusia, sama ada pada zaman dahulu mahupun sekarang, umat masa lalu mahupun umat masa sekarang. al-Quran telah menghuraikan sihir dan jenis-jenisnya.

Dinamakan sihir kerana perlaksanaannya dilakukan secara sembunyi-sembunyi, sebab tukang sihir melakukan secara sembunyi dan rahsia agar dapat memperdayakan orang lain, menipu pandangan mereka, membahayakan mereka, merampas harta benda mereka dan lain-lain.

Sihir menurut syara’ adalah khayalan dan tipuan yang diperdayakan oleh tukang sihir supaya orang melihatnya meyakininya sebagai satu hakikat yang nyata, sedangkan ia bukan hakikat yang sebenar. Allah s.w.t telah berfirman menceritakan tentang tukang sihir Fir’aun :

قَالُواْ يَمُوسَى إِمَّا أَن تُلْقِىَ وَإِمَّا أَن نَّكُونَ أَوَّلَ مَنْ أَلْقَى (65) قَالَ بَلْ أَلْقُواْ فَإِذَا حِبَالُهُمْ وَعَصِيُّهُمْ يُخَيَّلُ إِلَيْهِ مِن سِحْرِهِمْ أَنَّهَا تَسْعَى(66) فَأَوْجَسَ فِى نَفْسِهِ خِيْفَةً مُّوسَى (67) قُلْنَا لاَ تَخَفْ إِنَّكَ أَنتَ الأَعْلَى (68) وَأَلْقِ مَا فِى يَمِيْنِكَ تَلْقَفْ مَا صَنَعُواْ إِنَّمَا صَنَعُواْ كَيْدُ سَحِرٍ وَلاَ يُفْلِحُ السَّاحِرُ حَيْثُ أَتَى (69)

Maksudnya : “Wahai Musa! Engkaukah yang akan melemparkan dahulu atau kami? Musa menjawab : ‘Bahkan kamulah dahulu’. Tiba-tiba tali dan tongkat-tongkat mereka bergerak-gerak seolah-olah merayap-rayap berjalan disebabkan sihir mereka. Maka yang demikian menjadikan Musa berasa takut sedikit dalam hatinya. KAMI berfirman kepadanya “ ‘Janganlah engkau takut. Sesungguhnya engkaulah yang mengatasi mereka dengan kemenangan. Lemparkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan yang mereka lakukan kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir sedangkan ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada.”

Adakalanya sihir dibuat daripada sesuatu benda yang disertakan dengan simpulan lalu dihembus-hembuskannya, sebagaimana firman Allah s.w.t :
وَمِنْ شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ

Maksudnya : “Dan daripada kejahatan sihir wanita yang menghembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan)

3.3.2 HUBUNGAN SIHIR DAN JIN

Sihir dan jin mempunyai kaitan yang rapat dan memang tidak dinafikan tentang ikatan yang wujud di antara keduanya. Hal ini kerana sihir yang dilakukan oleh seseorang tukang sihir selalunya dilakukan dengan bantuan daripada jin dan syaitan. Pada kebiasaannya, semakin kuat sihir itu maka semakin rapatlah hubungan yang terjalin dia ntara tukang sihir dan jin tersebut.

Di antara amalan-amalan yang dilakukan oleh tukang sihir untuk mendekatkan diri kepada jin dan syaitan :

1) Mengikat mashaf al-Quran di bawah kedua tapak kakinya (dijadikan selipar) kemudian dibawa masuk berjalan ke dalam tandas.
2) Menulis ayat-ayat Al-Fatihah secara terbalik.
3) Bersolat tanpa berwudhuk dan kadang-kadang dalam keadaan berjunub.
4) Melakukan penyembelihan semata-mata kerana syaitan dan tidak menyebut nama Allah s.w.t ketika menyembelihnya, kemudian hasil sembelihan itu diletakkan di tempat-tempat tertentu yang sememangnya khusus bagi jin dan syaitan.
5) Melakukan pemujaan terhadap bintang-bintang di langit di samping turut mengabdikan diri bukan kepada Allah s.w.t.
6) Mengadakan hubungan kelamin dengan ibu kandung dan anak perempuannya sendiri.
7) Menulis lafaz-lafaz (azimat atau jampi serapah) bukan dalam bahasa arab asli bahkan kadang-kadang ianya membawa maksud kufur dan syirik.
Maka jelaslah di sini bahawa tukang-tukang sihir itu menjadikan jin sebagai khadam untuk melakukan kejahatan melalui sihir. Bagi golongan jin pula, mereka tidak akan sekali-sekali memberi khidmat atau pertolongan kepada tukang sihir melainkan tukang sihir tersebut melakukan tuntutan dan syarat-syarat yang membawa kepada kekufuran dan syirik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan