Khamis, 28 Januari 2010

SOALNYA HATI...

SOALNYA HATI…

Hati…raja bagi semua anggota kita. Rosaknya raja akan memberikan kesan kepada seluruh rakyat jelata. Baiknya raja akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat dan jajahan takluknya.

Soalnya hati??? …

Bunyi macam menarik… Ya…memang menarik.

Apabila berbicara mengenai hati...banyak perkara yang kita boleh perkatakan. Namun yang paling sering diperkatakan mengenai hati ialah mengenai perasaan kasih sayang yang terbit dan tumbuh dari hati. Mengenai kesucian cinta yang lahir dari hati yang ikhlas dan sebagainya yang berkaitan dengan cinta dan kasih sayang.

Bukan...Bukan...Bukan...

Bukan itu yang hendak diperkatakan...

Soalnya hati yang hendak saya kongsikan bersama adalah mengenai hancurnya amalan kebaikkan yang kita lakukan dek kerana terbitnya sepicing perasaan riya’, ujub, takabbur mahupun sum’ah.

Ish..mana ada...saya buat amalan ni..ikhlas kerana Allah.

Betulkah? Betulkah ikhlas boleh di ukur dengan perkataan. Tiada yang mampu menilai keikhlasan amalan yang kita lakukan melainkan Allah yang Maha Mengetahui.

Pernahkah kita melakukan perkara-perkara ini :

- Bila pergi ke masjid...automatik kita akan buat segala solat sunat. Padahal jika di rumah, yang wajib pun liat untuk dilakukan. Kadang-kadang ditunaikan di pengakhiran waktu. Bukankah itu riya’?
- Bila kita menjadi imam, automatik kita memilih surah-surah yang panjang untuk dibaca. Padahal jika sembahyang sendirian…hanya membaca ayat-ayat lazim yang pendek. Bukankah itu riya’?
- Bila berdoa bersama jemaah, kita akan khusyuk dan melunakkan suara sambil kepala ditundukkan. Mata dipejamkan…tapi, bila berdoa ketika bersendirian…mata melilau ke serata penjuru…sambil tangan menggaru-garu muka. Bacaan doa pun ala kadar… Silap-silap doa yang kita minta ialah “Ya Allah..daoku adalah seperti sebelum-sebelum ni..amin…”Bukankah itu riya’.
- Atau kita menulis di status YM, “tidur awal..esok nak bangun tahjjud”. Nanti bila orang baca, orang akan memuji…Bukankah itu sum’ah?
- Atau ketika meng up-date blog, friendster,tagged atau sebagainya…kita beria-ia mempercantikan dan make up background dan sebagainya supaya orang memuji ruangan social kita yang cantik. Bukankah itu riya’ dan sum’ah?

Banyak lagi contoh-contoh yang kalau kita singkap…mesti ada yang pernah kita buat.

Ish..takde…takde…saya kat depan orang macam tue…bila sendirian pun macam tue jugakla.

Cuba kita fikirkan keadaan yang ini pulak…

- Ketika membaca Al-Quran dalam keadaan seorang diri…dengan tertib kita memulakan bacaan. Tiba-tiba terasa syok sendiri. Wah sedapnya suara aku… Maka kita pun kembali menyambung bacaan dengan suara yang lunak dan lebih lunak. Bukankah sudah terbit ujub dalam diri?
- Atau ketika bangun qiamullail, terdetik di hati. Wah bagusnya aku…bangun qiamullail lagi…takdek orang nampak lagi, bagusnya aku. Bukankah itu ujub?

Macammana ni?

Semua yang kita lakukan habis dalam sekelip mata. Amalan yang pada asalnya nampak ikhlas, lebur kerana terbitnya perasaan riya’ sum’ah dan ujub dalam diri.

Soalnya hati…

Semuanya terletak pada hati. Oleh itu telah disebutkan didalam kitab Bidayatul Hidayah karangan Al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad al-Ghazali, di dalam bab yang ketiga iaitu mengenai maksiat-maksiat hati.

Antaranya, kita diberi peringatan agar berjaga-jaga dengan tiga perkara daripada penyakit hati kerana ianya ibu kepada perkara-perkara buruk yang lain iaitu :

- hasad
- riya’
- ujub


Nabi s.a.w telah bersabda: “ tiga perkara yang memusnahkan amalan: seorang yang kedekut, seseorang yang mengikuti hawa nafsu, dan seseorang yang merasa ujub dengan dirinya”

HASAD

Merupakan salah satu cabang dari sifat bakhil. Orang yang bakhil adalah orang yang kedekut untuk memberikan kepada orang lain apa yang dimilikinya.

Bagi orang yang ada sifat hasad pula, mereka merasa susah hati sekiranya Allah memberikan nikmat dan kesenangan kepada orang lain, samada nikmat harta, kasih sayang, perhatian orang ramai atau sebagainya.

SoalNya hati…hati seorang pendengki atau hasad tidak pernah tenang. Sentiasa sakit dan terus sakit. Apabila melihat orang lain mendapat kejayaan,harta,jawatan atau sebagainya…

”Aduh, geramnya…nak menunjuk hebat…mengada sungguh!”

“Eleh..aku pun boleh dapat lebih baik dari dia..saja malas nak tunjuk..dia tu bernasib baik je…”

“Hisyhhh…tak faham aku…apsal la dia boleh jadi pengarah program..aku ni lagi hebat, takde pulak orang nak suruh…menyampah betul…”

Khulasohnya…apa sahaja yang dikecapi oleh orang di sekelilingnya akan dikutuk..diperlekeh… Syaitan pun bukan main suka…sibuk menyalakan api. Jika boleh dilihat hati yang terbakar itu..mungkin sudah hangus,hangit,garing atau hanya tinggal debu sahaja hati itu…

Imam Al- Ghazali juga mengkategorikan orang yang hasad ini kepada tiga :

1) Bercita-cita supaya hilang terus nikmat orang lain dan berpindah terus nikmat itu kepadanya.
2) Bercita-cita supaya hilang nikmat yang dikecapi oleh orang lain, meskipun dia tidak memperolehi nikmat tersebut kerana boleh jadi dia sudah memiliki atau tidak suka kepada nikmat tersebut.
3) Tidak bercita-cita supaya hilang nikmat tersebut daripada orang itu, tetapi dia tidak suka melihat orang lain mendapat nikmat yang lebih banyak atau tinggi daripadanya,

RIYA’

Merupakan syirik yang tersembunyi. Orang yang riya’ sentiasa menginginkan kedudukan di hati manusia. Suka untuk dipuji. Apabila berada di hadapan khalayak ramai, dirinya seumpama seorang yang budiman lagi rupawan. Tetapi apabila bersendirian…bagaikan tarzan dibelantara.

Kebanyakkan amalan kebaikkan lebur akibat timbul sifat riya’ dan sum’ah dalam diri.

Di dalam satu riwayat ada diceritakan mengenai beberapa orang yang pada zahirnya kita melihat amalan yang dilakukan adalah yang terbaik dan ikhlas kerana Allah tetapi apabila dibawa amalan itu menghadap Allah s.w.t,ternyata amalan itu kembali dicampakkan ke muka si pelaku kerana adanya sifat riya’ yang terbit walaupun sebesar zarah.

“Pada hari kiamat, seorang mati syahid dicampakkan ke dalam neraka. Lalu dia berkata “ Wahai Tuhanku, aku dahulu syahid di atas jalanmu.” Maka Allah s.w.t menjawab, “bahkan, kamu sebenarnya hanya menginginkan agar orang berkata kepadamu.. ‘si fulan itu sangat berani’” Maka habislah nilai amalannya. Begitu juga yang berlaku kepada orang yang berilmu yang mengajar kepada orang ramai, orang yang melakukan haji dan juga para qari’.

Soalnya hati…
Bagaimanakah hati kita???


UJUB, SOMBONG, BANGGA DIRI DAN MEGAH


Inilah antara penyakit hati yang paling kronik. Memandang diri sendiri dengan pandangan yang menunjukkan kemegahan dan rasa bangga terhadap apa yang dilakukan dan dikecapi

Apabila berada di sesuatu majlis, suka untuk diangkat-angkat dan dimuliakan,suka untuk menjadi perhatian,berasa tersinggung sekiranya cakapnya di bantah dan sebagainya.

Ingatlah...


Azazil yang alim dan tinggal di kalangan para malaikat, akhirnya dilaknat menjadi Iblis yang terkutuk kerana sifat megah, bangga diri, bongkak dan takabbur. Merasakan diri lebih mulia dari Adam a.s, akhirnya memakan diri menjadi hamba yang dilaknat sehingga kiamat. Segala amal habis binasa...

Soalnya hati...

Bagaimanakah dengan diri kita. Kadang-kadang di dalam medan dakwah kita dikenali sebagai seorang yang hebat dan sangat berketerampilan. Namun, apabila hadirnya sifat-sifat tersebut...musnahlah segala amalan. Peratus amalan yang pada asalnya 100% menjadi 0%. Celakalah diri apabila begitu kesudahannya.

Sang penuntut ilmu…satu golongan yang cukup mulia. Menimba ilmu Allah buat bekalan diri. Namun celakalah jika menuntut ilmu kerana dunia. Mahu diangkat sebagai si intelek yang berkarisma.

Oh hati...

Betapa banyaknya kemusnahan yang datang dari segumpal darah. Menjadi raja berturutkan nafsu. Musnah binasa rakyat yang menurut.

Berpenyakit “hubbud dunya”...itulah puncanya.

Nabi s.aw. telah bersabda yang bermaksud : “cintakan dunia punca segala kejahatan”

Soalnya hati...

Apabila memandang si kecil yang comel…katakanlah, “sesungguhnya budak ini masih kecil, tidak melakukan maksiat kepada Allah sedangkan aku sering melakukan maksiat. Dia lebih baik daripadaku.”

Apabila memandang si tua yang naif...katakanlah, “sesungguhnya dirinya lebih dahulu beramal daripadaku, sudah tentu si tua ini lebih baik dariku.”

Apabila memandang si alim yang bijaksana…katakanlah, “sesungguhnya dia sudah banyak memberi dan menyampaikan ilmunya, sedangkan aku?...ternyata dirinya lebih baik dariku”

Apabila memandang si jahil yang alpa...katakanlah, “sesungguhnya maksiat yang dilakukan olehnya adalah kerana dibelengu kejahilan, sedangkan aku...melakukan maksiat dalam keadaan sedar dan tahu itu adalah maksiat. Mana mungkin aku lebih baik darinya...”

Apabila ,melihat mereka yang kafir...katakanlah, “sesungguhya...kita tidak tahu bagaimana kesudahan hidupnya. Kemungkinan dia mendapat kurnia Islam dan mati dengan keimanan. Sedangkan aku yang Islam juga tidak tahu akan kesudahan hidupku. Kemungkinan hari ini aku dekat padaNya..tetapi esok jauh dariNya.”

Soalnya hati..

Perbaikilah raja itu..moga dengan baiknya raja...baiklah yang lain.

Dunia tempat bercucuk tanam..akhirat sana tempat menuai hasil.
Bajailah tanaman itu dengan sebaiknya.
Sesiapa yang mengambil dunia untuk sekadarnya sahaja…maka dunia itu menjadi tempatnya bercucuk tanam.
Sesiapa yang mengambil dunia untuk mengecap kenikmatan, maka dunia itu menjadi perosak kepadanya.

Soalnya hati…

Bermohonlah kepada Pencipta hati…

“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas landasan agamaMu dan di dalam ketaatan kepadaMu Ya Karim…”

“Wahai Tuhan yang Maha Penyayang…janganlah dijauhkan rahmatMu daripadaku. Terimalah dan redhailah aku sebagai hambamu”.

Amin…

Muhasabah buat hatiku dan hati-hati yang seringkali lalai….
Soalnya hati…bukan perkara kecil…fikir dan renungkanlah…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan