Jumaat, 9 Disember 2011

SEJARAH TAQWIM HIJRAH

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, sudah hampir setengah bulan Muharram kita lalui. Apabila menjenguk ke blog-blog sahabat maya, kebanyakkannya berkisar tentang awal Muharram, fadhilat dan kelebihan, tahun pertama hijrah dan sebagainya. Namun ada beberapa perkara yang mungkin perlu diambil perhatian, iaitu berkaitan tarikh berlakunya hijrah Rasulullah s.a.w ke Madinah dengan bulan pertama dalam taqwim hijrah/hijriah. Ramai yang menyangka bahawa 1 Muharram adalah tarikh berlakunya peristiwa agung penghijrahan Rasul s.a.w dan sahabatnya Abu Bakar r.a dari Makkah ke Madinah. Perlulah diambil perhatian, 1 Muharram bukanlah tarikh berlakunya peristiwa hijrah tersebut, tetapi 1 Muharram adalah permulaan kepada perkiraan bulan di dalam taqwim atau kalendar hijriah. Seperti taqwim masihi, 1 Januari merupakan permulaan atau awal tahun baru di dalam perkiraan kalendar tersebut. Lalu, bilakah tarikh sebenarnya berlaku peristiwa hijrah?

KISAH HIJRAH RASULULLAH S.A.W

Mengikut beberapa riwayat yang terdapat di beberapa kitab sirah, seperti sirah Ibnu Hisyam, kitab sirah Al-Raheeq al-Makhtum dan beberapa kitab sirah yang lain ada menyebut bahawa Rasulullah s.a.w meninggalkan rumahnya pada malam 27 bulan Safar tahun keempat belas kenabian bersamaan 12 atau 13 September tahun 622 Masihi. Baginda terus ke rumah Abu Bakar r.a dan mereka segera beredar keluar dari rumah Abu Bakar dari pintu belakang secepat mungkin sebelum fajar menyingsing. 
 
Mereka tidak terus menuju ke Madinah mengikut jalan biasa iaitu dari arah utara, tetapi Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar r.a telah mengambil jalan yang berada disebelah selatan menghala ke negeri Yaman, baginda mengambil jalan itu yang sejauh lima kilometer hingga tiba ke bukit yang dikenali sebagai Jabal Thur. Mereka bersembunyi di sana selama 3 hari.
 
Selepas tiga hari berlalu, maka mereka meneruskan perjalanan ke Madinah pada malam Isnin satu hari bulan Rabiul al-Awal, bersamaan 16 September 622 Masihi ditemani seorang penunjuk jalan bernama Abdullah bin Uraiqat.
 
Selepas beberapa ketika, maka bertepatan pada hari Isnin 8 Rabiul al-Awal tahun 14 kenabian, bersamaan 23 September 622 Masihi, Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar r.a telah tiba di Quba'. Rasulullah s.a.w tinggal di Quba' selama empat hari (Isnin,selasa,rabu dan khamis).Di sini, Rasulullah s.a.w telah mengasaskan masjid Quba', masjid pertama di dalam islam yang didirikan atas dasar taqwa.

Kemudian Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar r.a meneruskan pejalanan dan tiba di Madinah di kalangan Banu al-Najar pada hari Jumaat 12 Rabiul al-Awal bersamaan 27 September tahun 622 masihi.(Ada sesetengah riwayat menyatakan Rasulullah tiba di Quba' pada 20 September 622 masihi dan riwayat lain menyatakan Rasulullah s.a.w tiba di Madinah pada 23 September tahun 622 masihi.) Namun kesemua riwayat bersepakat untuk menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w tiba di Madinah pada bulan Rabiul al-Awal.

SEJARAH TAQWIM HIJRAH
 
Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar bin Al-Khattab r.a. Ini adalah turutan dari Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya.

Ada satu riwayat lain yang mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa al-'Asy'ari telah mengirimkan surat kepada Saidina Umar r.a minta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya. Maka dengan ini beliau (Umar r.a) mahukan satu kalendar / taqwim Islam yang khas untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu.

Di kalangan bangsa Arab sendiripun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah. Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah s.a.w untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar / taqwim Islam.

Peristiwa tersebut adalah peristiwa hijrah Rasullullah saw dari Makkah ke Madinah. Ini adalah kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada RasulNya dan agama Islam ditegakkan. Hasil dari itu, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil dari pilihan Umar itu.

Di antara kejayaan besar Islam waktu itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Baitul Maqdis dibebaskan dari Rom dan Masjid Al-Aqsa dibangunkan. Setelah Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar Persia dan Romawi, didapati bahawa kalendar ini ternyata lebih baik. Maka dengan itu Umar mengisytiharkan Kalendar Tahun Hijrah adalah Kalendar / Taqwim Islam yang rasmi.

Kalendar Tahun Hijrah ini dimulai dengan bulan Muharram sebagai permulaan perkiraan bulannya. Muharram dipilih sebagai bulan pertama taqwim hijrah kerana tidak ada pertentangan di antara prinsip hjrah dan permulaan tahun berasaskan kiraan peredaran bulan, lalu mereka (Saidina Umar dan beberapa sahabat yang terlibat) mengawalkan dua bulan beberapa hari kalendar hijrah daripada tarikh sebenar berlakunya peristiwa hijrah. Dengan itu, tahun hijrah dikira bermula dengan bulan Muharram.

BULAN-BULAN DI DALAM TAQWIM HIJRAH

Berikut adalah nama bulan Islam dan asal-usulnya (yang kebanyakannya muncul sebelum Islam lagi). Kebanyakan nama tersebut timbul sempena cuaca ketika suatu peristiwa besar berlaku ataupun sempena peristiwa besar tersebut. Walau bagaimanapun, oleh kerana semuanya adalah nama bulan dan bulan berubah 11 hari lebih awal setiap tahun, maka, musim atau peristiwa asal tidak begitu mempengaruhi nama sesetengahnya kini.
  1. Muharram al-Haram (dipendekkan kepada Muharram – محرّم)
    • Bulan ini mengambil perkataan "Haram" yang bermaksud terlarang. Ini disebabkan budaya atau tradisi Arab mengharamkan sebarang peperangan pada bulan ini. Selepas munculnya Islam, Allah meneruskan budaya ini lantas menjadi satu antara empat bulan haram dalam Islam.
  2. Safar (ﺻﻔﺮ)
    • Perkataan in bermaksud tiupan angin. Ketika nama tersebut mula diguna pakai, kemungkinan yang ketika itu adalah waktu yang berangin. Safar juga menunjukkan yang masyarakat Arab (badwi) meninggalkan rumah mereka.
  3. Rabiul Awwal (ﺭﺑﻴﻊ ﺍﻷﻭﻝ)
    • Bulan pertama musim bunga iaitu masa ketika bulan tersebut dinamakan.
  4. Rabiul Akhir (ﺭﺑﻴﻊ ﺍﻷﺧﻴﺮ/'ﺭﺑﻴﻊ ﺍﻟﺜﺎﻧﻲ)
    • Bulan kedua musim bunga.
  5. Jamadil Awwal (ﺟﻤاﺪ ﺍﻷﻭﻝ)
    • Bulan pertama musim panas. "Jumada" bermaksud kering.
  6. Jamadil Akhir (ﺟﻤاﺪ ﺍﻷﺧﻴﺭ/ﺟﻤاﺪ ﺍﻟﺜﺎﻧﻲ)
    • Bulan kedua musim panas. Jamada, juga bulan yang lain juga lebih sejuk, yang membawa maksud telaga menyejuk adalah suatu yang biasa ketika itu.
  7. Rejab (ﺭﺟﺐ)
    • Satu lagi bulan suci yang mengharamkan perlawanan atau peperangan dan salah satu bulan yang dihormati. Ia juga dikenali sebagai Rajab al Fard. Fard bermaksud keseorangan; kerana tiga bulan suci yang lain berada jauh dan berturutan berbanding Rejab di tengah-tengah.
  8. Syaaban (ﺷﻌﺒاﻦ)
    • Bulan ini terbit dari perkataan "syu'ba", bermaksud berpecah/menyimpang. Masyarakat Arab dahulu sering keluar dan berpecah untuk mencari air.
  9. Ramadhan (ﺭﻣﻀاﻦ)
    • Diambil daripada perkataan "ramda", yang bermaksud batu panas. Ini menceritakan ketika nama tersebut diberikan, keadaan amat panas ketika itu.
  10. Syawal (ﺷﻮﺍﻝ)
    • Diambil daripada perkataan yang membawa maksud, apabila unta betina bunting. Ketika nama bulan ini diberikan, lazimnya unta betina bunting pada ketika itu.
  11. Zulkaedah (ﺫﻭ ﺍﻟﻘﻌﺪة)
    • Diambil daripada perkataan "qa'ada" bermaksud untuk duduk. Inilah bulan suci ketiga yang mengharamkan sebarang pertempuran. Kebanyakan orang juga mula menghentikan aktiviti perniagaan mereka untuk duduk dan bersedia untuk menunaikan haji.
  12. Zulhijjah (ﺫﻭ ﺍﻟﺤﺠة)
    • Ini adalah bulan suci terakhir dalam setahun dan dilarang melakukan sebarang pertempuran kerana pada bulan ini, haji dilaksanakan. Perkataan tersebut juga mengambil perkataan "haji" sebagai rujukan nama bagi bulan haji ini.

    Diharapkan perkongsian maklumat yang sedikit ini dapat memberi manfaat dan berguna kepada kita pada hari ini dan masa-masa akan datang.

    Wallahu a'lam.


Khamis, 1 Disember 2011

Kisah Thabit bin Qais yang bersuara lantang

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu meninggikan suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepada baginda dengan suara yang keras sebagaimana kerasnya (suara) sebahagian kamu terhadap yang lain, nanti (pahala) segala amalmu boleh terhapus sedangkan kamu tidak menyedari." (Surah al-Hujurat:2)
Sahabat-sahabat sekalian, Thabit bin Qais R.A amat terkesan dengan firman Allah S.W.T ini. Beliau terkenal sebagai seorang yang bersuara lantang. Kerana itu, setiap kali beliau solat secara berjemaah di Masjid Nabawi, beliau akan mengelak daripada bertemu dengan Rasulullah S.A.W.
Beliau khuatir, suaranya yang lantang dan tinggi daripada suara Rasulullah S.A.W akan menyebabkan amalannya terhapus dan menjadi ahli Neraka. Masya-Allah, sungguh hebat keimanan Thabit bin Qais R.A.
Rasulullah S.A.W merupakan manusia yang paling baik akhlaknya. Baginda mengambil berat, kasih dan sayang akan sahabat-sahabatnya. Baginda hairan kerana sudah lama baginda tidak bertemu dengan Thabit bin Qais R.A.
Lalu Baginda Rasulullah S.A.W bertanya kepada sahabat-sahabat yang lain, "Ke manakah Thabit ibn Qais? Sudah lama aku tidak bertemu dengannya."
Sahabat-sahabat baginda menjawab, Thabit bin Qais R.A mengelak untuk berjumpa dengan Rasulullah S.A.W kerana takut meninggikan suara dan bersuara kasar dengan Nabi. 
Kerana itu, Thabit akan menjadi ahli Neraka.
Rasulullah S.A.W berkata, "Sesungguhnya dia (Thabit) ialah ahli Syurga. Bukan ahli Neraka."
Thabit ibn Qais R.A berperanan sebagai pemidato dan jurucakap bagi Rasulullah S.A.W. Suaranya yang lantang dan pandai berpidato menjadikan beliau sesuai menggalas tugas tersebut. 
Ini juga menjadikan bukti bahawa Rasulullah S.A.W bijak menggunakan kekuatan sahabat-sahabat baginda pada tempatnya. Hasilnya, Islam menjadi perkasa dan tersebar luas ke pelusuk dunia.
Thabit bin Qais R.A mati syahid sepertimana yang Rasulullah janjikan kepada beliau. Thabit ibn Qais R.A syahid dalam peperangan memerangi Musailamah al-Kazzab semasa pemerintahan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq R.A.
Beliaulah satu-satunya sahabat yang memberikan wasiat setelah beliau meninggal dunia. Beliau mendatangi sahabat yang lain melalui mimpi dan menyampaikan wasiatnya.
Kesimpulan
Kita telah melihat bagaimana peribadi hebat sahabat Rasulullah S.A.W yakni Thabit. Beliau mempunyai ketaqwaan yang tinggi. 
Beliau dan juga sahabat-sahabat baginda yang lain begitu patuh dengan ayat al-Quran dan hadis Rasulullah S.A.W. Lihatlah, Thabit ibn Qais R.A. Beliau sanggup meminggirkan diri daripada bertemu kekasih Allah, kerana takut menjadi ahli Neraka.
Kedua, kita juga jelas bahawa Rasulullah S.A.W begitu sayang akan sahabat-sahabat baginda. Baginda mengambil berat akan mereka. Jika mereka tidak kelihatan di depan mata Rasulullah, Rasulullah S.A.W pasti bertanya. Ini menunjukkan keprihatinan Rasulullah.
Sungguh indah peribadimu ya Rasulullah. 

Allahumma Solli 'Ala Muhammad. 
I Luv Islam

Jumaat, 25 November 2011

PERISTIWA-PERISTIWA PENTING DI DALAM BULAN MUHARAM

Bismillahirrohmanirrahim...

 Sejak sekian lama meninggalkan ruangan blog ini tanpa di update. Tugasan-tugasan yang terpikul kadangkala sangat memenatkan. Tetapi disebalik kepenatan tersebut, timbul kepuasan kerana berhasil menunaikan amanah.Semoga diri ini terus diberi kekuatan untuk memikul beban dakwah sebagai umat Muhammad s.a.w.

Sempena menyambut tahun baru Islam 1433H, terdetik di hati untuk menjenguk dan mencoretkan sedikit peristiwa berkaitan peristiwa-peristiwa yang berlaku di bulan Muharam. Kebanyakkan kita hanya mengetahui 1 Muharam adalah tahun baru Islam dan peristiwa Hijrah dari Makkah ke Madinah. Namun disana terdapat beberapa peristiwa lain yang berlaku di dalam bulan Muharam. Semoga coretan ini bermanfaat kepada semua... 
 
Rentetan peristiwa di bulan Muharam:

1 Muharam – Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.
10 Muharam – Dinamakan juga hari ‘Asyura’. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran. Pada 10 Muharam juga telah berlaku:
1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
10.Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun. 11.Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
12.Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
13.Hari pertama Allah menciptakan alam.
14.Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
15.Hari pertama Allah menurunkan hujan.
16.Allah menjadikan ‘Arasy.
17.Allah menjadikan Luh Mahfuz.
18.Allah menjadikan alam.
19.Allah menjadikan Malaikat Jibril.
20.Nabi Isa diangkat ke langit.

Wallahu a'lam