Jumaat, 13 Mei 2011

CERPEN : PERJALANANKU


“Makkk.....”
Mak memandang wajahku penuh kelembutan. Tangannya pantas meraut daun kelapa untuk mendapatkan lidinya untuk dijadikan penyapu. “ Nak ape ni?” Aku tersengih ibarat kerang busuk menampakkan gigi hadapan yang tidak berapa tersusun. “ Along nak beli pensil warna boleh tak? Pensil warna along dah kontot-kontot.” Mak tersenyum. “ Boleh...tapi kena tunggu mak dan abah kutip getah dulu la...nanti dah dapat duit,mak suruh abah belikan.” “ Angah nak jugak!” adikku mencelah. Entah bila dia bangun dan duduk disisi mak. Matanya ditenyeh-tenyeh sambil menahan kantuk yang masih bersisa. “ Eii...sibuk jela...orang nak,die pun nak jugak!” aku membentak tidak puas hati. Mak tersenyum...” Angah punye warnakan masih panjang lagi,nanti dah pendek..mak belikan yang lain.” “ Angah nak jugak!” Angah mula meradang. Kakinya dihentak-hentak ke lantai papan. Berdegar-degar bunyinya. “ Angah ni,mak kata tak payah sudahla...kesian kat mak.” Aku geram melihat perangai angah yang kadang-kadang terlebih manja. “ Dah,dah...nanti mak cakap kat abah,jangan bergaduh.” Angah menjelirkan lidah kepadaku. Aku memandang dengan muka tidak puas hati. “ Siap budak ni karang...” getus hati kecilku.

            “Abah balik...abah balik...!” angah berlari mendapatkan abah. Ku lihat abah mengesat peluh yang mengalir dengan tuala kecilnya. Angah sedari tadi sibuk mengelilingi abah.” Abah bawak balik pisang ape ni?”Pisang nangka”jawab abah sambil mengangkat pisang tersebut dari raga motor Honda yang sudah buruk namun banyak jasanya. Angah mengekori abah naik ke rumah...”Habis ditebas semaknya bang?” mak bertanya sambil menghulurkan air kepada abah. “ Tak habis lagi Jah...esok lusa habislah agaknya,banyak sangat anak-anak pokok senduduk...kudrat saya sorang ni taklah kuat mana...”abah melepaskan lelahnya sambil mengibas-ngibas badannya. Mungkin kepanasan... “Anak-anak mana? Diam je...” “ Ada kat dalam tu...em...along nak pensil warna baru. Katanya yang lama dah pendek” “ Nantilah saya belikan.” Abah mula melangkah masuk ke dalam rumah sambil mencapai tuala yang berada di belakang pintu. “ Esok kita keluar awak sikit,getah tu dah boleh kutip. Kalau sempat kita menorehlah sikit..” Abah berkata sambil berlalu ke bilik air.

            Seusai solat maghrib secara berjemaah, aku dan angah mengaji Al-Quran dengan abah. Memang begitulah kebiasaannya. Aku dah masuk juzuk ke 15, angah pula baru masuk juzuk 1. “ Abah,along nak ikut pergi ladang. Esok along cuti,boleh ya abah..” Aku menyatakan hasratku selepas habis mengaji. “ Kerja sekolah dah siap ke?” “ Dah…along dah buat siang tadi dekat sekolah. Boleh ke abah?” Abah tersenyum. “ Angah pun nak ikut jugaklah, angah lelaki,angah lagi kuat dari along.” “ Anak-anak abah nak pergi naik ape? Motor tu mana muat untuk empat orang.” “ Alah…along dengan angah boleh naik basikal. Kitorang ikut dari belakang. Lagipun alongkan dah pernah ikut abah pergi ladang.” Aku cuba memujuk abah. “ A’ah bah…angah boleh bawak along naik basikal.” “ Eleh…macam larat nak bawak along. Naik basikal pun lelong-lelong.” Aku mengusik angah. “ Memang angah tak larat bawak along sebab along berat macam gajah. Ha ha ha…along berat macam gajah…” Aku cuba memukul angah,tapi angah cepat-cepat melarikan diri. Aku tidak berpuas hati lalu cuba mengejar adik lelakiku itu. “ Along…angah…” serentak kami berhenti,takut dengan abah. Abah tidak pernah memukul kami adik-beradik. Namun cukuplah dengan memberi isyarat suara,kami dah kecut perut. “ Dah pergi baca buku, kalau bergaduh macam ni, tak usah ikut pergi ladang.” Suara abah perlahan namun bernada tegas. Aku dan angah berlalu ke dalam bilik. Bimbang tidak dapat ikut abah dan mak pergi ladang esok. Aku sempat menjeling kepada angah. “ Padan muka, abah marah kat dia.” “ ape pulak,abah marah along bukan angah.” “ abah marah angah....padan muka....” “ Abah marah alonglah….” “Along,angah, tak habis lagi…?” Suara abah kedenganran lagi. Cepat-cepat aku dan angah keluarkan buku.

            Keesokkan paginya aku dan angah bangun awal dari kebiasaan. Selepas sarapan, aku terus turun ke tanah melihat basikal. Bimbang pula tayar pancit atau angin kurang. Abah sudah memasukkan pisau toreh dan sedikit bekalan ke dalam raga motor. Mak pula sedang memakai kasut butnya. Cuma angah yang masih bersarapan. “Angah cepatlah….tinggal karang baru tau” Aku memanggil angah. Risau abah dan mak pergi dulu. “ Dah siap!” Angah muncul dengan mulut penuh nasi goreng. “Pancitlah tayar basikal macam ni…dah,cepat naik.” “ Orang nak makan lebih pun tak boleh,lecehlah along ni..”Angah mengomel sendirian. Selepas memastikan pintu dikunci, kami pun bertolak. Abah bawak motor dengan perlahan. Iyelah, kalau abah bawa laju-laju, tertinggallah kami adik-beradik.

            “Alamak ngah…abah ngan mak dah hilang. Along tak ingat sangat jalan ni. Naik atas bukit tu kot...” “Itulah along, bawak basikal macam kura-kura. Cubalah pecut sikit...” “ Ewah-ewah...angah ingat senang ke? Dahlah jalan semak, banyak akar kayu pulak tu, tambah pulak bawak angah, berat tau…” Aku mula geram. “Dah turun dulu…along tak larat nak kayuh. Akhirnya aku menyorong basikal melalui jalan ladang yang agak sempit. Ladang abah agak jauh ke dalam dan terletak di kawasan paya. “ Along, angah penatlah…jomlah naik basikal…” Angah mula mengeluh. “ Eh…ape tu? Angah, ade lembu kat depan tu…” Aku tergamam melihat sekawan lembu mara kearah kami. “Angah lariii....” Aku dan angah terpaksa lari menyusup di celah-celah pokok-pokok getah. Habis lalang dan pokok paku pakis kami rempuh. Sakitnya jangan di kata, yang penting selamatkan diri. Basikal pun aku biarkan begitu sahaja. Biarlah apa nak jadi, yang penting diri ni perlu diselamatkan. “ Along...angah takut...” “ Along pun sama…nape lembu tu kejar kita? Bukan pakai baju merah pun…” “ Along…..”

                                    *                      *                      *                      *

            “Wei! Berangan.” Sergah Syafikah. “Eh...mane ade.” “Engkau ingatkan sape ni..? si dia ke..?” Syafikah galak mengusikku. “Engkau ni Pikah, pantang nampak aku senang,ade je modal nak kacau aku.” “Oi cik kak...kalau dah hari-hari macam ni,mestilah tengah teringatkan seseorang. Tak gitu?” Syafikah melabuhkan duduknya disisiku. “Takdelah...aku teringatkan keluarga aku, rindu kat mereka.” “Hem...sabarlah sikit, tinggal setahun je lagi. Setahun tu bukannya lama Zira, pejam celik pejam celik, cukup setahun.” Syafikah memujukku. Aku hanya melayangkan pandangan kosong ke arah sahabatku itu. Syafikah tersenyum. “Dahlah, aku nak pergi suk. Engkau nak ikut?” “Hemm...oklah..” aku menjawab lambat. “Macam tu laa...mesti ammu jual haikal tu suka, dah lama dia rindu kat kau tau...” “ Oit, tolong sikit! Tak maulah aku...nanti hari-hari dia bagi aku makan haikal, last-last muke pun macam haikal ayam.” “Oklah tue…kalau tak nak…kau ngoratla ammu gargil.” Kami sama-sama ketawa.

            Begitulah kehidupan seharianku di bumi barakah ini. Tanah sumpahan yang telah menyaksikan ramai para Anbia’ yang berjuang untuk menyampaikan risalah Allah s.w.t kepada umatnya. Di sinilah aku menjejakkan kaki bersama segunung harapan untuk mencedok sebanyak mana ilmu yang tersimpan di perut bumi Mesir ini. Gerbang Al-Azhar menggamit diri-diri yang dahagakan ilmu. Al-Azhar menjadi kemegahan umat islam. Sebuah universiti tertua serta merupakan institusi yang telah melahirkan ramai ulama’-ulama’ besar dahulu mahu pun kini. Sesungguhnya aku bertuah kerana terpilih untuk menjadi salah seorang daripada mereka untuk mengutip mutiara ilmu dari kalam doktor mahupun dokturah. 

            Masih tergambar di ruang ingatanku, iaitu ketika aku ingin berangkat meninggalkan tanah air. Ketika itu aku melihat pada abah, terdapat air jernih di birai matanya yang redup. Ada sendu yang tersimpan di sebalik mata itu. Itulah kali pertama aku menyaksikan abah begitu. Tangan kekar abah ku cium tanda memohon restu. “ Abah harap along belajar rajin-rajin. Jangan banyak main, abah nak tengok anak abah berjaya. Esok… bila dah balik, boleh berbakti pada masyarakat.” Abah melafazkan amanat buatku. Aku mengangguk, tidak mampu untuk meluahkan kata. Hanya air mata yang kutahan sejak tadi mengalir deras. Begitu besar harapan abah terhadapku. Lalu amanat itu kusemat ke dalam dada agar ia menjadi azimat ketika berada di rantauan.  “Along mesti belajar sungguh-sungguh tau. Jangan ikut orang orang yang tak tentu hala. Mak dan abah selalu doakan along. Ingat along, kita ni bukan orang senang. Kita takde harta, jadi...ilmulah harta kita.” Emak merenung wajahku. Sayu...Panggilan untuk ke Mesir sudah dua kali dibuat. Seorang demi seorang ahli keluargaku kudakap.Dengan berat hati aku meleraikan pelukan terakhirku dan mula melangkah meninggalkan keluargaku menuju ke balai perlepasan. “Abah, mak, along janji akan menjadi anak yang baik. Along akan tunaikan permintaan abah dan along akan buktikan keringat yang abah dan mak keluarkan tidak sia-sia.” Hatiku berbisik melafazkan janji.

            Kini sudah tiga tahun aku berjauhan dari keluarga. Mengerah kudrat yang ada untuk menunaikan harapan abah. Berada di negara orang bukanlah semudah yang disangka. Namun, aku bersyukur kerana mempunyai ramai sahabat yang membahuku di kala susah dan senang. Syafikahlah antara sahabat yang begitu hampir denganku. Walaupun berasal dari keluarga yang berada, dia tidak segan menghulurkan tangan untuk bersahabat denganku, anak penoreh getah. Baginya, taraf kehidupan bukanlah penghalang kepada sebuah persahabatan yang sejati. Lalu…kusambut huluran tangannya dan bersama bergandingan untuk merealisasikan impian sebagai mahasiswi Al-Azhar.

            “Pikah, boleh tak aku nak guna computer lepas zohor nanti. Aku nak telefon Malaysia la...” “Orait,tapi...” Syafikah mengenyitkan matanya. “Ape?” “Kau ganti aku masak hari ni. Aku balik lambat sikit petang ni. Sumayyah ajak teman pergi Sikah.” “Ok...beres, tapi jangan balik lambat sangat. Nanti tak pasal-pasal nama naik dekat DPMM.” “ Jangan risaulah…” Syafikah tersenyum.

            Nombor telefon Malaysia ku dail… Tut…tut… “Hello assalamualaikum…” “Wa’alaikumsalam…sape ni?” terdengar suara di talian. “Along ni…angah ke tu?” giliran aku pula bertanya. “Oh…orang Mesir rupanya. Lama tak telefon?” Angah menyindir. “Emm..angah je yang takde waktu along telefon. Padahal tiap-tiap minggu along call tau.” Aku memulangkan paku buah keras kepada angah. “Angah ni kan sibuk…YB la katakan…” “Banyaklah alasan angah. Macam mana belajar?” “Bolehlah…minggu depan percubaan STAM. Harap-harap dapat buat yang terbaik.” “Insyaallah…angah usaha dan doa banyak-banyak. Em…mak mana? Along nak cakap dengan mak."   

            Selepas hampir satu jam, aku menamatkan perbualan dengan keluarga. Sekurang-kurangnya terubat juga rasa rindu terhadap mereka. Kemudian aku meneruskan tugasan harianku seperti biasa.
           
                                    *                      *                      *                      *

            Dalam sedar mahupun tidak, setahun sudah pun berlalu. Kini aku sedang menduduki peperiksaan terakhir di Jamiah Al-Azhar dalam syukbah Syariah Islamiyyah. Aku menarik nafas. Dalam..lalu ku hembuskan perlahan. Ini ku lakukan agar dapat memusatkan sepenuh tumpuanku terhadap soalan yang ditanya. Hari ini adalah madah terakhirku dan aku mahu menjawab dengan baik. Dengan ucapan bismillah seperti kebiasaannya, aku mula menjawab. Tekun.... Satu demi satu soalan ku jawab sehinggalah selesai semua soalan. Tiada ruang kosong ku tinggalkan. Walau pun terdapat soalan yang agak sukar, namun aku cuba juga memenuhkannya setakat mana yang termampu.

Alhamdulillah. Akhirnya aku berjaya menghabiskan pengajianku selama empat tahun di bumi Nabi Musa ini dengan segulung ijazah. Aku melakukan sujud syukur bagi melahirkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga . “Alhamdulillah Pikah...tak sangka kan, akhirnya berjaya juga kita menghabiskan pengajian kita dekat Mesir ni.” “Yelah Zira...aku rasa macam tak percaya. Diam tak diam...cukup empat tahun kita kat sini dan cukup empat tahun juga kau jadi sahabat aku yang paling baik. Terima kasih kawan...”Syafikah melahirkan perasaannya. “Aku pun sama, kau banyak bantu aku selama ni, terutama dari segi kewangan. Aku bertuah dapat kawan macam kau. Aku rasa aku takkan dapat tempuhi segalanya dengan baik tanpa sokongan dan dorongan dari kau dan sahabat-sahabat yang lain.” Aku menuturkan kata dengan perlahan. Syafikah tersenyum sambil memegang tanganku. “Persahabatan ini adalah di atas dasar keikhlasan. Ukhwah yang terbina ini adalah untuk selama-selamanya.” Aku mengangguk lalu turut sama tersenyum.

                        *                      *                      *                      *

Sudah setahun aku kembali ke tanahair. Kini aku berkhidmat sebagai guru di salah sebuah sekolah menengah agama yang berhampiran dengan kampungku. Ketika hari minggu pula, aku membuka kelas pengajian Fardhu Ain bagi anak-anak  dan golongan berumur dari kalangan mak cik- mak cik di kampungku. Walau pun agak penat, namun aku gembira dengan tugasan baruku. Ini adalah pemulaan kepada perjalanan hidupku.

“Abah bangga dengan along. Along dah tunjukkan contoh yang baik untuk adik-adik along serta anak-anak di kampung ni. Teruskan usaha along untuk mendidik masyarakat. Abah dan mak akan membantu mana yang termampu.” Luah abah suatu petang ketika kami duduk di pangkin mengambil angin petang. Aku memandang abah dengan pandangan yang penuh bermakna. “ Along yang sepatutnya berbangga kerana mempunyai abah dan mak yang tak pernah jemu menasihati dan mendoakan yang terbaik buat along. Along bersyukur bah…Along tahu, apa yang along berikan pada abah dan mak tak sama sebagaimana budi abah dan mak ketika membesarkan along. Along janji yang along takkan sesekali lupakan jasa kalian berdua.” “Abah dan mak taknak apa-apa dari Along mahu pun dari adik-adik Along yang lain. Apa yang kami hendak adalah kamu semua jadi anak soleh dan solehah. Bila kami mati nanti...doa kamu semualah yang kami harapkan.” Abah membuang pandang ke arah jalan. Pandangan itu jauh dan penuh pengharapan. Ku renung wajah abah, wajah itu sudah dimamah usia. Uban sudah memutih di kepalanya. Aku merasa tenang menatap wajah tua abah. Wajah itu memberikan semangat kepadaku. “Insyaallah, along akan cuba tunaikannya...” Abah tersenyum.

                        *                      *                      *                      *

“Along…..”

“Angah lari ngah…” Angah terjatuh. Aku menoleh ke belakang untuk melihat angah. Serentak itu juga hayunan kakiku terhenti...

“Aik? Mane lembu yang kejar kita angah?” Mataku melilau mencari kawanan lembu yang meluru ke arah kami tadi. “Along....”

Aku mendapatkan angah yang tersungkur lalu mambantunya bangun. “Ha..ha..ha...angah kena taik lembu...eii...busuknye...” Aku mula mengejek apabila melihat sebelah kaki angah tercalit najis lembu yang berada di kawasan itu. “Cakap kat mak…” angah mula menangis…

“Along,angah, buat ape kat sini ni?” “Makk..” serentak aku dan angah memanggil.

Rupa-rupanya, maklah yang menghalau kawanan lembu tadi. Kami menyangka lembu-lembu tersebut mengejar kami. Malunya pada pak cik Samad yang menoreh getah ketika aku dan angah sama-sama berlari. Patutlah dia pandang dengan wajah yang pelik. Malunyaa....