Rabu, 5 Januari 2011

KISAH KELEBIHAN SELAWAT KE ATAS NABI MUHAMMAD S.A.W

إِنَّ اللَّهَ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا (الأحزاب: 56). 



             SYAFAAT SELAWAT KEPADA RASULULLAH S.A.W

Sufyan As-Sauri  RA bercerita :

Ketika bertawaf mengelilingi Kaabah, aku melihat seorang lelaki. Setiap kali dia melangkah, dia terus berselawat kepada Rasulullah s.a.w. Aku berasa hairan apabila melihat keadaan itu. Aku mendekatinya dan bertanya, “Mengapa engkau meninggalkan bacaan tasbih, tahmid dan tahlil tetapi hanya membaca selawat sahaja? Apakah ada sesuatu terjadi kepada dirimu?”

“Tuan ini siapa? Moga-moga Allah s.w.t merahmatimu,” kata lelaki tersebut.

“Namaku Sufyan As-Sauri,” jawabku.

“Sekiranya tuan ini bukan seorang yang ‘Arif pada zaman ini, tentulah aku tidak akan mempedulikan kata-katamu itu. tetapi lantaran tuan ini seorang yang ‘Arif, dan mungkin rahsia ini masih belum tuan ketahui, aku akan memberitahu tuan rahsiaku ini,” jawab lelaki itu.

“Baiklah, dengarlah ceritaku ini,” sambungnya lagi.

Aku meninggalkan negeriku bersama-sama ayahku bagi mengerjakan ibadah haji ke Baitullah al-haram, kemudian kami menziarahi maqam Rasulullah s.a.w. Kami tidak lupa berselawat dan salam ke atas junjungan baginda. Ketika di pertengahan jalan, ayahku tiba-tiba jatuh sakit. Sakitnya terlalu kronik. Aku berusaha merawat dan menjaganya dengan sepenuh kemampuanku. Namun, semuanya sia-sia kerana ayahku tidak dapat dirawat lagi dan akhirnya meninggal dunia.

Aku sangat sedih di atas pemergiannya. Namun, apa yang membuatkan hatiku bertambah sedih ialah keadaan wajah ayahku yang asalnya tampan bercahaya berubah menjadi hitam legam dan begitu menakutkan. Aku sangat terkejut melihat keadaan tersebut. Lalu, aku menangis kesedihan sambil mengambil kain untuk menutup wajahnya. Sungguh tidak terbayang kesedihan yang kutanggung ketika menyaksikan keadaan ayahku yang sebegitu rupa. Lebih-lebih lagi dia meninggal dunia di tempat orang. Betapa malunya jika ada orang yang mengetahui keadaan ayahku saat itu. apatah lagi ayahku sendiri merupakan ahli ibadah.

Aku terus menunggu dengan perasaan hati yang hancur. Aku hanya mampu menanhis dan tidak mampu berbuat apa-apa. Aku terus bertafakur di sisi kepala ayahku. Tiba-tiba aku tertidur dan bermimpi seakan-akan melihat sinar yang semakin mendekati tempatku. Ternyata sinar itu bersumber daripada seorang lelaki yang sangat gagah dan tampan. Pakaiannya bersih, wajahnya bersinar terang, dan baunya harum sekali. Aku tidak pernah melihatnya sebelum ini, dan aku belum mengenalinya.

Dia terus menuju kepadaku. Satu-satu jalannya sehingga dia berada di sisiku.

“Apa yang berlaku kepada dirimu?” dia bertanya.

“Ayahku telah meninggal dunia,” aku menangis. Belum sempat aku bercerita seterusnya, dia berkata, “Janganlah menangis! Semua mesti mati!”

“Tetapi wajahnya...”kataku. “Wajahnya hitam legam. Tolonglah aku!”aku merayu-rayu mengharapkan bantuan.

Tanpa berkata apa-apa, dia terus membuka kain yang menutup wajah ayahku itu, lalu mengusapkan telapak tangannya pada wajah ayahku. Ajaib sekali! Aku hamper tidak percaya apa yang berlaku. Wajah ayahku kembali putih bersih, dan lebih bercahaya dari asalnya. Apakah penawarnya?

Dia kemudian mengambil kain tadi dan menutup semula wajah ayahku kembali. Kemudian dia hendak kembali semula dari arah dia datang.

Melihat dia mahu pergi, dan aku belum tahu lagi siapakah dirinya yang sebenar, aku segera memegang bajunya sambil bertanya, “Siapakah tuan yang telah menolong ayahku ini?”

Dia tersenyum, kelihatan nur bersinar daripada senyumannya. Wajahnya seperti bulan purnama.

“Aku ini Muhammad,” dia menjawab.

“Muhammad?” aku meminta penerangan yang lebih jelas.

“Muhammad, Rasulullah. Akulah pembawa Al-Quran,” dia menjelaskan.

Aku terduduk dan terpinga-pinga sambil menikmati wajahnya yang mulia itu. “Inilah dia Rasulullah s.a.w,” aku berkata dalam hatiku. Lisanku kelu, tidak berkata apa pun.

“Ayahmu ini terlalu banyak membuat perkara yang sia-sia dalam hidupnya. Namun begitu, dia selalu berselawat dan salam kepadaku. Ketika dia mengalami perkara buruk seperti ini, dia memohon kepadaku untuk membantunya. Sebab itu aku datang ke mari untuk membantunya, dan aku selalu menolong orang yang selalu membaca selawat dan salam kepadaku,” jelas baginda.

Pada saat itulah aku terkejut daripada mimpiku itu, dan terus teringat apa yang berlaku dalam mimpi itu tadi. Aku terus membuka kain yang menutupi wajah ayahku, dan betullah seperti yang berlaku dalam mimpiku tadi. Wajah ayahku telah kembali putih bersih dan lebih bercahaya dari sebelumnya.

Aku termenung mengingatkan apa yang berlaku dalam mimpi yang berkat itu. Aku berkata dalam hati, “Mengapa tidak mengambil masa yang lebih lama mimpiku tadi supaya aku berada lebih lama di samping manusia utama yang amat mulia itu. Oh!”

“Inilah kisahnya, wahai Sufyan As-Sauri! Sekarang engkau sudah tahu rahsia mengapa aku terus berselawat ke atas Nabi s.a.w setiap kali aku melangkah. Aku akan terus berselawat ke atasnya sebanyak yang aku mampu. Moga-moga aku mendapat pertolongannya pada suatu hari nanti, sama ada di dunia mahupun di akhirat,” lelaki itu menjelaskan kepada Sufyan As-Sauri, lalu dia pun berjalan meneruskn tawafnya, sedang lisannya tidak berhenti daripada menyebut selawat dan salam ke atas baginda s.a.w.

Semoga kita mendapat iktibar dan manfaat daripada kisah tersebut. Maka, perbanyakkanlah berselawat dan salam ke atas junjungan agung Nabi Muhammad s.a.w. Moga kita semua beroleh syafaat daripada baginda di akhirat kelak.

Allahumma solli 'ala muhammad wa 'ala ali muhammad.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan