Sabtu, 19 Disember 2009

JIN. GANGGUAN DAN CARA MENGUBATINYA (Bahagian 3)

1.5 JANTINA JIN

Anas r.a berkata : “Bila masuk tandas, Rasulullah s.a.w membaca doa :

اَللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوْذُبِكَ مِنَ الْخُبْثِ وَالْخَبَائِثِ
Ertinya : “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan jin lelaki dan perempuan”.

Dari penjelasan doa Nabi tersebut, jelaslah bahawa jin juga seperti manusia, ada lelaki dan ada pula yang perempuan. Begitu juga dengan syaitan, mereka juga mempunyai jantina seperti manusia dan jin.

1.6 BENTUK DAN SIFAT JIN

Di dalam perbincangan yang lepas, kita telah mengetahui bahawa jin tidak lagi berbentuk seperti bahan asal kejadiannya iaitu api. Oleh hal yang demikian, tentulah mereka mempunyai bentuk yang khusus seperti manusia dan makhluk lain di bumi ini. Kita seringkali diwar-warkan tentang rupa bentuk yang buruk dan hodoh mengenai jin. Masyarakat melayu khususnya terlalu percaya kepada kewujudan hantu dan memberikan beberapa nama yang bagi menunjukkan keadaan makhluk tersebut. Sebagai contoh, makhluk yang berwarna hijau dan tubuhnya yang menyerupai kanak-kanak digelar sebagai toyol. Manakala, yang berbadan besar dan berbulu pula digelar sebagai hantu raya serta lain-lain seperti langsuir, polong, pelesit, pocong dan sebagainya.
Namun, dakwaan tersebut tidaklah benar kerana bentuk yang dilihat oleh manusia adalah bentuk-bentuk penjelmaan yang dilakukan oleh jin dan syaitan. Di dalam buku ‘Dialog dengan Jin Islam’ hasil karya Muhammad Isa Dawud, penulis telah menerangkan bahawa terdapat banyak perkara yang salah dalam menafsirkan bentuk jin sebagaimana yang diberitahu oleh jin Islam yang bernama Musthafa melalui perbualan tersebut. Lalu, bagaimanakah rupa bentuk jin yang sebenarnya?
Menurut pengakuan jin tersebut, keadaan mereka adalah tidak jauh dari manusia kecuali beberapa perbezaan yang menyebabkan mereka lain dari manusia. Antara perbezaan yang terdapat pada mereka ialah bentuk kepala yang lebih besar apabila dibandingkan dengan tubuh mereka. Mereka juga mempunyai mata yang memanjang dan tidak bulat seperti mata manusia kebiasaannya. Ada di antara mereka yang mempunyai mata yang memanjang ke arah atas, dan ada pula yang sedikit miring ke arah dahi. Lazimnya mata mereka adalah besar dan lebar seperti mata rusa, namun dalam bentuk yang memanjang.
Kita sering beranggapan bahawa mata jin dan makhluk seumpamanya sentiasa berwarna merah, tetapi ini dinafikan oleh jin tersebut dan dia menyatakan hanya dalam keadaan tertentu sahaja mata mereka akan berwarna merah. Bahkan mata mereka seperti mata manusia yang mempunyai pelbagai warna seperti hitam, kuning, coklat tua, hijau dan sebagainya. Dijelaskan bahawa keadaan mata mereka yang berwarna merah adalah di sebabkan adanya sinar-sinar halus yang memancar dari mata mereka iaitu sinar yang selamanya cenderung kepada warna merah. Bagi mereka, itu adalah satu kecantikan dan keindahan yang tidak menakutkan bagi sesiapa yang menatapnya.
Telinga mereka pula adalah mirip kepada telinga kuda iaitu dari segi bentuknya yang runcing. Bahkan ada pula yang menyerupai telinga kucing kerana apabila diperhatikan secara teliti, telinga kucing adalah hampir sama dengan telinga kuda.
Hidung mereka pula terletak di tengah-tengah wajah seperti kedudukan hidung manusia tetapi tidang mancung dan lazimnya dalam keadaan yang pesek atau bulat. Bagi jin Islam, biasanya mereka memanjangkan janggut untuk mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. Keadaan rambut mereka adalah sangat tebal, lebih-lebih lagi bagi golongan jin perempuan. Sifatnya pula adalah agak kasar dan sangat panjang bagi jin perempuan dan kebiasaannya botak bagi jin lelaki.
Dijelaskan juga, keadaan tangan mereka iaitu menyerupai tangan manusia tetapi agak panjang bila dibandingkan kepada tubuh mereka dan tidak seperti keadaan tangan manusia yang terletak cantik pada tempatnya. Mereka mempunyai kuku dan jari yang panjang dan keadaan kaki yang tidak sama dengan manusia iaitu dari segi letak tumit dan keruncingan jarinya.
Sementara itu, tulang mereka agak besar dibandingkan dengan kulit dan daging mereka. Mereka juga mempunyai kelenturan yang tidak dapat kita bayangkan. Organ-organ mereka pula agak kecil tetapi berfungsi sebagaimana organ manusia berfungsi walaupun mereka tidak memerlukan oksigen untuk bernafas.
Alat pencernaan mereka pula juga berfungsi sebagaimana lazimnya alat pencernaan berfungsi selepas makan atau minum. Sisa-sisa pencernaan keluar dari lubang-lubang pencernaan mereka seperti manusia walaupun keadaan najis mereka lebih kepada menyerupai wap yang sangat pekat. Sedangkan air kencing mereka adalah berbentuk gas yang sangat kuat tekanannya tetapi sangat ringan dan ianya mirip kepada air pancuran yang dibuat oleh manusia.
Seperti manusia dan makhluk yang Allah s.w.t ciptakan di dunia ini, jin juga mempunyai alat kelamin yang membolehkan mereka melakukan hubungan lelaki dan perempuan. Bolehlah dikatakan di sini bahawa keadaan jin adalah hampir sama dengan manusia iaitu mempunyai rasa berahi terhadap lawan jenis mereka. Mereka juga mempunyai sperma apabila terjadinya persetubuhan di antara mereka.
Mengenai kepala, Nabi s.a.w telah bersabda yang bermaksud:“ Sesungguhnya matahari ketika terbit ia membawa tanduk syaitan. Ketika ia naik, dilepaskannya tanduknya. Kemudian ketika ia tepat di tengah ufuk, dikenakannya kembali tanduknya. Namun ketika tergelincir, tanduk itu ditanggalkannya, untuk kemudian dikenakannya lagi ketika ia matahari tenggelam. Ketika betul-betul tenggelam, tanduk itu ditanggalkannya. Kerana itu, janganlah kalian solat pada tiga waktu tersebut.” Baginda juga mengatakan, “Sesungguhnya matahari terbit di antara dua tanduk syaitan dan tenggelam di antara dua tanduk syaitan pula.”
Seterusnya baginda juga menyatakan “Jangan kalian mendekatkan solat kalian dengan waktu terbit dan tenggelamnya matahari, sebab ia terbit di antara dua tanduk syaitan, dan tenggelam di antara dua tanduk syaitan pula.”
Oleh hal yang demikian, para ulama’ telah berbeza pendapat dalam menafsirkan makna hadis yang telah disebutkan di atas. Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan hadis tersebut adalah syaitan mengikutinya dengan kedua tanduknya ketika matahari terbenam, dan demikian pula apabila matahari terbit. Hal ini kerana orang kafir bersujud kepada matahari, kerana itulah syaitan menyertai terbit dan tenggelamnya matahari agar orang-orang kafir sujud kepada mereka.
Ada pula yang berpendapat bahawa hadis tersebut mengandungi pengertian kiasan (majazi), dan yang dimaksudkan “tanduk” atau “dua tanduk” adalah kehebatan, kesombongan, kekuasaan, kemampuan dan pengikut-pengikut syaitan.
Berdasarkan hadis Nabi s.a.w tersebut, Jin Islam yang berdialog dengan penulis buku ‘Dialog dengan Jin Islam’ menyatakan bahawa para jin memang mempunyai tanduk dan keadaannya adalah mengikut tubuh mereka, iaitu kecil dan pendek jika mereka bertubuh kecil dan sebaliknya. Apa yang dapat disimpulkan di sini, jin mempunyai tanduk tetapi tidaklah terlalu besar dan panjang seperti yang selalu digambarkan oleh kita.
Sebagaimana halnya manusia, jin juga mempunyai warna kulit yang pelbagai seperti hitam, merah, dan putih. Bagi yang berwarna hitam, warnanya adalah lebih pekat dari kulit manusia yang gelap dan kulit mereka juga melekat dengan daging serta kebanyakkannya berbulu tebal.
Jin juga mempunyai lidah yang sesuai dengan tubuh mereka dan gigi yang selalunya panjang-panjang atau besar. Bagi jin yang beragama Islam, mereka mengenakan pakaian yang pelbagai seperti jubah dan kemeja yang selalunya berwarna merah iaitu warna kesukaan jin, dan ada juga yang berwarna kuning dan hitam. Bagi jin perempuan yang Islam,mereka memakai pakaian yang menutup aurat seperti tudung atau jilbab dan jubah. Hal ini bersesuaian dengan firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Ahzab : 59 yang bermaksud. “Hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka.”
Jin kafir pada kebiasaannya memakai terompah atau selipar di sebelah kaki kiri mereka dan membiarkan kaki kanan tanpa memakai apa-apa. Berbeza halnya dengan keadaan jin Islam, mereka tidak memakai terompah pada satu kaki sahaja, tetapi mereka memakainya pada kedua-dua kaki mereka. Oleh itu, larangan Nabi s.a.w supaya kita tidak memakai satu terompah adalah benar kerana syaitan dan jin kafir memang memakai satu terompah sahaja. Larangan tersebut bertujuan agar kita mengikut perbuatan mereka yang ingkar kepada Allah s.w.t.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan