Memaparkan catatan dengan label Alam misteri.... Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Alam misteri.... Papar semua catatan

Ahad, 3 Januari 2010

JIN. GANGGUAN DAN CARA MENGUBATINYA (Bahagian 7)

GANGGUAN JIN TERHADAP MANUSIA.

3.0 GANGGUAN JIN TERHADAP MANUSIA.

Syeikh Abu Bakar Al-Jaza’ir berkata : “Gangguan jin kepada manusia adalah merupakan perkara yang yang pernah terjadi dan tidak dapat untuk diingkari, hal ini telah lama dibuktikan melalui peristiwa yang nyata. Bahkan akal manusia pun dapat membenarkannya. Oleh kerana itu, jika sekiranya tidak ada malaikat yang ditugaskan Allah s.w.t untuk menjaga manusia, nescaya manusia tidak ada yang selamat dari gangguan jin dan syaitan, kerana manusia tidak mampu melihat mereka dan mereka mempunyai kemampuan untuk berubah rupa dan bentuk, bahkan dengan bentuk yang sangat halus sehingga kita tidak dapat kita ketahui melalui deria.”
Justeru, tidak diragukan lagi bahawa sebahagian jin dapat mengganggu dan menyakiti manusia, hal ini mungkin kerana manusia telah menyakiti mereka, seperti menumpahkan air panas kepada mereka, mengencingi mereka, memijak sebahagian rumah mereka dan membunuh anak-anak mereka tanpa sengaja. Hal ini boleh sahaja terjadi kerana manusia tidak mengetahuinya. Boleh jadi juga hal ini terjadi oleh kerana kezaliman dan perasaan dengki mereka terhadap manusia, sehingga sanggup menyakiti manusia tanpa sebab apapun, sebagaimana yang pernah terjadi di antara sesama manusia sendiri.
Syeikh Al-Jaza’ir berkata lagi : “Di dalam hadith yang sahih telah disebutkan bahawa, ketika seorang pemuda dari kaum Ansar menikam jin yang pada waktu itu menyerupai seekor ular sehingga ia mati, maka jin-jin yang lainnya membalas dendam dengan membunuh pemuda tersebut sehingga Abu Sa’id Al-Khudri berkata : “Tidak dapat diketahui entah siapa yang mati dahulu, adakah ular atau pemuda Ansar tersebut.”
Mengikut kata Syeikh Al-Jaza’ir lagi : “Oleh kerana itu tidak menghairankan jika perkara ini dapat dipercayai oleh masyarakat luas, kerana alasannya sangat kuat.”
Dalam riwayat yang lain pula diceritakan, bahawa ada seorang perempuan bernama Sa’diah. Pada waktu dia masih kecil, Sa’diah seringkali mengangkat tandan kurma bersama adiknya untuk memindahkan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Adiknya di bahagian atas, sedangkan Sa’diah di bahagian bawah. Oleh kerana tali yang mereka gunakan untuk mengikat tandan kurma itu tidak kuat, ianya menyebabkan tandan kurma itu terjatuh ke tanah dan menimpa salah seorang jin tanpa sengaja. Peristiwa ini sangat menyakiti hati jin tersebut, sehingga jin itu membalas dendam kepadanya.
Pada saat Sa’diah tidur, jin itu selalu datang kepadanya, dua atau tiga kali seminggu. Jin itu mencekik lehernya hingga Sa’diah meronta-ronta seperti kambing yang disembelih. Ia tidak mahu melepaskannya sehingga tubuh Sa’diah menjadi lemah. Jin itu pernah mengatakan kepada Sa’diah, bahawa dia melakukan hal itu kerana Sa’diah pernah menyakitinya pada hari ini, di tempat ini dan bagaimana ia terjadi. Jin terus datang dan menyeksa Sa’diah sehinggalah Sa’diah meninggal dunia setelah melalui penyeksaan tersebut selama sepuluh tahun.
Hal inilah yang disebut ulama’ sebagai kerasukan jin, dan ini adalah salah satu bukti yang menunjukkan adanya gangguan jin kepada manusia.

3.1 TANDA-TANDA WUJUDNYA GANGGUAN JIN.

Terdapat banyak tanda yang menunjukkan wujudnya kehadiran jin dan gangguan mereka terhadap manusia. Tanda-tanda tersebut kadang-kadang seringkali terjadi kepada diri kita tanpa kita sedari.

3.1.1 TANDA-TANDA PADA WAKTU TIDUR

1. Sangat susah tidur pada waktu malam, jika dapat tidur pun,ianya selepas bersusah payah dan mengambil masa yang lama.
2. Rasa cemas dan sering terbangun pada waktu malam.
3. Mimpi yang buruk atau mimpi melihat sesuatu yang menakutkan serta ingin memekik untuk meminta pertolongan akan tetapi tidak sanggup.
4. Mimpi yang sangat menyeramkan.
5. Mimpi melihat berbagai macam binatang seperti melihat kucing, anjing, unta, ular, singa, serigala atau tikus.
6. Gigi geraham yang berbunyi pada waktu tidur.
7. Tertawa, menangis atau memekik pada waktu tidur.
8. Berperasaan sedih pada saat tidur.
9. Berdiri serta berjalan ketika tidur tanpa sedar.
10. Mimpi seolah-olah akan jatuh dari tempat yang tinggi.
11. Mimpi sedang berada di kuburan, ditempat pembuangan sampah atau tempat yang mengerikan.
12. Bermimpi melihat orang sangat aneh, seperti sangat tinggi, sangat pendek atau sangat hitam.
13. Bermimpi melihat hantu.
3.1.2 TANDA-TANDA WAKTU JAGA ATAU SEDAR
1. Kepala selalu pusing, yang tidak disebabkan oleh penyakit pada dua mata, telinga, hidung, gigi, tekak atau perut.
2. Selalu lupa dari zikir Allah, solat dan ketaatan lainnya.
3. Fikiran yang kacau,selalu lesu dasn malas,saraf yang tersumbat.
4. Rasa sakit pada salah satu anggota badan sedangkan doktor perubatan tidak sanggup mengubatinya.

Ahad, 27 Disember 2009

JIN. GANGGUAN DAN CARA MENGUBATINYA (Bahagian 5)

2.0.2 UMUR JIN

Sepertimana yang kita ketahui bahawa jin mempunyai usia yang sangat panjang berbanding manusia. Di antara mereka ada yang berusia ratusan, malah ada yang berusia lebih dari ribuan tahun. Ini bersesuaian dengan pemintaan mereka agar Allah s.w.t mengurniakan umur yang panjang kepada mereka.
Bagi jin yang berusia 180 tahun, apabila dikiaskan dengan umur manusia adalah seperti remaja yang berusia 15 atau 16 tahun. Inilah yang menunjukkan bahawa mereka mempunyai umur yang sangat panjang.

2.0.3 AGAMA DAN AKIDAH JIN.

Kehidupan yang dilalui oleh bangsa jin adalah tidak jauh bezanya dengan apa yang dilalui oleh bangsa manusia. Ini termasuklah di dalam soal ibadat dan pekerjaan yang lain. Allah s.w.t telah berfirman :
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ
Maksudnya : “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka itu beribadah.”

Inilah dalil yang kuat untuk menyatakan bahawa jin juga perlu menunaikan kewajipan sebagaimana manusia. Dan bagi jin yang mukallaf, mereka wajib menunaikan segala yang diperintahkan oleh Allah s.w.t kepada mereka sebagaimana firman-Nya :

. يَامَعْشَرَ الْجِنِّ وَالإِنسِ أَلَمْ يَأْتِكُمْ رُسُلٌ مِنْكُمْ يَقُصُّونَ عَلَيْكُمْ آيَاتِي وَيُنذِرُونَكُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَذَا قَالُوا شَهِدْنَا عَلَى أَنفُسِنَا وَغَرَّتْهُمْ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَشَهِدُوا عَلَى أَنفُسِهِمْ أَنَّهُمْ كَانُوا كَافِرِينَ

Maksudnya : “Wahai golongan jin dan manusia, apakah belum datang kepadamu Rasul-rasul dari golongan kamu sendiri, yang menyampaikan kepadamu ayat-ayat-Ku dan memberi peringatan kepadamu terhadap pertemuanmu dengan hari ini?”

Jin juga menganut pelbagai agama seperti agama Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan ada juga yang Athies iaitu tidak percaya kepada mana-mana agama.
Sabda Nabi s.a.w :
إِنَ بِالْمَدِيْنَةِ نَفَرَا مِنَ الْجِنِّ قَدْ أَسْلَمُوْا
Maksud : “Sesungguhnya di Madinah ini terdapat golongan jin yang masuk Islam.”
Bagi jin yang muslim, ada di kalangan mereka yang berfahaman atau menganut aliran Qadariyyah, Syiah, Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ada juga yang Ahli Bid’ah serta lain-lain aliran. Dari kalangan mereka yang muslim ini juga, ada yang taat, ada yang suka membuat maksiat, ada yang bertakwa dan ada yang melakukan dosa. Tentang hal ini, Allah s.w.t telah berfirman di dalam kitab suci al-Quran :

وَأَنَّا مِنَّا الصَّالِحُونَ وَمِنَّا دُونَ ذَلِكَ كُنَّا طَرَائِقَ قِدَدًا

Maksudnya : “Dan sesungguhnya, di antara kami ada orang-orang yang soleh dan di antara kami ada pula yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza.”
Ibn Abbas ketika menafsirkan ayat ini mengatakan bahawa di antara jin, ada yang mukmin dan ada pula yang kafir.
Begitu juga Ibn Taimiyah berpendapat bahawa jin itu ada yang muslim, ada yang kafir, ada yang Ahli Sunnah dan ada pula yang Ahli Bid’ah.
Para ulama’ bersepakat, bahawa jin yang kafir tempatnya di akhirat adalah di neraka, dan bagi jin mukmin yang beramal soleh pula adalah di syurga.
Firman Allah s.w.t :
لَمْ يَطْمِثْهُنَّ إِنسٌ قَبْلَهُمْ وَلاَ جَانٌّ
Maksudnya : “Mereka tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka) dan tidak pula oleh jin.”

Firman Allah s.w.t :

أُوْلَئِكَ الَّذِينَ حَقَّ عَلَيْهِمْ الْقَوْلُ فِي أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِمْ مِنْ الْجِنِّ وَالإِنسِ إِنَّهُمْ كَانُوا خَاسِرِينَ (18) وَلِكُلٍّ دَرَجَاتٌ مِمَّا عَمِلُوا وَلِيُوَفِّيَهُمْ أَعْمَالَهُمْ وَهُمْ لاَ يُظْلَمُونَ (19)

Maksudnya : “Mereka itulah orang-orang yang telah ditetapkan (untuk mengalami seksa) di antara umat-umat terdahulu sebelum mereka dari kalangan jin dan manusia. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang merugi. Kemudian dilanjutkan, dan bagi masing-masing diberikan darjat yang sesuai apa yang mereka kerjakan, dan agar mencukupkan bagi mereka (balasan) pekerjaan-pekerjaan mereka sedang mereka tiada merugikan”
(Surah Al-Ahqaf : 18-19)
Di dalam ayat ini terdapat bukti yang menunjukkan bahawa jin yang taat masuk syurga dan yang kafir dan melakukan maksiat akan masuk neraka.

2.0.4 TEMPAT TINGGAL DAN MAKANAN JIN

Bangsa jin lebih mengutamakan untuk tinggal di tempat-tempat yang sunyi dan sepi dari manusia seperti di padang pasir, hutan belantara dan ada juga yang tinggal di tempat yang kotor seperti tempat pembuangan sampah.
Sementara itu, ada juga jin yang tinggal bersama-sama manusia di bandar-bandar besar, dalam rumah, atas bumbung rumah dan sebagainya.
Yazid bin Jabir pernah berkata : “Pada setiap rumah ada jin yang tinggal di atapnya, setiap kali makanan siang diletakkan, maka mereka akan turun dan makan bersama penghuni rumah, demikian pula pada waktu makan petang hari.”
Abu Bakar bin Ubaid dari Yazid juga meriwayatkan : “Pada setiap rumah kaum Muslimin ada jin Islam yang tinggal di atas atap rumahnya, bila makan siang diletakkan, mereka turun dan ikut serta makan bersama penghuni rumah, begitu juga bila makanan malam diletakkan, mereka juga turun makan bersama penghuni rumah.”
Jin juga ada yang menjadikan tandas sebagai tempat tinggalnya. Sebagaimana dalam keterangan hadis dari Yazid bin Arqam menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
“Sesungguhnya pada tiap-tiap tempat pembuangan kotoran ada di datangi jin, kerana itu bila seseorang kamu datang ke tandas maka hendaklah ia mengucapkan doa : ‘Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadamu dari jin lelaki dan perempuan’.”
Yang di maksudkan dengan jin yang tinggal di tandas dalam hadis ialah jin kafir, kerana mereka mengutamakan tempat-tempat najis dan kotor. Justeru itu, jin kafir merasa sesak oleh bau wangi. Sedangkan jin muslim menyukainya sebagaimana orang muslim menyukai bau-bauan yang wangi.
Jin juga sangat suka tinggal di lubang-lubang. Oleh itu ada hadis yang menyebutkan yang bermaksud :“Janganlah kamu kencing di lubang”
Jin juga sangat suka tinggal di tempat-tempat yang terdapat air seperti sungai-sungai, lautan dan sebagainya. Hal ini kerana, apabila azan berkumandang , para jin yang kafir dan syaitan akan lari ke tempat-tempat yang ada air, malahan ada yang lari bersembunyi di dalam lubang-lubang tandas dan kotoran.
Sebagaimana manusia, jin juga memerlukan makanan dan minuman untuk memberi tenaga kepada mereka. Daripada Ibn Mas’ud katanya : Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Aku pernah didatangi jin dan aku pun pergi bersamanya, lalu aku membacakan al-Quran kepada mereka. Ibn Mas’ud berkata : Kemudian Nabi s.a.w mengajak kami pergi dan memperlihatkan bekas jin dan bekas api mereka kepada kami. Mereka meminta bekal kepada Nabi s.a.w. Baginda bersabda : Setiap tulang yang disebut nama Allah ke atasnya adalah bekal kamu dan ia melebihi kelazatan daging dan setiap kotoran binatang adalah sebagai makanan bagi haiwan tunggangan kamu. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda : Oleh itu, janganlah kamu beristinjak dengan tulang atau kotoran haiwan kerana ia merupakan makanan saudara-saudara kamu (jin)”
Selain itu, bagi jin yang kafir dan syaitan pula, mereka makan makanan yang tidak disebutkan Bismillah padanya. Mereka juga makan bahan makanan seperti wap dan bau-bauan dari kemenyan atau sebagainya.

Sabtu, 26 Disember 2009

JIN. GANGGUAN DAN CARA MENGUBATINYA (Bahagian 4)

KEHIDUPAN, KEMAMPUAN DAN JENIS-JENIS JIN.

2.0 KEHIDUPAN JIN DAN SYAITAN.

Jin adalah makhluk yang sangat banyak bilangannya dan tidak dapat dibayangkan oleh akal manusia. Jika jumlah anak Adam yang manjadi penduduk bumi mencapai jumlah lima billion, maka jumlah jin yang menjadi penghuni bumi pula adalah berbillion kali banyaknya dari jumlah manusia. Amat jarang ada sesuatu tempat di bumi ini yang tidak diduduki oleh jin, baik di darat, lautan mahupun udara.
Imam Zamaksyari di dalam bukunya ‘Rabiul Abrar’ menjelaskan : Allah s.w.t menjadikan makhluk yang bernyawa menjadi empat kelompok, iaitu :
a) Malaikat
b) Syaitan
c) Jin
d) Manusia
Keempat-empat kelompok itu dibahagikan menjadi sepuluh bahagian. Sembilan bahagian adalah malaikat, manakala yang satu bahagian adalah jin, syaitan dan manusia. Yang satu bahagian ini pula dibahagikan menjadi sepuluh bahagian. Sembilan bahagian adalah syaitan dan satu bahagian lagi adalah jin dan manusia.
Jin dan manusia pula dibahagikan lagi menjadi sepuluh bahagian. Sembilan bahagian untuk jin manakala satu bahagian adalah untuk manusia. Dengan itu dapatlah dijelaskan di sini bahawa jin kafir lebih banyak berbanding jin Islam. Perbandingannya adalah satu persepuluh. Maka keramaian manusia berbanding dengan keramaian jin hanya satu persepuluh sahaja. Atau boleh juga dikatakan bahawa jumlah jin adalah sepuluh kali ganda jumlah manusia. Di samping itu, jin kebiasaannya berumur panjang dan kematian di kalangan mereka adalah sangat lambat berbanding manusia.

2.0.1 SIAPAKAH MOYANG JIN?

Seperti manusia, jin juga mempunyai asal atau moyang bagi keturunan mereka. Adam a.s digelar Abul Basyar kerana baginda adalah moyang dan permulaan kepada seluruh umat manusia di muka bumi ini. Iblis pula digelar Abul Syaitan kerana dia merupakan moyang kepada semua syaitan dan jin yang kafir. Namun dari manakah asal Iblis?
Al-Imamus Al- Syahid Sayyid Qutb berpendapat di dalam kitabnya ‘Fi Zilalil Quran’ : Bahawa iblis itu termasuk di dalam golongan jin; dan ketika beliau mentafsirkan firman Allah s.w.t pada ayat إلا ﺍﻹبلس pada tutur kata beliau menyatakan bahawa iblis itu bukan dari golongan malaikat, sebab sekiranya ia dari golongan malaikat, tentulah tidak derhaka kerana malaikat tidak pernah derhaka kepada Allah s.w.t. Yang jelasnya, Iblis adalah termasuk dalam kelompok jin sebagaimana al-Quran ada menyebut bahawa Allah s.w.t menciptakan jin dari nyala api yang panas. Maka dari sinilah terpisah dari segi ciptaannya sahaja, sedangkan malaikat dijadikan Allah s.w.t daripada cahaya.
Maka jelaslah di sini bahawa Iblis adalah termasuk dalam kelompok jin. Maka, siapakah moyang kepada Iblis mahupun jin itu sendiri? Di dalam pemerhatian dan kajian saya di dalam beberapa buku yang berkaitan dengan jin dan syaitan, saya menemui bahawa moyang kepada jin dipanggil ‘Jan’ (dengan ‘a’ dipanjangkan). Al-Syibli menjelaskan dalam ‘Akam Al-Marjan’ bahawa namanya adalah Sumia, sedangkan Al-Suyuthi dalam ‘Luqth Al-Marjan’ meriwayatkan dari Ibn Abbas, katanya, “Ketika Allah s.w.t menciptakan Samum, yakni moyang jin yang diciptakan dari api yang menyala-nyala, Allah s.w.t berfirman yang maksudnya : “Sampaikan kepadaku harapanmu.” Maka Samum menjawab, :Aku berharap kami tidak boleh dilihat, dan agar kami dapat ghaib di angkasa dan tidak mati terlebih dahulu jin-jin tua kami sebelum dia menjadi muda.”
Hanya Allah s.w.t sahaja yang mengetahui tentang sejauh mana kebenaran riwayat ini, dan sejauh mana penisbahannya kepada Ibn Abbas. Namun apa yang dapat kita ketahui di sini ialah, Jan merupakan moyang kepada semua jin di dunia ini. Berkenaan dengan Iblis, dia adalah keturunan Jan dan sangat pandai serta mirip malaikat. Tetapi Allah s.w.t telah melaknatnya kerana tidak mahu sujud kepada Adam a.s.

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلاَئِكَةِ اسْجُدُوا ِلأَدَمَ فَسَجَدُوا إِلاَّ إِبْلِيسَ كَانَ مِنْ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلاً

Maksudnya : “Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat ‘Sujudlah kamu kepada Adam!’ Maka sujudlah mereka kecuali Iblis. Dia dan golongan jin, lalu dia menderhakai perintah tuhannya…”

Sebab itulah Iblis digelar moyang syaitan dan jin yang kafir kerana perbuatannya yang ingkar kepada perintah Allah s.w.t. Maka bolehlah dikatakan di sini bahawa, moyang kepada semua jin, iblis dan syaitan ialah Jan. Manakala Iblis merupakan moyang ataupun pemimpin kepada semua syaitan dan jin yang kafir yang mana Iblis itu sendiri berasal dari Jan.

Sabtu, 19 Disember 2009

JIN. GANGGUAN DAN CARA MENGUBATINYA (Bahagian 3)

1.5 JANTINA JIN

Anas r.a berkata : “Bila masuk tandas, Rasulullah s.a.w membaca doa :

اَللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوْذُبِكَ مِنَ الْخُبْثِ وَالْخَبَائِثِ
Ertinya : “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan jin lelaki dan perempuan”.

Dari penjelasan doa Nabi tersebut, jelaslah bahawa jin juga seperti manusia, ada lelaki dan ada pula yang perempuan. Begitu juga dengan syaitan, mereka juga mempunyai jantina seperti manusia dan jin.

1.6 BENTUK DAN SIFAT JIN

Di dalam perbincangan yang lepas, kita telah mengetahui bahawa jin tidak lagi berbentuk seperti bahan asal kejadiannya iaitu api. Oleh hal yang demikian, tentulah mereka mempunyai bentuk yang khusus seperti manusia dan makhluk lain di bumi ini. Kita seringkali diwar-warkan tentang rupa bentuk yang buruk dan hodoh mengenai jin. Masyarakat melayu khususnya terlalu percaya kepada kewujudan hantu dan memberikan beberapa nama yang bagi menunjukkan keadaan makhluk tersebut. Sebagai contoh, makhluk yang berwarna hijau dan tubuhnya yang menyerupai kanak-kanak digelar sebagai toyol. Manakala, yang berbadan besar dan berbulu pula digelar sebagai hantu raya serta lain-lain seperti langsuir, polong, pelesit, pocong dan sebagainya.
Namun, dakwaan tersebut tidaklah benar kerana bentuk yang dilihat oleh manusia adalah bentuk-bentuk penjelmaan yang dilakukan oleh jin dan syaitan. Di dalam buku ‘Dialog dengan Jin Islam’ hasil karya Muhammad Isa Dawud, penulis telah menerangkan bahawa terdapat banyak perkara yang salah dalam menafsirkan bentuk jin sebagaimana yang diberitahu oleh jin Islam yang bernama Musthafa melalui perbualan tersebut. Lalu, bagaimanakah rupa bentuk jin yang sebenarnya?
Menurut pengakuan jin tersebut, keadaan mereka adalah tidak jauh dari manusia kecuali beberapa perbezaan yang menyebabkan mereka lain dari manusia. Antara perbezaan yang terdapat pada mereka ialah bentuk kepala yang lebih besar apabila dibandingkan dengan tubuh mereka. Mereka juga mempunyai mata yang memanjang dan tidak bulat seperti mata manusia kebiasaannya. Ada di antara mereka yang mempunyai mata yang memanjang ke arah atas, dan ada pula yang sedikit miring ke arah dahi. Lazimnya mata mereka adalah besar dan lebar seperti mata rusa, namun dalam bentuk yang memanjang.
Kita sering beranggapan bahawa mata jin dan makhluk seumpamanya sentiasa berwarna merah, tetapi ini dinafikan oleh jin tersebut dan dia menyatakan hanya dalam keadaan tertentu sahaja mata mereka akan berwarna merah. Bahkan mata mereka seperti mata manusia yang mempunyai pelbagai warna seperti hitam, kuning, coklat tua, hijau dan sebagainya. Dijelaskan bahawa keadaan mata mereka yang berwarna merah adalah di sebabkan adanya sinar-sinar halus yang memancar dari mata mereka iaitu sinar yang selamanya cenderung kepada warna merah. Bagi mereka, itu adalah satu kecantikan dan keindahan yang tidak menakutkan bagi sesiapa yang menatapnya.
Telinga mereka pula adalah mirip kepada telinga kuda iaitu dari segi bentuknya yang runcing. Bahkan ada pula yang menyerupai telinga kucing kerana apabila diperhatikan secara teliti, telinga kucing adalah hampir sama dengan telinga kuda.
Hidung mereka pula terletak di tengah-tengah wajah seperti kedudukan hidung manusia tetapi tidang mancung dan lazimnya dalam keadaan yang pesek atau bulat. Bagi jin Islam, biasanya mereka memanjangkan janggut untuk mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. Keadaan rambut mereka adalah sangat tebal, lebih-lebih lagi bagi golongan jin perempuan. Sifatnya pula adalah agak kasar dan sangat panjang bagi jin perempuan dan kebiasaannya botak bagi jin lelaki.
Dijelaskan juga, keadaan tangan mereka iaitu menyerupai tangan manusia tetapi agak panjang bila dibandingkan kepada tubuh mereka dan tidak seperti keadaan tangan manusia yang terletak cantik pada tempatnya. Mereka mempunyai kuku dan jari yang panjang dan keadaan kaki yang tidak sama dengan manusia iaitu dari segi letak tumit dan keruncingan jarinya.
Sementara itu, tulang mereka agak besar dibandingkan dengan kulit dan daging mereka. Mereka juga mempunyai kelenturan yang tidak dapat kita bayangkan. Organ-organ mereka pula agak kecil tetapi berfungsi sebagaimana organ manusia berfungsi walaupun mereka tidak memerlukan oksigen untuk bernafas.
Alat pencernaan mereka pula juga berfungsi sebagaimana lazimnya alat pencernaan berfungsi selepas makan atau minum. Sisa-sisa pencernaan keluar dari lubang-lubang pencernaan mereka seperti manusia walaupun keadaan najis mereka lebih kepada menyerupai wap yang sangat pekat. Sedangkan air kencing mereka adalah berbentuk gas yang sangat kuat tekanannya tetapi sangat ringan dan ianya mirip kepada air pancuran yang dibuat oleh manusia.
Seperti manusia dan makhluk yang Allah s.w.t ciptakan di dunia ini, jin juga mempunyai alat kelamin yang membolehkan mereka melakukan hubungan lelaki dan perempuan. Bolehlah dikatakan di sini bahawa keadaan jin adalah hampir sama dengan manusia iaitu mempunyai rasa berahi terhadap lawan jenis mereka. Mereka juga mempunyai sperma apabila terjadinya persetubuhan di antara mereka.
Mengenai kepala, Nabi s.a.w telah bersabda yang bermaksud:“ Sesungguhnya matahari ketika terbit ia membawa tanduk syaitan. Ketika ia naik, dilepaskannya tanduknya. Kemudian ketika ia tepat di tengah ufuk, dikenakannya kembali tanduknya. Namun ketika tergelincir, tanduk itu ditanggalkannya, untuk kemudian dikenakannya lagi ketika ia matahari tenggelam. Ketika betul-betul tenggelam, tanduk itu ditanggalkannya. Kerana itu, janganlah kalian solat pada tiga waktu tersebut.” Baginda juga mengatakan, “Sesungguhnya matahari terbit di antara dua tanduk syaitan dan tenggelam di antara dua tanduk syaitan pula.”
Seterusnya baginda juga menyatakan “Jangan kalian mendekatkan solat kalian dengan waktu terbit dan tenggelamnya matahari, sebab ia terbit di antara dua tanduk syaitan, dan tenggelam di antara dua tanduk syaitan pula.”
Oleh hal yang demikian, para ulama’ telah berbeza pendapat dalam menafsirkan makna hadis yang telah disebutkan di atas. Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan hadis tersebut adalah syaitan mengikutinya dengan kedua tanduknya ketika matahari terbenam, dan demikian pula apabila matahari terbit. Hal ini kerana orang kafir bersujud kepada matahari, kerana itulah syaitan menyertai terbit dan tenggelamnya matahari agar orang-orang kafir sujud kepada mereka.
Ada pula yang berpendapat bahawa hadis tersebut mengandungi pengertian kiasan (majazi), dan yang dimaksudkan “tanduk” atau “dua tanduk” adalah kehebatan, kesombongan, kekuasaan, kemampuan dan pengikut-pengikut syaitan.
Berdasarkan hadis Nabi s.a.w tersebut, Jin Islam yang berdialog dengan penulis buku ‘Dialog dengan Jin Islam’ menyatakan bahawa para jin memang mempunyai tanduk dan keadaannya adalah mengikut tubuh mereka, iaitu kecil dan pendek jika mereka bertubuh kecil dan sebaliknya. Apa yang dapat disimpulkan di sini, jin mempunyai tanduk tetapi tidaklah terlalu besar dan panjang seperti yang selalu digambarkan oleh kita.
Sebagaimana halnya manusia, jin juga mempunyai warna kulit yang pelbagai seperti hitam, merah, dan putih. Bagi yang berwarna hitam, warnanya adalah lebih pekat dari kulit manusia yang gelap dan kulit mereka juga melekat dengan daging serta kebanyakkannya berbulu tebal.
Jin juga mempunyai lidah yang sesuai dengan tubuh mereka dan gigi yang selalunya panjang-panjang atau besar. Bagi jin yang beragama Islam, mereka mengenakan pakaian yang pelbagai seperti jubah dan kemeja yang selalunya berwarna merah iaitu warna kesukaan jin, dan ada juga yang berwarna kuning dan hitam. Bagi jin perempuan yang Islam,mereka memakai pakaian yang menutup aurat seperti tudung atau jilbab dan jubah. Hal ini bersesuaian dengan firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Ahzab : 59 yang bermaksud. “Hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka.”
Jin kafir pada kebiasaannya memakai terompah atau selipar di sebelah kaki kiri mereka dan membiarkan kaki kanan tanpa memakai apa-apa. Berbeza halnya dengan keadaan jin Islam, mereka tidak memakai terompah pada satu kaki sahaja, tetapi mereka memakainya pada kedua-dua kaki mereka. Oleh itu, larangan Nabi s.a.w supaya kita tidak memakai satu terompah adalah benar kerana syaitan dan jin kafir memang memakai satu terompah sahaja. Larangan tersebut bertujuan agar kita mengikut perbuatan mereka yang ingkar kepada Allah s.w.t.

Isnin, 14 Disember 2009

JIN. GANGGUAN DAN CARA MENGUBATINYA (Bahagian 2)

1.3 AWAL PENCIPTAAN JIN DAN DALIL-DALIL YANG MEMBUKTIKAN KEWUJUDANNYA.

Allah s.w.t menciptakan jin lebih awal daripada manusia iaitu dengan selisih waktu yang sangat lama dan panjang apabila dikiaskan kepada manusia dan jin itu sendiri. Hal ini dibuktikan melalui firman Allah s.w.t :

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الإِنسَانَ مِنْ صَلْصَالٍ مِنْ حَمَإٍ مَسْنُونٍ (26) وَالْجَانَّ خَلَقْنَاهُ مِنْ قَبْلُ مِنْ نَارِ السَّمُومِ (27)

Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Dan Kami telah menciptakan jin, sebelum itu, dari api yang sangat panas.

Kalimat “sebelum itu” dalam ayat tersebut menunjukkan kepada waktu yang sangat lama yang menunjukkan usia jin menghuni di muka bumi sebelum manusia. Diriwayatkan dari Utsman dari Al-A’sya Bakr ibn Al-Akhnas dari Abdur Rahman bin Sabith Al-Quraisy dari Abdullah bin Amr bin A-‘Asr r.a yang menerangkan : “Allah s.w.t menciptakan anak cucu jin 2000 tahun sebelum menjadikan Adam a.s”.
Ada pendapat yang mengatakan bahawa selisih waktu di antara penciptaan jin manusia itu hanyalah 40 tahun. Tetapi boleh jadi 40 tahun itu adalah dikiaskan kepada jin yang bersamaan dengan 2000 tahun seperti dalam riwayat yang disebutkan di atas. Namun riwayat tersebut diragui kebenarannya kerana terdapat beberapa beberapa perkara yang diragui pada periwayat selepas Uthman iaitu Ibn Basyar.
Namun begitu, waktu sebenar jarak di antara penciptaan manusia dan jin itu tidak dapat ditentukan dengan tepat dan boleh jadi ianya lebih lama iaitu 6000 tahun bila dikiaskan kepada manusia. Ini menunjukkan rentang waktu yang sangat lama dan panjang bila dinisbahkan kepada golongan jin itu sendiri dan merupakan kebanggaan kepada mereka.
Dalil lain yang membuktikan kewujudan mereka ialah :

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلاَئِكَةِ اسْجُدُوا ِلأَدَمَ فَسَجَدُوا إِلاَّ إِبْلِيسَ كَانَ مِنْ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلاً

Maksudnya :“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat ‘Sujudlah kamu kepada Adam!’ Maka sujudlah mereka kecuali Iblis. Dia dan golongan jin, lalu dia menderhakai perintah tuhannya…”

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ
Maksudnya :“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka itu beribadah”.

. يَامَعْشَرَ الْجِنِّ وَالإِنسِ أَلَمْ يَأْتِكُمْ رُسُلٌ مِنْكُمْ يَقُصُّونَ عَلَيْكُمْ آيَاتِي وَيُنذِرُونَكُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَذَا قَالُوا شَهِدْنَا عَلَى أَنفُسِنَا وَغَرَّتْهُمْ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَشَهِدُوا عَلَى أَنفُسِهِمْ أَنَّهُمْ كَانُوا كَافِرِينَ
Maksudnya : “Wahai golongan jin dan manusia, apakah belum datang kepadamu rasul-rasul dari golongan kamu sendiri, yang menyampaikan kepadamu ayat-ayat-Ku dan memberi peringatan kepadamu terhadap pertemuanmu dengan hari ini?”

Terdapat banyak lagi dalil daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis daripada Nabi s.a.w yang menunjukkan tentang kewujudan jin di alam ini. Mengingkari kewujudan mereka adalah satu perkara yang tidak berasas kerana perihal mereka ini telah diberitahu oleh Allah s.w.t melalui firmannya di dalam al-Quran.

1.4 BAHAN ASAL PENCIPTAAN JIN

Allah s.w.t berfirman :

وَالْجَانَّ خَلَقْنَاهُ مِنْ قَبْلُ مِنْ نَارِ السَّمُومِ

Maksudnya : “Dan Kami telah menciptakan Jaan (jin), sebelum itu dari api yang sangat panas (nar as-samum)”.
Dan firman-Nya :
وَخَلَقَ الْجَانَّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ
Maksudnya : “Dia menciptakan Jaan (jin) dari nyala api (maarij)”

Ketika Allah s.w.t mengisahkan perkataan Iblis di dalam firman-Nya :

خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ
Maksudnya :“Engkau ciptakan aku dari api, sedang Engkau ciptakan dia dari tanah”.

Imam Muslim, dalam sahihnya, mencantumkan sebuah hadis yang diterima dari ‘Urwah, dari Aisyah, yang meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,

خَلِقَتِ الْمَلاَئِكَةُ مِنْ نُورٍ وَخُلِقَ الْجَانُّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ َنارٍ وَخُلِقَ ﺁدَمُ مِمَّا ﻭُﺻِﻒَ ﻟَﻜُﻢْ
Maksudnya :“Malaikat diciptakan dari cahaya, dan Jin diciptakan dari nyala api, dan Adam diciptakan dari sesuatu yang telah disebutkan kepada kalian.”

Dengan demikian, baik al-Quran mahupun Sunnah Rasul yang suci telah menegaskan tentang bahan asal penciptaan jin iaitu dari api. Sekalipun berbeza sebutan iaitu “nyala api” dan “api yang sangat panas”.
Persoalan yang timbul di sini adalah apakah yang dimaksudkan dengan ‘nyala api’ (marij) dan ‘api yang sangat panas’ (nar as-samum) itu?
Imam An-Nawawi mengatakan ‘marij’ itu adalah jilatan api (al-lahab) yang bercampur dengan hitamnya api. Sementara itu, At-Thabari mengatakan , ‘al-marij’ ialah sesuatu yang bercampur di antara satu sama lain, antara merah, kuning, dan biru, iaitu berdasarkan ucapan orang Arab yang mengatakan ‘marija ‘amr al-qawm’ yang bererti urusan kaum itu bercampur aduk. Ia juga berdasarkan ucapan Nabi s.a.w kepada Abdullah bin ‘Amr ibn Al-‘Ash: ‘Bagaimana halmu jika kamu berada di tengah-tengah suatu kaum yang perjanjian dan amanah mereka bercampur-baur...’
Dengan demikian, erti marij adalah nyala api dan lidah api. Di dalam Tafsir Al-Qurthubi disebutkan : “Al-Marij adalah al-lahab (nyala api) - dari Ibn Abbas. Atau inti api, atau lidah api yang berada di puncak manakala api tersebut menyala.”
Al-Laits mengatakan : “Al-Marij ialah api yang sangat terang yang memiliki nyala (panas) sangat kuat.”
Ibn Abbas mengatakan : “Al-Marij adalah nyala api yang berada di bahagian atas yang saling bercampur warnanya antara merah, kuning dan biru.”
Sementara itu, Abu ‘Ubaidah dan Al-Hasan mengatakan : “Al-Marij adalah campuran api. Ia berasal dari marija yang bereti bercampur-baur.”
Al-Jauhari dalam Al-Sihah mengatakan bahawa, yang dimaksudkan dengan marij min nar adalah api yang tidak berasap, yang dari itu jin diciptakan.
Imam An-Nasafi, dalam tafsirnya mengatakan : “...as-samum, ialah api yang sangat panas yang digunakan di tempat peleburan.”
Di dalam Tafsir Al-Qurthubi pula, beliau mengatakan : “Diriwayatkan bahawa Allah s.w.t menciptakan dua jenis api, yang bercampur di antara satu sama lain dan saling telan-menelan, itulah nar as-samum (api yang sangat panas).”
Di dalam Surah Al-Hijr disebutkan bahawa Ibnu Mas’ud mengatakan, “Nar as-samum yang darinya jin dicipta adalah satu bahagian daripada tujuh bahagian api Jahannam.”
Sedangkan Ibnu Abbas mengatakan bahawa as-samum ialah angin yang sangat panas dan mematikan. Di bahagian lain pula, Ibnu Abbas mengatakan bahawa: “As-samum adalah api tanpa asap, dan halilintar dibuat daripadanya.”
Sementara itu, Al-Qusyairi mengatakan bahawa : “Angin panas disebut as-samum kerana ia masuk misam tubuh (toksik)
Berdasarkan huraian-huraian tersebut, maka di dapati tiada perbezaan di antara ‘Al-Marij’ dengan ‘As-Samum’. Dan dapatlah disimpulkan di sini bahawa api mengandungi eter (ether) yang menyebabkan ia menjadi sangat ringan, dan terdiri dari campuran pelbagai warna yang menyebabkan makhluk yang dibuat darinya juga memiliki warna yang bermacam-macam, serta kemampuan untuk memanjang dan meninggi.
Persoalan yang timbul apabila membincangkan tentang perkara ini adalah tentang rupa atau bagaimana keadaan jasad makhluk yang dicipta daripada api ini. Adakah ia masih dalam bentuk asalnya iaitu dalam bentuk api atau sebaliknya?
Jawapan kepada persoalan ini dapatlah dihuraikan melalui keadaan jasad makhluk yang diciptakan dari tanah iaitu manusia. Keadaan kita pada hari ini tidaklah berada dalam bentuk tanah yang apabila terkena air akan menjadi luluh dan hancur, tetapi keadaan kita adalah sebuah jasad yang sangat cantik dengan tulang yang diselaputi daging serta mempunyai organ-organ berfungsi pada tempatnya. Hal ini menjelaskan tentang keadaan jin yang juga tidak berada dalam bentuk asal penciptaannya iaitu api, akan tetapi mereka juga mempunyai jasad yang sempurna, organ-organ tubuh dan kemudiannya ditiupkan roh agar mereka menjadi makhluk yang cerdas, berakal, dan memiliki kebebasan memilih, sebagaimana ketika Allah s.w.t menciptakan Adam dari tanah liat yang lebih di kenali sebagai at-tiin. Selanjutnya dari tanah liat menjadin hama’ masnun, iaitu tanah liat hitam yang sudah berubah baunya kerana lama terendam dalam air. Kemudian tanah liat hitam dan basah itu berubah menjadi tanah liat kering (shalshal) dan keras yang apabila diketuk akan mengeluarkan bunyi. Sesudah itu ditiupkan roh, sehingga jadilah Adam sebagai manusia yang sangat baik bentuknya, melalui kekuasaan Allah s.w.t.
Dengan kehendak dan kekuasaan Allah s.w.t, maka berubahlah nyala api menjadi benda yang terkumpul di dalamnya sifat basah dan kering, lalu ditiupkan roh kepadanya sehingga berubahlah ia menjadi benda atau jasad yang sangat ringan dan lembut yang kita kenali sebagai makhluk halus atau jin.

Ahad, 13 Disember 2009

JIN. GANGGUAN DAN CARA MENGUBATINYA (Bahagian 1)

Sebenarnya xde idea nak letak apa kat blog ni. Sebelum buat blog..idea datang bercambah-cambah. Bila dah buat, hilang pulak…tiba-tiba terfikir nak masukkan tesis yang saya buat semasa diploma dulu. Lalu saya pun postingkan dalam blog saya ni…selamat membaca…

ABSTRACT

As we know, the jinn is a type among Allah’s creatures who exist on the earth. The jinn is a included among the unseen things which is a presumption unto us to believe their existence. In the first chapter, the writer told us about the truth of the creation of jinn, supported with strong evidences which show their existence. Meanwhile, the second chapter concerned with the reality of jinn’s life in the unseen world in detail, where their life is similar to human life including the aspect of their daily life, creed and responsibility towards The Almighty Creator. The third chapter mentioned about various problems, disturbance and pernicious created by the jinn towards human being either caused by the cruelty from the human or caused by the cruelty from the jinn itselft towards human being. Moreover, in the fourth chapter, the writer storied about a few types of treatment and tips on how to avoid from the jinn disturbance. The last chapter which is the fifth chapter is the conclusion of the entire chapters about the title of this thesis, “Jinn: Disturbance towards human being and how to heal it.”

ALAM JIN

1.0 BERIMAN KEPADA YANG GHAIB.

Beriman kepada yang ghaib adalah termasuk salah satu asas dari akidah Islam, bahkan ianya merupakan sifat yang pertama dan utama yang dimiliki oleh Allah s.w.t. Sebagaimana firman Allah s.w.t yang ditujukan kepada orang-orang yang bertakwa yang berbunyi :

ألم (1). ذَلِكَ الْكِتَابُ لاَ رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ (2). الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ (3).

Maksudnya : “Allah sahaja yang mengetahui akan maksudnya. Kitab al-Quran ini tidak ada keraguan padanya dan ianya merupakan petunjuk bagi mereka yang bertakwa. Iaitu mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang kami anugerahkan kepada mereka”

Justeru itu, bagi setiap orang Muslim, mereka wajib beriman kapada yang ghaib, tanpa sedikitpun rasa ragu. Dalam perkara ini Ibnu Mas’ud mengatakan:“yang dimaksudkan dengan perkara yang ghaib itu ialah segala apa sahaja yang ghaib dari kita dan perkara itu telah diberitahu oleh Allah s.w.t dan Rasul-Nya.”
Begitu juga dengan jin. Jin termasuk di antara golongan makhluk ghaib yang kita patut beriman dengan kewujudan mereka. Hal ini kerana terdapat banyak dalil daripada al-Quran dan hadis Nabi s.a.w yang menerangkan tentang kewujudan mereka. Dalil-dalil tentang kewujudan jin ini akan dibincangkan dalam bab yang lain dalam tesis ini.

1.1 YANG NAMPAK DAN YANG TERSEMBUNYI

Jin adalah nama jenis, bentuk tunggalnya adalah jinniy, yang bererti “yang tersembunyi”, atau “yang tertutup”, atau “yang tidak terlihat”. Hal itulah yang memungkinkan kita untuk mengaitkannya dengan sifat umum “alam yang tersembunyi”, sekalipun akidah Islam memaksudkannya dengan makhluk-makhluk yang berakal, berkehendak, sedar dan mempunyai kewajipan, berjasad halus, dan hidup bersama-sama kita di dunia ini.
Walaupun jin itu tidak dapat dilihat atau tersembunyi dari pandangan mata, maka bukanlah bererti makhluk tersebut tidak wujud. Hal ini kerana terdapat begitu banyak benda yang tidak kelihatan di dunia ini tetapi ia wujud seperti angin dan udara.Walaupun kita tidak dapat melihat benda tersebut, tetapi kita dapat merasai hembusan angin dan dapat menggunakan udara untuk bernafas.
Begitu juga dengan roh yang merupakan hakikat dari kehidupan kita yang tidak dapat dilihat dan kita sendiri tidak mengetahui bagaimana rupa dan bentuk roh tetapi kita meyakini akan kewujudannya.
1.2 MAKNA JIN DALAM BAHASA ARAB

Dari segi bahasa, Al-Jin adalah lawan kata bagi Al-Ins (manusia). Disebut-sebut jika dikatakan , anastu asy-sya’a bererti “saya melihat sesuatu”: Allah s.w.t berfirman :

فَلَمَّا قَضَى مُوسَى الأَجَلَ وَسَارَ بِأَهْلِهِ آنَسَ مِنْ جَانِبِ الطُّورِ نَارًا قَالَ ِلأَهْلِهِ امْكُثُوا إِنِّي آنَسْتُ نَارًا لَعَلِّي آتِيكُمْ مِنْهَا بِخَبَرٍ أَوْ جَذْوَةٍ مِنَ النَّارِ لَعَلَّكُمْ تَصْطَلُونَ

Maksudnya : “Maka tatkala Musa telah menyelesaikan waktu yang ditentukan, dan dia berangkat dengan keluarganya, lalu dilihatnya api di lereng gunung. Dia berkata kepada keluarganya, ‘Tunggulah di sini, sesungguhnya aku melihat api (anastu naran)’”

Kosa kata dalam bahasa Arab yang terdiri dari huruf Jim dan Nun, dengan pelbagai bentuknya, memiliki pengertian “benda” atau “makhluk” yang tersembunyi.
Al-janin (janin) disebut demikian kerana ketersembunyiannya dalam perut ibunya, sebagaimana yang terdapat dalam firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“...dan ketika kamu masih tersembunyi (ajinnat)dalam perut ibumu”
Junna ar-rajulu jununan, wa ajannahullahu, fahuwa majnun, yang ertinya : “Jika seseorang telah kehilangan akalnya, dan tertutuplah kesedarannya, maka dengan itu hilanglah kewajipan-kewjipan darinya akibat tidak ada akal. Tentang pengertian yang seperti ini, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud :
“...Atau, pada dirinya ada penyakit gila?”
Termasuk dalam kategori ini adalah ucapan Nabi s.a.w yang bermaksud: “Puasa itu adalah junnah (perisai),” (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab As-Saum, dari Abu Hurairah r.a. Terdapat hadis yang sama juga diriwayatkan oleh Malik dalam Al-Mu’watha’)
Tentang perkataan ‘Junnah’ ini, Uthman ibn Abi Al-Ash menjelaskan bahawa “Puasa itu adalah junnah (perisai) seperti junnah kalian dalam peperangan”. Junnah, dengan demikian adalah bererti pelindung atau penutup. Al-Qurthubi mengatakan : Junnah bererti pembatas, iaitu dalam kaitan dengan ketentuan syari’at. Iaitu setiap orang yang berpuasa mesti melindungi diri dari segala yang boleh merosakkan puasanya dan boleh menghilangkan pahalanya. Maka junnah boleh diertikan sebagai penutup, kerana pahala dan peningkatan kebaikan yang dihasilkannya.
Ibn ‘Arabi mengatakan : “Sesungguhnya puasa itu adalah junnah (pelindung) dari api neraka, kerana puasa dapat mencegah syahwat, sedangkan neraka itu jalan untuk menuju kepadanya adalah dengan syahwat. Hasilnya, jika seseorang yang berpuasa menahan diri dari menurut syahwat di dunia, maka puasa itu menjadi penutup kepada dirinya dari siksa neraka di akhirat kelak.
Syurga yang dijanjikan Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya yang bertakwa disebut jannah kerana kebanyakan pohon yang terdapat di sana saling menutupi di antara satu sama lain.
Hati kita juga disebut al-jannan kerana ia merupakan sesuatu yang tertutup oleh dada. Ada pendapat yang mengatakan bahawa ia disebut demikian kerana fikiran dan lintasan hati yang dimiliki oleh kita tertutup dan tidak terlihat. Dengan demikian, segala yang tidak kelihatan oleh pandangan mata atau yang tersembunyi disebut sebagai janan. Oleh kerana itu, kawasan perkuburan disebut juga sebagai junan, kerana ia menutupi orang yang dikubur di dalamnya. Jika dilihat di dalam kamus-kamus dalam bahasa Arab pada huruf ‘Jim’ dan ‘Nun’, dengan beberapa tambahan, maka semuanya akan mengandungi pengertian atau maksud ‘yang tersembunyi’ dan ‘tertutup’.
Kata jiniy yang diucapkan oleh orang-orang Arab dahulu dan juga digunakan di dalam al-Quran, adalah makhluk berakal yang tersembunyi (tidak terlihat oleh mata, yang hidup bersama-sama kita. Bahasa-bahasa Eropah seperti Bahasa Inggeris mengambil perkataan genie daripada bahasa Arab yang diterjemahkan sebagai “roh syaitan”. Namun maksud sebenar perkataan ‘genie’ bagi mereka adalah lebih banyak merujuk kepada makhluk berakal yang banyak membantu manusia dalam melakukan kebaikan.Hal ini dapat kita lihat melalui beberapa filem yang dihasilkan seperti ‘The Lord of The Ring, Harry Potter’ dan beberapa filem lain yang mengaitkan sekumpulan makhluk yang dikenali sebagai ‘elf’ yang sering membantu manusia. Begitu juga dengan makhluk yang mereka panggil sebagai pari-pari. Maka dapatlah disimpulkan di sini bahawa apa yang dimaksudkan dengan jin itu adalah makhluk berakal yang hidup bersama-sama kita tetapi tersembunyi dan tidak terlihat oleh mata-mata manusia kerana wujudnya hijab di antara dunia kita dengan dunia mereka.