Sabtu, 26 Disember 2009

JIN. GANGGUAN DAN CARA MENGUBATINYA (Bahagian 4)

KEHIDUPAN, KEMAMPUAN DAN JENIS-JENIS JIN.

2.0 KEHIDUPAN JIN DAN SYAITAN.

Jin adalah makhluk yang sangat banyak bilangannya dan tidak dapat dibayangkan oleh akal manusia. Jika jumlah anak Adam yang manjadi penduduk bumi mencapai jumlah lima billion, maka jumlah jin yang menjadi penghuni bumi pula adalah berbillion kali banyaknya dari jumlah manusia. Amat jarang ada sesuatu tempat di bumi ini yang tidak diduduki oleh jin, baik di darat, lautan mahupun udara.
Imam Zamaksyari di dalam bukunya ‘Rabiul Abrar’ menjelaskan : Allah s.w.t menjadikan makhluk yang bernyawa menjadi empat kelompok, iaitu :
a) Malaikat
b) Syaitan
c) Jin
d) Manusia
Keempat-empat kelompok itu dibahagikan menjadi sepuluh bahagian. Sembilan bahagian adalah malaikat, manakala yang satu bahagian adalah jin, syaitan dan manusia. Yang satu bahagian ini pula dibahagikan menjadi sepuluh bahagian. Sembilan bahagian adalah syaitan dan satu bahagian lagi adalah jin dan manusia.
Jin dan manusia pula dibahagikan lagi menjadi sepuluh bahagian. Sembilan bahagian untuk jin manakala satu bahagian adalah untuk manusia. Dengan itu dapatlah dijelaskan di sini bahawa jin kafir lebih banyak berbanding jin Islam. Perbandingannya adalah satu persepuluh. Maka keramaian manusia berbanding dengan keramaian jin hanya satu persepuluh sahaja. Atau boleh juga dikatakan bahawa jumlah jin adalah sepuluh kali ganda jumlah manusia. Di samping itu, jin kebiasaannya berumur panjang dan kematian di kalangan mereka adalah sangat lambat berbanding manusia.

2.0.1 SIAPAKAH MOYANG JIN?

Seperti manusia, jin juga mempunyai asal atau moyang bagi keturunan mereka. Adam a.s digelar Abul Basyar kerana baginda adalah moyang dan permulaan kepada seluruh umat manusia di muka bumi ini. Iblis pula digelar Abul Syaitan kerana dia merupakan moyang kepada semua syaitan dan jin yang kafir. Namun dari manakah asal Iblis?
Al-Imamus Al- Syahid Sayyid Qutb berpendapat di dalam kitabnya ‘Fi Zilalil Quran’ : Bahawa iblis itu termasuk di dalam golongan jin; dan ketika beliau mentafsirkan firman Allah s.w.t pada ayat إلا ﺍﻹبلس pada tutur kata beliau menyatakan bahawa iblis itu bukan dari golongan malaikat, sebab sekiranya ia dari golongan malaikat, tentulah tidak derhaka kerana malaikat tidak pernah derhaka kepada Allah s.w.t. Yang jelasnya, Iblis adalah termasuk dalam kelompok jin sebagaimana al-Quran ada menyebut bahawa Allah s.w.t menciptakan jin dari nyala api yang panas. Maka dari sinilah terpisah dari segi ciptaannya sahaja, sedangkan malaikat dijadikan Allah s.w.t daripada cahaya.
Maka jelaslah di sini bahawa Iblis adalah termasuk dalam kelompok jin. Maka, siapakah moyang kepada Iblis mahupun jin itu sendiri? Di dalam pemerhatian dan kajian saya di dalam beberapa buku yang berkaitan dengan jin dan syaitan, saya menemui bahawa moyang kepada jin dipanggil ‘Jan’ (dengan ‘a’ dipanjangkan). Al-Syibli menjelaskan dalam ‘Akam Al-Marjan’ bahawa namanya adalah Sumia, sedangkan Al-Suyuthi dalam ‘Luqth Al-Marjan’ meriwayatkan dari Ibn Abbas, katanya, “Ketika Allah s.w.t menciptakan Samum, yakni moyang jin yang diciptakan dari api yang menyala-nyala, Allah s.w.t berfirman yang maksudnya : “Sampaikan kepadaku harapanmu.” Maka Samum menjawab, :Aku berharap kami tidak boleh dilihat, dan agar kami dapat ghaib di angkasa dan tidak mati terlebih dahulu jin-jin tua kami sebelum dia menjadi muda.”
Hanya Allah s.w.t sahaja yang mengetahui tentang sejauh mana kebenaran riwayat ini, dan sejauh mana penisbahannya kepada Ibn Abbas. Namun apa yang dapat kita ketahui di sini ialah, Jan merupakan moyang kepada semua jin di dunia ini. Berkenaan dengan Iblis, dia adalah keturunan Jan dan sangat pandai serta mirip malaikat. Tetapi Allah s.w.t telah melaknatnya kerana tidak mahu sujud kepada Adam a.s.

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلاَئِكَةِ اسْجُدُوا ِلأَدَمَ فَسَجَدُوا إِلاَّ إِبْلِيسَ كَانَ مِنْ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلاً

Maksudnya : “Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat ‘Sujudlah kamu kepada Adam!’ Maka sujudlah mereka kecuali Iblis. Dia dan golongan jin, lalu dia menderhakai perintah tuhannya…”

Sebab itulah Iblis digelar moyang syaitan dan jin yang kafir kerana perbuatannya yang ingkar kepada perintah Allah s.w.t. Maka bolehlah dikatakan di sini bahawa, moyang kepada semua jin, iblis dan syaitan ialah Jan. Manakala Iblis merupakan moyang ataupun pemimpin kepada semua syaitan dan jin yang kafir yang mana Iblis itu sendiri berasal dari Jan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan