Isnin, 28 Disember 2009

JIN. GANGGUAN DAN CARA MENGUBATINYA (Bahagian 6)

2.1 JENIS-JENIS JIN

Allah SWT menciptakan jin degan pelbagai rupa dan bentuk. Ada di antaranya dapat berubah-ubah bentuknya seperti anjing dan ular, ada pula yang bersayap dan boleh terbang di udara, ada pula yang suka bermukim dan yang bermusafir. Daripada Abu Tha’labah Al-Khasyani katanya : Rasulullah s.a.w bersabda :

الجِنُّ ثَلاَثَةُ أَصْنَافٍ : صِنْفٌ لَهُمْ أَجْنِحَةٌ يَطِيْرُوْنَ فِيْ الْهَوَاءِ وَصِنْفٌ حَيَّاتٌ وَكِلاَبٌ وَصِنْفٌ يَحِلُّوْنَ وَيَظْعَنُوْنَ

Maksudnya : “Jin terdiri daripada tiga golongan iaitu : golangan yang memiliki sayap dan terbang di udara, golongan yang menyerupai ular dan anjing dan golongan yang suka menetap dan suka berpindah-randah.”

Riwayat yang dikeluarkan oleh Ibn Abidunya di dalam Kitab Makaidus Syaitan dari Abi Darda’ dari Rasulullah s.a.w baginda bersabda maksudnya :“Allah Taala menciptakan jin ini menjadi tiga golongan, satu golongan berbentuk ular dan kala jengking dan Khosasul Ardi, satu golongan seperti angin di udara dan satu golongan lagi mereka suka menghitung-hitung dan menyeksa.”

2.2 KEMAMPUAN YANG DIMILIKI OLEH JIN

Jin mempunyai kekuatan dan kemampuan yang tidak dimiliki oleh manusai biasa, antaranya mereka mampu bergerak cepat, terbang di udara dan berubah bentuk. Allah s.w.t menceritakan kepada kita tentang kemampuan jin di dalam al-Quran :

قَالَ عِفْريتٌ مِنْ الْجِنِّ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَنْ تَقُومَ مِنْ مَقَامِكَ وَإِنِّي عَلَيْهِ لَقَوِيٌّ أَمِينٌ.
Maksudya : “Ifrit daripada golongan jin berkata : “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu dan sesungguhnya aku amatlah kuat dan gagah untuk membawanya, lagi amanah”.

Di samping itu, mereka juga boleh menyerupai bentuk-bentuk haiwan seperti kuda, ular, kala jengking, kucing, anjing dan dalam bentuk burung. Mereka juga dapat menyerupai manusia sebagaimana yang terjadi ketika orang-orang Musyrikin Quraisy berkumpul di Darun Nadwah untuk membincangkan apa yang mereka akan lakukan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. Lalu syaitan telah muncul dalam bentuk seorang lelaki dan mengusulkan agar Nabi Saw dibunuh.
Namun kemampuan untuk menjelma dalam bentuk-bentuk yang lain adalah bukan sesuatu yang mudah, malah tidak semua jin mampu merubah bentuk. Hal ini terjadi dengan izin dari Allah s.w.t kerana DIA-lah yang Maha Kuasa ke atas hamba-hambanya.

2.3 PERKAHWINAN JIN
2.3.1 KEHAMILAN DAN KELAHIRAN

Kehidupan jin sangat mirip dengan kehidupan alamiah manusia, ada cinta, ada benci, kesepakatan dan perselisihan, kasih sayang dan permusuhan di kalangan mereka. Perasaan gembira yang berlaku kepada pasangan manusia yang mendirikan rumah tangga turut dirasakan oleh bangsa jin.
Mereka juga sangat mementingkan keperawanan bagi jin perempuan sebagaimana seorang lelaki dari bangsa manusia akan mencari perempuan yang masih gadis untuk menjadi pasangan hidupnya. Namun usia bagi melangsungkan perkahwinan di antara mereka adalah pada umur 170 sehingga mencapai usia 250, iaitu usia yang dipandang sabagai usia yang baik untuk berkahwin.
Maka dalam sesebuah perkahwinan, saat yang paling menggembirakan adalah ketika pasangan mendapat zuriat dari perkahwinan tersebut. Proses kehamilan dan kelahiran yang dialami oleh bangsa jin adalah lebih berat dan sulit berbanding manusia. Hal ini kerana, kehamilan jin tidak berkisar antara enam atau sembilan bulan sebagaimana manusia, tetapi lima belas bulan.
Kehamilan tersebut bermula dengan berhentinya haid yang di sertai rasa sakit. Khususnya jika rahim jin perempuan itu mengandungi tujuh sampai sembilan janin, malahan boleh mencapai kembar dua belas. Kemudian, apabila mencapai lima belas bulan usia kandungan di kalangan mereka, maka lahirlah bayi jin tersebut.
Bayi tersebut akan menyusu kepada ibunya dalam jangka waktu yang sangat lama iaitu boleh menjangkau seluruh usia manusia. Sepanjang tempoh tersebut, bayi jin lebih banyak tidur dan tergolek tanpa bergerak dan bersuara seterusnya membesar dan mulai belajar mengenai kehidupan sehinggalah kepada satu tempoh yang di tetapkan.

2.3.2 PERKAHWINAN DI ANTARA JIN DAN MANUSIA.

Para ulama’ telah berbeza pandangan dalam hal ini. Imam Ats-Tsa’alibiy berkata: “Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa perkahwinan antara jin dan manusia untuk mengembangkan zuriat kadangkala terjadi.” Ulama’ yang berpendapat demikian merujuk kepada dalil, iaitu firman Allah s.w.t :

وَشَارِكْهُمْ فِي الأَمْوالِ وَالأَولاَدِ
Maksudnya : “Dan bersekutulah dengan mereka pada isteri dan anak-anak.”

Dan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : “Apabila seseorang laki-laki melakukan jimak dengan isterinya dengan tidak menyebut nama Allah terlebih dahulu, maka syaitan akan bersembunyi pada zakar kemaluan lelaki itu dan ikut berjimak bersamanya.”
Sebahagian ulama’ pula melarang perkahwinan di antara jin dan manusia kerana perkahwinan tersebut tidak akan menghasilkan zuriat. Ulama’ yang menegah perkahwinan ini adalah berdasarkan :
a) Lain jenisnya
b) Kerana tidak dapat menghasilkan zuriat
c) Kerana tidak terdapat dalil dari al-Quran yang membolehkan perkahwinan tersebut.
Selain itu, kehidupan alam jin adalah berbeza dari alam manusia. Mereka hidup di satu alam yang kita kenali sebagai alam ghaib, malah asal penciptaan mereka juga adalah berbeza dari kita. Hal ini di kuatkan lagi dengan Firman Allah s.w.t :

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لآياتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya : “Dan di antara tanda-tanda kekuasaaNya, Dia telah menjadikan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antara kamu kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

فَاطِرُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا

Maksudnya : “(Dia) Pencipta langit dan bumi. Dia menjadikan bagi kamu dari jenis kamu sendiri berpasang-pasang.”

Maka jelaslah di sini bahawa perkahwinan antara jin dengan manusia tidak mungkin terjadi melainkan ada sebab-sebab tertentu atau ketika jin itu menampakkan dirinya dalam bentuk manusia. Tetapi perkara tersebut amatlah jarang berlaku, sekiranya terjadi perkahwinan tersebut, maka ianya tidak akan menghasilkan zuriat.

1 ulasan:

  1. Salam, saya amat tertarik dengan cerita perihal jin yang anda tulis. Saya sendiri sedang melakukan research untuk dikongsi di dalam web saya. Harap tidak keberatan kiranya saya mengambil sedikit maklumat dari blog anda untuk dikongsi dengan yang lain. Comprehensive articles. Tahniah.

    BalasPadam