Sabtu, 22 Mei 2010

SEDEKAH ORANG YANG SIHAT

Daripada Abi Hurairah r.a telah berkata : Telah datang seorang lelaki kepada Nabi s.a.w lalu berkata : Wahai Rasulullah, sedekah manakah yang paling besar pahalanya? Lalu Rasulullah s.a.w bersabda : " Kamu bersedekah dan kamu dalam keadaan yang sihat dan kedekut kerana kamu takut untuk jadi faqir dan kamu bercita-cita untuk jadi kaya, lalu janganlah kamu menangguhkannya sehingga apabila telah sampai nyawa di halkum maka kamu katakan kepada si fulan begini, dan kepada si fulan begini dan sesungguhnya kepada si fulan begini."  Muttafaq 'alaih.

Hadis keempat dalam bab Mubadarah ilal khairat (bersegeralah kepada kebaikkan).

Maksud dan pengajaran hadis :

Sesungguhnya sedekah orang yang sihat lebih baik dari sedekah orang yang sedang sakit kerana orang yang dalam keadaan sihat selalunya bersangatan kedekutnya terhadap manusia. Maka apabila dia bermurah hati untuk bersedekah, maka sedekahnya itu menjadi bukti benar dan ikhlas niatnya kerana Allah s.w.t. Tetapi ianya berbeza dengan keadaan orang yang sudah berputus asa untuk sihat, lalu dia bersedekah, pahalanya menjadi kurang berbanding bersedekah ketika sihat. Hadis ini juga menggalakkan agar kita bersegera kepada kebaikkan dan bersedekahlah sebelum maut datang menjemput kita.

                Realiti yang berlaku pada hari ini, ramai orang yang apabila berada dalam keadaan yang sihat dan cergas, kurang keinginan untuk memberi atau bersedekah kepada orang lain. Tetapi apabila berada dalam keadaan yang sakit dan kurang upaya, maka mudah sahaja untuk memberikan apa yang menjadi miliknya kepada orang sekeliling.

"Kek tu kalau engkau nak, makanlah...buah tu pun sama. Aku tak nak..." Selalunya situasi ni kerap berlaku ketika kita ditimpa sakit. Manakan tidak, nafsu makan ketika itu sudah kurang. Makanan yang mampu kita habiskan tanpa memberi kepada orang lain ketika sihat, hanya dipandang sekali lalu dan tanpa ada perasaan. Lalu kita pun berkata..."Aku tak larat nak makan, selera takde...korang makanlah. Aku sedekah ke korang jelah..."

Cuba ketika sihat, "Ops...nasi ayam ni aku yang punya, korang nak...beli sendiri."

               *              *           *         *          *           *           *      

Oleh hal yang demikian, marilah kita bersegera untuk bersedekah  dan melakukan amalan kebaikkan yang lain sementara Allah masih memberi kita nikmat kesihatan buat masa ini. Apabila ditarik nikmat tersebut, memang bagus dan sepatutnya kita tetap meneruskan sedekah, tetapi ganjarannya menjadi agak kurang sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis. Perlu juga dingatkan, segala amalan yang kita lakukan hendaklah benar niat kita kerana Allah s.w.t. Janganlah dilakukan untuk mendapat pujian dan sanjungan dari orang lain. Riya', takabbur, ujub dan sum'ah hanya merosakkan amalan kebaikkan yang kita lakukan. Alangkah ruginya... Untuk akhirnya...FASTABIQUL KHAIRAT....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan