Rabu, 26 Mei 2010

SEMUA ADA....

Subhanallah...
Alhamdulillah...
Allahu Akhbar...

Al-Quran merupakan kitab Allah s.w.t yang diwahyukan kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w melalui malaikat Jibril a.s. Merupakan kitab yang terakhir diturunkan kepada penutup sekalian nabi dan rasul. Mukjizat agung Rasulullah s.a.w yang kekal dan terpelihara sehingga hari kiamat.

Telah dikeluarkan daripada Imam Al-Baihaqi daripada Hasan katanya : "Sesungguhnya Allah s.w.t telah menurunkan 104 kitab, terkandung segala ilmunya di dalam 4 kitab iaitu Taurat, Injil, Furqan dan Zabur.Kemudian terkandung segala ilmu dalam 3 kitab kedalam satu kitab, iaitu Al-Furqan (Al-Quran)."

Ini bermakna semua ilmu yang terdapat didalam 104 kitab yang terawal dan 3 kitab selepasnya iaitu Taurat, Injil dan Zabur terkumpul semuanya di dalam satu kitab yang agung, kitab yang menjadi mukjizat maknawi dan kitab yang terakhir kepada rasul terakhir iaitu kitab Al-Quran. Cukup menakjubkan!

Al-Imam Asy-Syafie r.a berkata : "Semua yang dikatakan oleh umat ini adalah penjelasan dari As-Sunnah, dan keseluruhan As-Sunnah adalah penjelasan dari Al-Quran."

Dan beliau juga berkata: "Semua yang diputuskan oleh Rasulullah s.a.w merupakan apa yang difahami dari Al-Quran."  Dan ini dita'kidkan lagi dengan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : "Aku tidak menghalalkan kecuali apa yang dihalalkan oleh Allah dan aku tidak mengharamkan kecuali apa yang diharamkan  oleh Allah di dalam kitabNya." (Imam Syafie r.a meriwayatkan lafaz ini dari kitab Al-Umm.)

Sa'id bin Jubair berkata :"Aku tidak mendengarkan hadith Rasulullah s.a.w yang sampai kepadaku kecuali aku mendapatkan ada pembenarnya di dalam Kitab Allah."

Ibnu Mas'ud berkata : "Jika aku menceritakan kepada kalian sebuah hadith, maka aku memberitahukan kepada kalian bahawa pembenarnya adalah dari Kitab Allah."

Telah berkata Imam Asy-Syafie r.a : "Tidak ada seuatu pun yang baru dalam urusan agama yang dialami oleh hamba, kecuali dalil yang menunjukkannya di dalam Al-Quran. Jika ada yang mengatakan bahawa ada sebahagian hukum yang sejak dari mula ditetapkan Sunnah, maka kami mengatakan bahawa hal itu pada asalnya diambil dari Al-Quran. Hal ini kerana Al-Quran mewajibkan kita untuk mengikuti Sunnah Rasulullah s.a.w dan berpegang teguh dengannya."

Tidak dapat disangkal lagi bahawa semua perkara terdapat di dalam Al-Quran. Daripada urusan dunia sehinggalah kepada urusan akhirat. Daripada sebesar-besar perkara, hingga kepada perkara yang kecil. Sehinggakan bilangan roti yang dapat dibuat dari seguni tepung juga disebutkan di dalam al-Quran.

Diceritakan. telah datang seorang lelaki kepada Imam Asy-Syafie r.a dan bertanya adakah didalam Al-Quran terdapat dalil mengenai berapakah bilangan roti yang dapat dibuat daripada seguni tepung. Lalu Imam Asy-Syafie r.a membawa lelaki tersebut kepada pembuat roti lalu bertanyakan kepada pembuat roti berkenaan soalan lelaki tersebut. Maka dijawab oleh pembuat roti bahawa jumlah roti yang dapat dihasilkan dari seguni tepung ialah 100 keping roti. Lalu lelaki tadi berkata, aku tidak nampak pun perkara ini disebutkan di dalam Al-Quran. Jawab Imam asy-Syafie..."Bertanyalah kepada orang yang mengetahui jika kamu tidak tahu" yang merupakan maksud sebahagian ayat yang terdapat di dalam Al-Quran.

Pada suatu ketika, Imam Asy-Syafie r.a berkata : "Tanyalah kepadaku apa yang kamu inginkan, aku akan menjawabnya dari Al-Quran." Maka ada yang bertanya, " Apakah pendapatmu, seseorang yang berihram dan kemudiannya dia membunuh lebah?" Lalu dijawab oleh Imam Asy-Syafie r.a dengan dalil Al-Quran, yang bermaksud, "Apa yang diberikan Rasul kepadamu terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya tinggalkanlah ia." Surah Al-Hasyr ayat 7.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :"Ikutilah dua orang sepeninggalanku iaitu Abu Bakar dan Umar"

Al-Imam Bukhari meriwayatkan dari Ibnu Ma'sud, :"Allah melaknat sesiapa yang bertatu dan melakukan perbuatan tatu, para wanita yang mencabut bulu diwajah, yang mengikir atau mengikis gigi untuk tujuan mencantikkan kerana semuanya termasuk di dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah s.w.t" Maka telah bertanya seorang wanita daripada Bani Asad, : "Sesungguhnya aku mendengar kamu melaknat yang demikian dan demikian." Lalu dijawab oleh Ibnu Mas'ud, : "Mengapa pula aku tidak melaknat apa yang dilaknat oleh Rasul s.a.w, an laknat itu terdapat di dalam Al-Quran!". Wanita itu berkata, :"Aku telah membaca Al-Quran keseluruhannya, tapi aku tidak menemuinya". Dijawab oleh Ibnu Mas'ud :"Jika kamu telah membacanya, kamu akan menemuinya. Tidakkah kamu membaca firman Allah s.w.t : yang bermaksud:"Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkannya".

Wanita tersebut menjawab :"Ya". Ibnu Mas'ud pun berkata, :"Maka sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah melarangnya."

Ibnu Mujahid telah berkata, :"Tidak ada sesuatu apa pun didalam alam ini kecuali semuanya terkandung didalam Al-Quran". Seseorang telah bertanya, "Dimanakah disebutkan perkataan warung didalam Quran?" Jawab Ibnu Mujahid, Allah s.w.t berfirman yang maksudnya, "Tidak ada dosa atasmu memasuki rumah yang tidak disediakan untuk didiami, yang di dalamnya ada keperluanmu".

"Itulah warung." (Hal ini kerana, warung,kedai,super market atau lain-lainnya adalah tempat awam dan tidak perlukan keizinan tuannya untuk masuk)

MasyaAllah...betapa hebatnya Al-Quran yang merupakan kalam Allah. Sehinggakan ada sebahagian ulama' membuat kesimpulan kewafatan Nabi s.a.w pada usia 63 tahun, tahun 11 hijrah juga diketahui dari Al-Quran.

Apa buktinya?

Surah Al-Munafiqun, surah keberapa turutannya di dalam Al-Quran? Jawapannya 63, sama seperti umur Nabi s.a.w ketika wafat.

Ada berapa ayat? Jawapannya 11 ayat.

Ayat yang terakhir yang bermaksud : "Allah s.w.t tidak akan sesekali menangguhkan kematian seseorang apabila datang waktu kematiannya".

Bertepatan dengan tahun 11 hijrah.

Kemudian selepas Surah Al-Munafiqun adalah Surah At-Taghabun(Tipu menipu) yang merupakan salah satu nama daripada hari kiamat. Kerana pada hari kiamat akan berlaku tipu menipu dan rugi merugikan.

Bersesuaian dengan kewafatan Nabi s.a.w yang menunjukkan kiamat akan berlaku selepasnya. Tidak akan ada rasul dan nabi selepas Nabi Muhammad s.a.w, tidak ada kitab lain yang akan diturunkan selepas kitab Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi s.a.w. Sesungguhnya, hari kiamat akan berlaku selepas kewafatan Nabi s.a.w.

Allahu akhbar!

Alangkah ruginya apabila kita membaca Al-Quran, tetapi tidak cuba untuk memahami apa yang tersirat didalamnya. Allah s.w.t telah mengkhabarkan semuanya didalam Al-Quran. Hanya bergantung kepada kita untuk menceduk dan menggali isinya.

"Sebaik-baik dari kalangan kamu ialah mereka yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan