Memaparkan catatan dengan label Ulumul Quran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulumul Quran. Papar semua catatan

Sabtu, 6 November 2010

AL-QURAN MELEMAHKAN MUSUH

Mukjizat merupakan sesuatu perkara yang menyalahi apa yang biasanya berlaku, ampuh daripada sebarang cabaran pencabarnya dan ia merupakan anugerah Allah kepada rasul-rasulNya di dalam membuktikan kebenaran kepada kenabian dan kerasulan mereka.

    Al-Quran merupakan mukjizat paling besar kepada nabi Muhammad S.A.W dan berkekalan sehingga hari qiamat. Jika kita merujuk kepada beberapa buah kitab samaada yang turasi(tua) ataupun mua'sarah(terkini), kita akan dapati bagaimana muallif kitab itu membincangkan bagaimana Al-Quran melemahkan mereka yang telah, sedang dan akan mencabarnya melalui beberapa kriteria yang tertentu. Di sini akan disentuh secara ringkas kriteria-kriteria berikut untuk maklumat kita bersama.
I'jaz bayani (susunan dan kehalusan bahasa)

    Kriteria ini merupakan kriteria yang utama daripada yang lain kerana pengutusan nabi Muhammad S.A.W ditengah-tengah masyarakat arab yang tinggi bahasanya dari sudut balaghah, fasohah dan kehalusan bahasa arab. Jika difikirkan bagaimana Rasulullah S.A.W mampu menulis Al-Quran sebagaimana yang didakwa oleh musyrikin sedangkan dia seorang yang buta huruf dan tidak pernah belajar daripada intelek arab pada masa itu. Ini menunjukkan kepada kita bahawa al-Quran itu merupakan mukjizat bukannya hasil penulisan Rasululllah S.A.W sendiri. Ramai generasi sekarang kurang merasai kehalusan dan kesenian serta kelebihan Al-Quran dari sudut bayani kerana bahasa arab sekarang dimasuki unsur-unsur luar. Al-Quran telah menjadi rujukan utama ulama' lughah di dalam mengetahui kaedah nahu, balaghah dan sebagainya. Kita sebagai seorang muslim hendaklah mendalami ilmu tersebut kerana ia akan menimbulkan kesan yang mendalam dilubuk hati kita apabila melihat susunan, kehalusan, kesenian, balaghah dan fasohah lughah Al-Quran yang tiada tandingannya. Bagaimana seseorang itu hendak merasai keindahan Al-Quran dari sudut bayani melainkan dia tahu dan faham dengan ilughah arabiah. Al-Quran telah mencabar pencabarnya pada lima tempat iaitu:

1. Ayat 23-24 surah al-Baqarah yang bermaksud :Dan kamu tetap dalam keraguan berkenaan al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami Muhammad S.A.W, buatlah satu surah sahaja seumpama al-Quran dan ajaklah pembantu-pembantu selain Allah jika kamu orang-orang yang benar.

2. Ayat 37-39 surah Yunus yang bermaksud : Tidak mungkin al-Quran itu dibuat oleh mereka selain Allah,akan tetapi al-Quran itu telah membenarkan kitab-kitab sebelumnya dan menjelaskan hukum-hukum yang telah ditetapkannya.Tiada keraguan padanya,diturunkan dari Tuhan semesta alam. Atau patutkah mereka mengatakan : ''Muhammad telah membuatnya''. Katakanlah:''Jika benar apa yang kamu dakwa itu maka cuba datangkan satu surah seumpamanya dan ajaklah sesiapa yang yang dapat kamu panggil untuk membuatnya selain allah jika kamu orang-orang yang benar.

3. Ayat 12-14 surah Hud yang bermaksud : Maka kemungkinankamu hendak meninggal sebahagian daripada apa yang diwahyukan kepadamu dan kerananya dadamu terasa sempit, disebabkan resah mereka mengatakan : '' Mengapa tidak diturunkan padanya perbendaharaan atau datang bersamanya seorang malaikat?''. Sesungguhnya kamu hanyalah seorang pemberi peringatan dan Allah Maha pemelihara segala sesuatu. Bahkan mereka mengatakan : '' Muhammad telah membuat al-Quran itu''. Katakanlah :'' Jika demekian maka datangkanlah sepuluh surah yang dibuat seumpamanya dan serulah orang-orang yang kamu sanggup mengajaknya untuk bersamamu selain Allah jikakamu orang-orang yang benar.

4. Ayat 86-88 surah al-Isra' yang bermaksud : Dan sesungguhnya jika kami menghendaki nescaya Kami lenyapkan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan dengan dengan pelenyapan itu kamu tidak akan mendapati seorang pembela pun terhadap Kami. Kecuali kerana rahmat dari Tuhanmu. Sesungguhnya kurniaan ke atasmu adalah besar. Katakanlah : '' Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat seumpama al-Quran ini maka mereka tidak kan mampu untuk membuat seumpamanya sekalipun sebahagian daripada mereka menjadi pembantu untuk sebahagian yang lain.

5. Ayat 33-34 surah at-Tur yang bermaksud : Ataukah mereka mengatakan : '' Dia iaitu Muhammad membuatnya''. Sebenarnya mereka tidak beriman. Maka hendaklah mereka mendatangkan kalimah (satu ayat lengkap)seumpama al-Quran itu jika mereka orang-orang yang benar.

Walaupun ada yang cuba menyahut cabaran ini tetapi mereka tidak mampu seperti Musailamah al-Kazzab. Pada masa kini ada golongan orientalis barat yang cuba menulis lima surah palsu tetapi apabila dikaji dari sudut bahasa dan keseniannya agak tersasar jauh dari Al-Quran disamping apa yang ditulis menunjukkan penafian adanya mukjizat pada hasil tulisan mereka apabila dalam kebanyakan ayat, Rasulullah S.A.W telah menghina diri sendiri sebagai pengkhianat dan orang gila sedangkan salah satu syarat mukjizat ialah mesti mempertahankan rasul atau nabi yang menunjukkan sesuatu mukjizatnya bukan menafikannya. Jika tidak fahami lughah dan kesenian serta buta bahasa arab, kita tidak mungkin merasai kepalsuannya. Sesungguhnya Allah tetap menjaga Al-Quran daripada musuh-musuhnya. Imam Syafi'e telah berkata bahawa mereka yang pakar dengan bahasa arab ini adalah jin manusia yang mana mereka nampak apa yang orang lain tidak nampak. Ini membawa maksud bahawa jin mampu melihat apa yang tidak dapat dilihat oleh manusia biasa. Maka begitulah juga dengan pakar bahasa arab mampu melihat pada nas atau petikan yang mana orang biasa tidak dapat melihatnya. Ini kerana mereka melihat dari sudut makna yang mana orang biasa tidak mampu melihatnya.

I'jaz ilmi
    Kriteria ini menunjukkan kepada kita bagaimana Al-Quran telah melemahkan pencabarnya dari sudut perbahasan ilmiah. Bagimana seorang rasul yang tidak pernah belajar mengenai angkasa lepas serta kedoktoran mampu bercakap atau menulis mengenai perkara tersebut melainkan ia merupakan mukjizat yang dianugerahkan oleh Allah kepada baginda S.A.W. Mengenai perjalanan matahari misalnya para ahli sains menyatakan bahawa bumi mengelilingi matahari yang mana matahari berkedudukan tetap sedangkan di dalam Al-Quran melalui ayat 38 surah Yasin, Allah berfirman : Dan matahari bergerak di atas paksinya, Itu menunjukkan kekuasaan Allah Yang maha hebat dan bijaksana. Al-Quran juga memberitahu kepada kita bagaimana kejadian janin manusia di dalam perut ibunya melalui beberapa ayat seperti ayat 14 surah al-Mukminun yang bermaksud : Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu dari segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, lalu dari segumpal daging itu kami tulang belulang, lalu dari tulang belulang itu Kami saluti dengan daging. Kemudian Kami jadikan ia makhluk yang berbentuk lain. Maka Maha Suci Allah pencipta yang paling baik. Begitu juga dengan proses hujan yang dinukilkan dalam Al-Quran melalui ayat 43 surah an-Nur yang bermaksud :

Tidakkah kamu memerhatikan bagaimana Allah mengarakkan awan kemudian mengumpulkan antara bahagian-bahagiannya, kemudian menjadikannya bertindih-tindih, maka kelihatanlah olehmu hujan keluar dari celahannya dan Allah juga menurunkan butiran air dari langit iaitu dari gumpalan awan seperti gunung-gunung maka dicurahkan air tadi kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan dipalingkan daripada sesiapa yang dikehendakiNya. Kilauan kilat awan itu hampir-hampir menghilangkan penglihatan.
 
 I'jaz tasyri'e (perundangan)

    Kriteria ini membuktikan bagaimana Al-Quran membincangkan perundangan rabbani yang adil dan sesuai dijalankan sepanjang masa. Tidak mungkin seorang nabi yang diketahui buta huruf yang mana kebanyakan waktunya dihabiskan dengan memelihara kambing dan berniaga mampu untuk menulis perundangan yang sempurna ini melainkan ia merupakan mukjizat. Walaupun telah ramai yang cuba mencipta dan menjalankan sistem perundangan dan pemerintahan yang berdasarkan komusisme, sosialisme, sekularisme dan ideologi yang lain tetapi semuanya menemui kegagalan kerana perundangan Al-Quran tetap melemah dan menggagalkan pencabarnya. Antara perundangan yang terkandung dalam Al-Quran ialah berkaitan dengan solat, puasa, zakat, haji, pembahagian harta pusaka, kekeluargaan, hukum hudud, qisas, pemilihan pemimpin dan sebagainya. Kita melihat bagaimana barat sendiri mengakui perundangan Al-Quran adalah yang terbaik dan sempurna seperti hukuman 100 rotan untuk penzina yang belum berkahwin merupakan satu-satunya jalan untuk mengubati penyakit Aids(bala). Manakala bagi mereka yang sudah berkahwin maka tiada jalan lagi kerana mereka memang tiada peluang lagi untuk selamat daripada penyakit itu melainkan direjam sehingga mati. Begitu juga Islam menjaga maruah seseorang daripada di’aibkan walaupun dia bersalah selagi mana dia tidak dihukum melalui hukum li’an, qazaf, zihar dan beberapa hukum yang lain.
Ini membawa kepada penjagaan maruah pesalah dan keluarganya dan mengelakkan orang ramai daripada membuat tuduhan tanpa bukti dan saksi.
Kita juga pernah membaca bagaimana kerajaan Amerika Syarikat cuba mengharamkan peminuman, pembelian, penjualan, pengeluaran dan pengedaran arak pada tahun1930. Mereka mengemukakan pelbagai cara melalui penyelidikan yang teliti dan perbahasan ilmiah mengenai bahayanya arak untuk disebarkan kepada rakyat mengenainya. Media massa digunakan sepenuhnya untuk menerangkan mengenai perkara ini yang mana tujuan ini menelan belanja sebanyak US65 juta dan pencetakan sahaja meliputi US9 juta dan 4 juta lebih bagi tujuan pelaksanaan undang-undang ini. Menurut laporan dari bahagian penyelidikan dan pengkajian menunjukkan kesan pelaksanaannya antara Oktober 1933 telah menyebabkan 200 orang dihukum bunuh, seramai setengah juta orang dipenjara dan rampasan kepada arak mencapai angka US 1.5 juta serta denda yang dikenakan kerana kesalahan ini berjumlah US400 juta. Akhirnya undang-undang ini terpaksa dibatalkan pada akhir tahun 1933memandang mereka kehilangan banyak nyawa dan juga denda yang dilakukan tidak mampu membendung masalah arak ini. Ini adalah kerana undang-undang yang dicipta oleh tangan manusia tidak mampu menimbulkan keinsafan dan juga tiadanya perhubungan antara duniawi dan ukhrawi tidak sepertimana hukum Allah yang Maha Adil dan memberi kesan kepada makhlukNya. Hukuman sebat sebanyak 80 rotan ke atas peminum arak sebagaimana yang ditetapkan oleh Islam mampu menginsafkan mereka yang terlibat dan mampu pula untuk mencegah orang lain dari terjerumus dalam kesalahan yang sama. Ia juga dilaksanakan dihadapan ramai bukannya di bilik khas yang mana hanya pegawai yang bertugas dan pesalah sahaja yang tahu azabnya seksaan yang dijatuhkan ke atasnya. Bilakah kita mampu merasai keadilan hukum Allah? Ia adalah kewajipan kita bersama di dalam melaksanakannya.

I'jaz tarikhi

Kriteria ini membuktikan kepada kita bagaimana Al-Quran membawa pelbagai berita dan kisah  yang berkaitan dengan perkara yang silam, sekarang dan akan datang. Di sini dibahagikan contoh kepada 3 bahagian bersesuaian dengan apa yang telah, sedang dan akan berlaku.
.
PERTAMA :
Al-Quran telah merakamkan bagaimana Firaun apabila hampir tenggelam telah mengaku beriman kepada Allah tetapi taubatnya tidak diterima melalui ayat 90-92 surah Yunus yang mana maksud Allah berfirman : Dan Kami memungkinkan bani Israel menyeberangi laut laulu mereka diikuti oleh Firaun dan bala tenteranya kerana mereka mahu menganiayai dan menindas sehingga apabila Firaun hampir lemas berkatalah dia :" Aku percaya bahawa tiada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai oleh bani Israel dan aku termasuk oarang-orang yang berserah diri kepada Allah. Adakah sekarang engkau baru percaya sedangkan sebelum ini engkau telah mendustaiNya dan engaku termasuk dalam golongan mereka yang melakukan kerosakan. Maka pada hari ini Kami selamatkan badanmu agar dapat menjadi pengajaran kepada umat selepasmu dan sesungguhnya kebanyakan manusia alpa dengan tanda kekuasan Kami. Ayat ini juga menerangkan bagaimana tubuh Firaun tidak hancur ditelan ombak atau dimakan oleh ikan tetapi sebaliknya jasadnya telah dibawa oleh ombak ke tepian pantai untuk disaksikan oleh kaumnya bagaimana Firaun yang sebelum ini mengaku tuhan telah mati lemas dan telah dibinasakan dengan cara yang hina. Jasad ini dipercayai masih wujud bersama-sama mumia yang lain di muzium Mesir melalui kajian beberapa orang pakar dari barat. Ini menunjukkan kepada kita  mukjizat Al-Quran dan menafikan ia adalah tulisan nabi S.A.W. Selain itu Al-Quran turut merakamkan tentang umat dan rasul serta nabi sebelum baginda S.A.W untuk menjadi renungan bukannya sekadar dibaca sahaja. Jika kita perhati dan baca dengan penuh pemerhatian maka kita dapati cerita di dalam al-Quran ada yang hanya terdapat dalam satu surah dan ada yang terdapat dalam beberapa surah yang lain. Allah juga menceritakan perkara ini secara rambangnya jika kita teliti, cerita ini putus-putus dan tidak secara penuh sebaliknya Allah menceritakannya pada sesuatu keadaan yang penting dan boleh diambil pengajaran sahaja. Ini membezakan al-Quran dengan buku sejarah atau buku cerita yang lain.

KEDUA :
Al-Quran telah menjelaskan kepada kita mengenai tentang sifat Allah, malaikat, jin, syurga dan neraka serta keadaan alam barzakh dan sebagainya untuk renungan kita bersama. Antara contoh yang kita akan dapati ialah melalui penerangan serba sedikit mengenai keadaan di dalam syurga melalui firmanNya dalam ayat 25 surah al-Baqarah yang bermaksud : Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang beriman dan berbuat kebaikan bahawa mereka disediakan syurga yang mana mengalir air di dalamnya. Setiap mereka akan dianugerahi buah-buahan syurga lalu mereka menyatakan : inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu. Mereka diberikan buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya. Ini membuka mata kita bahawa jika ia merupakan tulisan manusia maka dia tidak mungkin mampu menceritakan sifat syurga sebagaimana tersebut dalam ayat ini.

KETIGA  :
Al-Quran telah memberitahu tentang kemenangan yang akan dicapai oleh tentera Rom ke atas Parsi dalam tempoh beberapa tahun sebagaimana ayat 1-6 surah al-Rom yang bermaksud :
Alif Laam Miim. Telah dikalahkan kuasa Rom. Di negeri yang terdekat dan mereka sesudah itu kan diberikan kemengan kembali. dalam beberapa tahun lagi Bagi Allahlah segala urusan sebelum ini dan sesudah mereka mencapai kemenangan. Dan pada hari kemenangan kuasa Rom itu bergembiralah orang yang beriman. Kerana pertolongan Allah. Dia menolong sesiapa yang dikehendakiNya. Janji yang sebenar-benar itu dari Allah. Allah tidak  akan memungkiri janjiNya tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
            Banyak lagi kisah yang seumpama ini seperti kemenangan yang bakal dicapai oleh orang muslimin dan sebagainya untuk renungan dan menambah keyakinan tentang mukjizat al-Quran dan kebenaran kenabian nabi Muhammad S.A.W dan agama Islam yang dibawa oleh baginda S.A.W.

I'jaz 'adadi (bilangan)

                 Kriteria ini menunjukkan bagaimana Al-Quran telah memastikan bahawa ia merupakan merupakan mukjizat dari sudut bilangan sama ada ayat, surah dan jumlah perkataan yang tidak berubah dan kekal sehingga hari qiamat. Apabila adanya golongan yang cuba menambah beberapa surah Al-Quran maka dengan sendirinya kita dapat tahu bahawa ia adalah surah palsu kerana melebihi jumlah surah Al-Quran yang sebenar iaitu 114 surah disamping bertambahnya bilangan ayat dan jumlah kalimah.
         Inilah serba ringkas perbincangan mengenai kriteria i'jazul Quran. Semoga penerangan yang serba ringkas ini mampu memberi serba sedikit maklumat mengenai kriteria penting bagaimana Al-Quran mampu melemahkan musuh-musuhnya dari dahulu sehingga sekarang.
 
Rujukan :
1. Al-Bayan fi I'jazul Quran karangan Profesor Solah Al-Khalidi cetakan Darul Qalam
2. Al-I'jazul Quranul Karim karangan Profesor Fadhil 'Abbas dan anak perempuannya cetakan Darul Furqan

Rabu, 26 Mei 2010

SEMUA ADA....

Subhanallah...
Alhamdulillah...
Allahu Akhbar...

Al-Quran merupakan kitab Allah s.w.t yang diwahyukan kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w melalui malaikat Jibril a.s. Merupakan kitab yang terakhir diturunkan kepada penutup sekalian nabi dan rasul. Mukjizat agung Rasulullah s.a.w yang kekal dan terpelihara sehingga hari kiamat.

Telah dikeluarkan daripada Imam Al-Baihaqi daripada Hasan katanya : "Sesungguhnya Allah s.w.t telah menurunkan 104 kitab, terkandung segala ilmunya di dalam 4 kitab iaitu Taurat, Injil, Furqan dan Zabur.Kemudian terkandung segala ilmu dalam 3 kitab kedalam satu kitab, iaitu Al-Furqan (Al-Quran)."

Ini bermakna semua ilmu yang terdapat didalam 104 kitab yang terawal dan 3 kitab selepasnya iaitu Taurat, Injil dan Zabur terkumpul semuanya di dalam satu kitab yang agung, kitab yang menjadi mukjizat maknawi dan kitab yang terakhir kepada rasul terakhir iaitu kitab Al-Quran. Cukup menakjubkan!

Al-Imam Asy-Syafie r.a berkata : "Semua yang dikatakan oleh umat ini adalah penjelasan dari As-Sunnah, dan keseluruhan As-Sunnah adalah penjelasan dari Al-Quran."

Dan beliau juga berkata: "Semua yang diputuskan oleh Rasulullah s.a.w merupakan apa yang difahami dari Al-Quran."  Dan ini dita'kidkan lagi dengan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : "Aku tidak menghalalkan kecuali apa yang dihalalkan oleh Allah dan aku tidak mengharamkan kecuali apa yang diharamkan  oleh Allah di dalam kitabNya." (Imam Syafie r.a meriwayatkan lafaz ini dari kitab Al-Umm.)

Sa'id bin Jubair berkata :"Aku tidak mendengarkan hadith Rasulullah s.a.w yang sampai kepadaku kecuali aku mendapatkan ada pembenarnya di dalam Kitab Allah."

Ibnu Mas'ud berkata : "Jika aku menceritakan kepada kalian sebuah hadith, maka aku memberitahukan kepada kalian bahawa pembenarnya adalah dari Kitab Allah."

Telah berkata Imam Asy-Syafie r.a : "Tidak ada seuatu pun yang baru dalam urusan agama yang dialami oleh hamba, kecuali dalil yang menunjukkannya di dalam Al-Quran. Jika ada yang mengatakan bahawa ada sebahagian hukum yang sejak dari mula ditetapkan Sunnah, maka kami mengatakan bahawa hal itu pada asalnya diambil dari Al-Quran. Hal ini kerana Al-Quran mewajibkan kita untuk mengikuti Sunnah Rasulullah s.a.w dan berpegang teguh dengannya."

Tidak dapat disangkal lagi bahawa semua perkara terdapat di dalam Al-Quran. Daripada urusan dunia sehinggalah kepada urusan akhirat. Daripada sebesar-besar perkara, hingga kepada perkara yang kecil. Sehinggakan bilangan roti yang dapat dibuat dari seguni tepung juga disebutkan di dalam al-Quran.

Diceritakan. telah datang seorang lelaki kepada Imam Asy-Syafie r.a dan bertanya adakah didalam Al-Quran terdapat dalil mengenai berapakah bilangan roti yang dapat dibuat daripada seguni tepung. Lalu Imam Asy-Syafie r.a membawa lelaki tersebut kepada pembuat roti lalu bertanyakan kepada pembuat roti berkenaan soalan lelaki tersebut. Maka dijawab oleh pembuat roti bahawa jumlah roti yang dapat dihasilkan dari seguni tepung ialah 100 keping roti. Lalu lelaki tadi berkata, aku tidak nampak pun perkara ini disebutkan di dalam Al-Quran. Jawab Imam asy-Syafie..."Bertanyalah kepada orang yang mengetahui jika kamu tidak tahu" yang merupakan maksud sebahagian ayat yang terdapat di dalam Al-Quran.

Pada suatu ketika, Imam Asy-Syafie r.a berkata : "Tanyalah kepadaku apa yang kamu inginkan, aku akan menjawabnya dari Al-Quran." Maka ada yang bertanya, " Apakah pendapatmu, seseorang yang berihram dan kemudiannya dia membunuh lebah?" Lalu dijawab oleh Imam Asy-Syafie r.a dengan dalil Al-Quran, yang bermaksud, "Apa yang diberikan Rasul kepadamu terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya tinggalkanlah ia." Surah Al-Hasyr ayat 7.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :"Ikutilah dua orang sepeninggalanku iaitu Abu Bakar dan Umar"

Al-Imam Bukhari meriwayatkan dari Ibnu Ma'sud, :"Allah melaknat sesiapa yang bertatu dan melakukan perbuatan tatu, para wanita yang mencabut bulu diwajah, yang mengikir atau mengikis gigi untuk tujuan mencantikkan kerana semuanya termasuk di dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah s.w.t" Maka telah bertanya seorang wanita daripada Bani Asad, : "Sesungguhnya aku mendengar kamu melaknat yang demikian dan demikian." Lalu dijawab oleh Ibnu Mas'ud, : "Mengapa pula aku tidak melaknat apa yang dilaknat oleh Rasul s.a.w, an laknat itu terdapat di dalam Al-Quran!". Wanita itu berkata, :"Aku telah membaca Al-Quran keseluruhannya, tapi aku tidak menemuinya". Dijawab oleh Ibnu Mas'ud :"Jika kamu telah membacanya, kamu akan menemuinya. Tidakkah kamu membaca firman Allah s.w.t : yang bermaksud:"Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkannya".

Wanita tersebut menjawab :"Ya". Ibnu Mas'ud pun berkata, :"Maka sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah melarangnya."

Ibnu Mujahid telah berkata, :"Tidak ada sesuatu apa pun didalam alam ini kecuali semuanya terkandung didalam Al-Quran". Seseorang telah bertanya, "Dimanakah disebutkan perkataan warung didalam Quran?" Jawab Ibnu Mujahid, Allah s.w.t berfirman yang maksudnya, "Tidak ada dosa atasmu memasuki rumah yang tidak disediakan untuk didiami, yang di dalamnya ada keperluanmu".

"Itulah warung." (Hal ini kerana, warung,kedai,super market atau lain-lainnya adalah tempat awam dan tidak perlukan keizinan tuannya untuk masuk)

MasyaAllah...betapa hebatnya Al-Quran yang merupakan kalam Allah. Sehinggakan ada sebahagian ulama' membuat kesimpulan kewafatan Nabi s.a.w pada usia 63 tahun, tahun 11 hijrah juga diketahui dari Al-Quran.

Apa buktinya?

Surah Al-Munafiqun, surah keberapa turutannya di dalam Al-Quran? Jawapannya 63, sama seperti umur Nabi s.a.w ketika wafat.

Ada berapa ayat? Jawapannya 11 ayat.

Ayat yang terakhir yang bermaksud : "Allah s.w.t tidak akan sesekali menangguhkan kematian seseorang apabila datang waktu kematiannya".

Bertepatan dengan tahun 11 hijrah.

Kemudian selepas Surah Al-Munafiqun adalah Surah At-Taghabun(Tipu menipu) yang merupakan salah satu nama daripada hari kiamat. Kerana pada hari kiamat akan berlaku tipu menipu dan rugi merugikan.

Bersesuaian dengan kewafatan Nabi s.a.w yang menunjukkan kiamat akan berlaku selepasnya. Tidak akan ada rasul dan nabi selepas Nabi Muhammad s.a.w, tidak ada kitab lain yang akan diturunkan selepas kitab Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi s.a.w. Sesungguhnya, hari kiamat akan berlaku selepas kewafatan Nabi s.a.w.

Allahu akhbar!

Alangkah ruginya apabila kita membaca Al-Quran, tetapi tidak cuba untuk memahami apa yang tersirat didalamnya. Allah s.w.t telah mengkhabarkan semuanya didalam Al-Quran. Hanya bergantung kepada kita untuk menceduk dan menggali isinya.

"Sebaik-baik dari kalangan kamu ialah mereka yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya"