Isnin, 14 Disember 2009

JIN. GANGGUAN DAN CARA MENGUBATINYA (Bahagian 2)

1.3 AWAL PENCIPTAAN JIN DAN DALIL-DALIL YANG MEMBUKTIKAN KEWUJUDANNYA.

Allah s.w.t menciptakan jin lebih awal daripada manusia iaitu dengan selisih waktu yang sangat lama dan panjang apabila dikiaskan kepada manusia dan jin itu sendiri. Hal ini dibuktikan melalui firman Allah s.w.t :

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الإِنسَانَ مِنْ صَلْصَالٍ مِنْ حَمَإٍ مَسْنُونٍ (26) وَالْجَانَّ خَلَقْنَاهُ مِنْ قَبْلُ مِنْ نَارِ السَّمُومِ (27)

Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Dan Kami telah menciptakan jin, sebelum itu, dari api yang sangat panas.

Kalimat “sebelum itu” dalam ayat tersebut menunjukkan kepada waktu yang sangat lama yang menunjukkan usia jin menghuni di muka bumi sebelum manusia. Diriwayatkan dari Utsman dari Al-A’sya Bakr ibn Al-Akhnas dari Abdur Rahman bin Sabith Al-Quraisy dari Abdullah bin Amr bin A-‘Asr r.a yang menerangkan : “Allah s.w.t menciptakan anak cucu jin 2000 tahun sebelum menjadikan Adam a.s”.
Ada pendapat yang mengatakan bahawa selisih waktu di antara penciptaan jin manusia itu hanyalah 40 tahun. Tetapi boleh jadi 40 tahun itu adalah dikiaskan kepada jin yang bersamaan dengan 2000 tahun seperti dalam riwayat yang disebutkan di atas. Namun riwayat tersebut diragui kebenarannya kerana terdapat beberapa beberapa perkara yang diragui pada periwayat selepas Uthman iaitu Ibn Basyar.
Namun begitu, waktu sebenar jarak di antara penciptaan manusia dan jin itu tidak dapat ditentukan dengan tepat dan boleh jadi ianya lebih lama iaitu 6000 tahun bila dikiaskan kepada manusia. Ini menunjukkan rentang waktu yang sangat lama dan panjang bila dinisbahkan kepada golongan jin itu sendiri dan merupakan kebanggaan kepada mereka.
Dalil lain yang membuktikan kewujudan mereka ialah :

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلاَئِكَةِ اسْجُدُوا ِلأَدَمَ فَسَجَدُوا إِلاَّ إِبْلِيسَ كَانَ مِنْ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلاً

Maksudnya :“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat ‘Sujudlah kamu kepada Adam!’ Maka sujudlah mereka kecuali Iblis. Dia dan golongan jin, lalu dia menderhakai perintah tuhannya…”

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ
Maksudnya :“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka itu beribadah”.

. يَامَعْشَرَ الْجِنِّ وَالإِنسِ أَلَمْ يَأْتِكُمْ رُسُلٌ مِنْكُمْ يَقُصُّونَ عَلَيْكُمْ آيَاتِي وَيُنذِرُونَكُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَذَا قَالُوا شَهِدْنَا عَلَى أَنفُسِنَا وَغَرَّتْهُمْ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَشَهِدُوا عَلَى أَنفُسِهِمْ أَنَّهُمْ كَانُوا كَافِرِينَ
Maksudnya : “Wahai golongan jin dan manusia, apakah belum datang kepadamu rasul-rasul dari golongan kamu sendiri, yang menyampaikan kepadamu ayat-ayat-Ku dan memberi peringatan kepadamu terhadap pertemuanmu dengan hari ini?”

Terdapat banyak lagi dalil daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis daripada Nabi s.a.w yang menunjukkan tentang kewujudan jin di alam ini. Mengingkari kewujudan mereka adalah satu perkara yang tidak berasas kerana perihal mereka ini telah diberitahu oleh Allah s.w.t melalui firmannya di dalam al-Quran.

1.4 BAHAN ASAL PENCIPTAAN JIN

Allah s.w.t berfirman :

وَالْجَانَّ خَلَقْنَاهُ مِنْ قَبْلُ مِنْ نَارِ السَّمُومِ

Maksudnya : “Dan Kami telah menciptakan Jaan (jin), sebelum itu dari api yang sangat panas (nar as-samum)”.
Dan firman-Nya :
وَخَلَقَ الْجَانَّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ
Maksudnya : “Dia menciptakan Jaan (jin) dari nyala api (maarij)”

Ketika Allah s.w.t mengisahkan perkataan Iblis di dalam firman-Nya :

خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ
Maksudnya :“Engkau ciptakan aku dari api, sedang Engkau ciptakan dia dari tanah”.

Imam Muslim, dalam sahihnya, mencantumkan sebuah hadis yang diterima dari ‘Urwah, dari Aisyah, yang meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,

خَلِقَتِ الْمَلاَئِكَةُ مِنْ نُورٍ وَخُلِقَ الْجَانُّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ َنارٍ وَخُلِقَ ﺁدَمُ مِمَّا ﻭُﺻِﻒَ ﻟَﻜُﻢْ
Maksudnya :“Malaikat diciptakan dari cahaya, dan Jin diciptakan dari nyala api, dan Adam diciptakan dari sesuatu yang telah disebutkan kepada kalian.”

Dengan demikian, baik al-Quran mahupun Sunnah Rasul yang suci telah menegaskan tentang bahan asal penciptaan jin iaitu dari api. Sekalipun berbeza sebutan iaitu “nyala api” dan “api yang sangat panas”.
Persoalan yang timbul di sini adalah apakah yang dimaksudkan dengan ‘nyala api’ (marij) dan ‘api yang sangat panas’ (nar as-samum) itu?
Imam An-Nawawi mengatakan ‘marij’ itu adalah jilatan api (al-lahab) yang bercampur dengan hitamnya api. Sementara itu, At-Thabari mengatakan , ‘al-marij’ ialah sesuatu yang bercampur di antara satu sama lain, antara merah, kuning, dan biru, iaitu berdasarkan ucapan orang Arab yang mengatakan ‘marija ‘amr al-qawm’ yang bererti urusan kaum itu bercampur aduk. Ia juga berdasarkan ucapan Nabi s.a.w kepada Abdullah bin ‘Amr ibn Al-‘Ash: ‘Bagaimana halmu jika kamu berada di tengah-tengah suatu kaum yang perjanjian dan amanah mereka bercampur-baur...’
Dengan demikian, erti marij adalah nyala api dan lidah api. Di dalam Tafsir Al-Qurthubi disebutkan : “Al-Marij adalah al-lahab (nyala api) - dari Ibn Abbas. Atau inti api, atau lidah api yang berada di puncak manakala api tersebut menyala.”
Al-Laits mengatakan : “Al-Marij ialah api yang sangat terang yang memiliki nyala (panas) sangat kuat.”
Ibn Abbas mengatakan : “Al-Marij adalah nyala api yang berada di bahagian atas yang saling bercampur warnanya antara merah, kuning dan biru.”
Sementara itu, Abu ‘Ubaidah dan Al-Hasan mengatakan : “Al-Marij adalah campuran api. Ia berasal dari marija yang bereti bercampur-baur.”
Al-Jauhari dalam Al-Sihah mengatakan bahawa, yang dimaksudkan dengan marij min nar adalah api yang tidak berasap, yang dari itu jin diciptakan.
Imam An-Nasafi, dalam tafsirnya mengatakan : “...as-samum, ialah api yang sangat panas yang digunakan di tempat peleburan.”
Di dalam Tafsir Al-Qurthubi pula, beliau mengatakan : “Diriwayatkan bahawa Allah s.w.t menciptakan dua jenis api, yang bercampur di antara satu sama lain dan saling telan-menelan, itulah nar as-samum (api yang sangat panas).”
Di dalam Surah Al-Hijr disebutkan bahawa Ibnu Mas’ud mengatakan, “Nar as-samum yang darinya jin dicipta adalah satu bahagian daripada tujuh bahagian api Jahannam.”
Sedangkan Ibnu Abbas mengatakan bahawa as-samum ialah angin yang sangat panas dan mematikan. Di bahagian lain pula, Ibnu Abbas mengatakan bahawa: “As-samum adalah api tanpa asap, dan halilintar dibuat daripadanya.”
Sementara itu, Al-Qusyairi mengatakan bahawa : “Angin panas disebut as-samum kerana ia masuk misam tubuh (toksik)
Berdasarkan huraian-huraian tersebut, maka di dapati tiada perbezaan di antara ‘Al-Marij’ dengan ‘As-Samum’. Dan dapatlah disimpulkan di sini bahawa api mengandungi eter (ether) yang menyebabkan ia menjadi sangat ringan, dan terdiri dari campuran pelbagai warna yang menyebabkan makhluk yang dibuat darinya juga memiliki warna yang bermacam-macam, serta kemampuan untuk memanjang dan meninggi.
Persoalan yang timbul apabila membincangkan tentang perkara ini adalah tentang rupa atau bagaimana keadaan jasad makhluk yang dicipta daripada api ini. Adakah ia masih dalam bentuk asalnya iaitu dalam bentuk api atau sebaliknya?
Jawapan kepada persoalan ini dapatlah dihuraikan melalui keadaan jasad makhluk yang diciptakan dari tanah iaitu manusia. Keadaan kita pada hari ini tidaklah berada dalam bentuk tanah yang apabila terkena air akan menjadi luluh dan hancur, tetapi keadaan kita adalah sebuah jasad yang sangat cantik dengan tulang yang diselaputi daging serta mempunyai organ-organ berfungsi pada tempatnya. Hal ini menjelaskan tentang keadaan jin yang juga tidak berada dalam bentuk asal penciptaannya iaitu api, akan tetapi mereka juga mempunyai jasad yang sempurna, organ-organ tubuh dan kemudiannya ditiupkan roh agar mereka menjadi makhluk yang cerdas, berakal, dan memiliki kebebasan memilih, sebagaimana ketika Allah s.w.t menciptakan Adam dari tanah liat yang lebih di kenali sebagai at-tiin. Selanjutnya dari tanah liat menjadin hama’ masnun, iaitu tanah liat hitam yang sudah berubah baunya kerana lama terendam dalam air. Kemudian tanah liat hitam dan basah itu berubah menjadi tanah liat kering (shalshal) dan keras yang apabila diketuk akan mengeluarkan bunyi. Sesudah itu ditiupkan roh, sehingga jadilah Adam sebagai manusia yang sangat baik bentuknya, melalui kekuasaan Allah s.w.t.
Dengan kehendak dan kekuasaan Allah s.w.t, maka berubahlah nyala api menjadi benda yang terkumpul di dalamnya sifat basah dan kering, lalu ditiupkan roh kepadanya sehingga berubahlah ia menjadi benda atau jasad yang sangat ringan dan lembut yang kita kenali sebagai makhluk halus atau jin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan