Ahad, 27 Disember 2009

JIN. GANGGUAN DAN CARA MENGUBATINYA (Bahagian 5)

2.0.2 UMUR JIN

Sepertimana yang kita ketahui bahawa jin mempunyai usia yang sangat panjang berbanding manusia. Di antara mereka ada yang berusia ratusan, malah ada yang berusia lebih dari ribuan tahun. Ini bersesuaian dengan pemintaan mereka agar Allah s.w.t mengurniakan umur yang panjang kepada mereka.
Bagi jin yang berusia 180 tahun, apabila dikiaskan dengan umur manusia adalah seperti remaja yang berusia 15 atau 16 tahun. Inilah yang menunjukkan bahawa mereka mempunyai umur yang sangat panjang.

2.0.3 AGAMA DAN AKIDAH JIN.

Kehidupan yang dilalui oleh bangsa jin adalah tidak jauh bezanya dengan apa yang dilalui oleh bangsa manusia. Ini termasuklah di dalam soal ibadat dan pekerjaan yang lain. Allah s.w.t telah berfirman :
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ
Maksudnya : “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka itu beribadah.”

Inilah dalil yang kuat untuk menyatakan bahawa jin juga perlu menunaikan kewajipan sebagaimana manusia. Dan bagi jin yang mukallaf, mereka wajib menunaikan segala yang diperintahkan oleh Allah s.w.t kepada mereka sebagaimana firman-Nya :

. يَامَعْشَرَ الْجِنِّ وَالإِنسِ أَلَمْ يَأْتِكُمْ رُسُلٌ مِنْكُمْ يَقُصُّونَ عَلَيْكُمْ آيَاتِي وَيُنذِرُونَكُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَذَا قَالُوا شَهِدْنَا عَلَى أَنفُسِنَا وَغَرَّتْهُمْ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَشَهِدُوا عَلَى أَنفُسِهِمْ أَنَّهُمْ كَانُوا كَافِرِينَ

Maksudnya : “Wahai golongan jin dan manusia, apakah belum datang kepadamu Rasul-rasul dari golongan kamu sendiri, yang menyampaikan kepadamu ayat-ayat-Ku dan memberi peringatan kepadamu terhadap pertemuanmu dengan hari ini?”

Jin juga menganut pelbagai agama seperti agama Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan ada juga yang Athies iaitu tidak percaya kepada mana-mana agama.
Sabda Nabi s.a.w :
إِنَ بِالْمَدِيْنَةِ نَفَرَا مِنَ الْجِنِّ قَدْ أَسْلَمُوْا
Maksud : “Sesungguhnya di Madinah ini terdapat golongan jin yang masuk Islam.”
Bagi jin yang muslim, ada di kalangan mereka yang berfahaman atau menganut aliran Qadariyyah, Syiah, Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ada juga yang Ahli Bid’ah serta lain-lain aliran. Dari kalangan mereka yang muslim ini juga, ada yang taat, ada yang suka membuat maksiat, ada yang bertakwa dan ada yang melakukan dosa. Tentang hal ini, Allah s.w.t telah berfirman di dalam kitab suci al-Quran :

وَأَنَّا مِنَّا الصَّالِحُونَ وَمِنَّا دُونَ ذَلِكَ كُنَّا طَرَائِقَ قِدَدًا

Maksudnya : “Dan sesungguhnya, di antara kami ada orang-orang yang soleh dan di antara kami ada pula yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza.”
Ibn Abbas ketika menafsirkan ayat ini mengatakan bahawa di antara jin, ada yang mukmin dan ada pula yang kafir.
Begitu juga Ibn Taimiyah berpendapat bahawa jin itu ada yang muslim, ada yang kafir, ada yang Ahli Sunnah dan ada pula yang Ahli Bid’ah.
Para ulama’ bersepakat, bahawa jin yang kafir tempatnya di akhirat adalah di neraka, dan bagi jin mukmin yang beramal soleh pula adalah di syurga.
Firman Allah s.w.t :
لَمْ يَطْمِثْهُنَّ إِنسٌ قَبْلَهُمْ وَلاَ جَانٌّ
Maksudnya : “Mereka tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka) dan tidak pula oleh jin.”

Firman Allah s.w.t :

أُوْلَئِكَ الَّذِينَ حَقَّ عَلَيْهِمْ الْقَوْلُ فِي أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِمْ مِنْ الْجِنِّ وَالإِنسِ إِنَّهُمْ كَانُوا خَاسِرِينَ (18) وَلِكُلٍّ دَرَجَاتٌ مِمَّا عَمِلُوا وَلِيُوَفِّيَهُمْ أَعْمَالَهُمْ وَهُمْ لاَ يُظْلَمُونَ (19)

Maksudnya : “Mereka itulah orang-orang yang telah ditetapkan (untuk mengalami seksa) di antara umat-umat terdahulu sebelum mereka dari kalangan jin dan manusia. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang merugi. Kemudian dilanjutkan, dan bagi masing-masing diberikan darjat yang sesuai apa yang mereka kerjakan, dan agar mencukupkan bagi mereka (balasan) pekerjaan-pekerjaan mereka sedang mereka tiada merugikan”
(Surah Al-Ahqaf : 18-19)
Di dalam ayat ini terdapat bukti yang menunjukkan bahawa jin yang taat masuk syurga dan yang kafir dan melakukan maksiat akan masuk neraka.

2.0.4 TEMPAT TINGGAL DAN MAKANAN JIN

Bangsa jin lebih mengutamakan untuk tinggal di tempat-tempat yang sunyi dan sepi dari manusia seperti di padang pasir, hutan belantara dan ada juga yang tinggal di tempat yang kotor seperti tempat pembuangan sampah.
Sementara itu, ada juga jin yang tinggal bersama-sama manusia di bandar-bandar besar, dalam rumah, atas bumbung rumah dan sebagainya.
Yazid bin Jabir pernah berkata : “Pada setiap rumah ada jin yang tinggal di atapnya, setiap kali makanan siang diletakkan, maka mereka akan turun dan makan bersama penghuni rumah, demikian pula pada waktu makan petang hari.”
Abu Bakar bin Ubaid dari Yazid juga meriwayatkan : “Pada setiap rumah kaum Muslimin ada jin Islam yang tinggal di atas atap rumahnya, bila makan siang diletakkan, mereka turun dan ikut serta makan bersama penghuni rumah, begitu juga bila makanan malam diletakkan, mereka juga turun makan bersama penghuni rumah.”
Jin juga ada yang menjadikan tandas sebagai tempat tinggalnya. Sebagaimana dalam keterangan hadis dari Yazid bin Arqam menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
“Sesungguhnya pada tiap-tiap tempat pembuangan kotoran ada di datangi jin, kerana itu bila seseorang kamu datang ke tandas maka hendaklah ia mengucapkan doa : ‘Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadamu dari jin lelaki dan perempuan’.”
Yang di maksudkan dengan jin yang tinggal di tandas dalam hadis ialah jin kafir, kerana mereka mengutamakan tempat-tempat najis dan kotor. Justeru itu, jin kafir merasa sesak oleh bau wangi. Sedangkan jin muslim menyukainya sebagaimana orang muslim menyukai bau-bauan yang wangi.
Jin juga sangat suka tinggal di lubang-lubang. Oleh itu ada hadis yang menyebutkan yang bermaksud :“Janganlah kamu kencing di lubang”
Jin juga sangat suka tinggal di tempat-tempat yang terdapat air seperti sungai-sungai, lautan dan sebagainya. Hal ini kerana, apabila azan berkumandang , para jin yang kafir dan syaitan akan lari ke tempat-tempat yang ada air, malahan ada yang lari bersembunyi di dalam lubang-lubang tandas dan kotoran.
Sebagaimana manusia, jin juga memerlukan makanan dan minuman untuk memberi tenaga kepada mereka. Daripada Ibn Mas’ud katanya : Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Aku pernah didatangi jin dan aku pun pergi bersamanya, lalu aku membacakan al-Quran kepada mereka. Ibn Mas’ud berkata : Kemudian Nabi s.a.w mengajak kami pergi dan memperlihatkan bekas jin dan bekas api mereka kepada kami. Mereka meminta bekal kepada Nabi s.a.w. Baginda bersabda : Setiap tulang yang disebut nama Allah ke atasnya adalah bekal kamu dan ia melebihi kelazatan daging dan setiap kotoran binatang adalah sebagai makanan bagi haiwan tunggangan kamu. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda : Oleh itu, janganlah kamu beristinjak dengan tulang atau kotoran haiwan kerana ia merupakan makanan saudara-saudara kamu (jin)”
Selain itu, bagi jin yang kafir dan syaitan pula, mereka makan makanan yang tidak disebutkan Bismillah padanya. Mereka juga makan bahan makanan seperti wap dan bau-bauan dari kemenyan atau sebagainya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan