Selasa, 5 Januari 2010

JIN. GANGGUAN DAN CARA MENGUBATINYA (Bahagian 9)

3.2.3 KERASUKAN AKIBAT DARI GANGGUAN JIN.

Kerasukan jin akan mengakibatkan berlakunya sesuatu yang buruk pada akal manusia sehingga seseorang itu tidak dapat menyedari apa diucapkan dan tidak pula dapat mengaitkan apa yang diucapkan itu kepada orang yang dituju ucapan itu. Hal ini kerana, seseorang yang mengalami kerasukan akibat perbuatan jin akan mengalami hilang ingatan kerana terdapat gangguan pada otaknya.

Gangguan yang terdapat pada akal ini, akan diikuti dengan gangguan pada gerakan badan orang yang kerasukan itu sehingga ia akan berjalan dengan terhuyung-hayang dan tidak dapat mengendalikan diri.

Oleh kerana itu, di antara tanda-tanda terjadinya kerasukan jin itu terhadap seseorang ialah kecelaruan dari segi perkataan, perbuatan dan akal fikiran.

Ibn Hajar berpendapat, yang dimaksudkan dengan kerasukan jin itu ialah penyakit yang menghalangi organ atau bahagian badan yang utama dari tubuh manusia dalam proses hubungannya antara satu sama lain secara sempurna. Di antara penyebabnya adalah adanya udara berat yang tertahan dalam saluran otak atau udara kotor yang naik ke kepalanya dari sebahagian organ atau bahagian yang utama dari tubuh.

Keadaan ini kadang-kadang disertai dengan tersumbatnya bahagian yang utama dari tubuh sehingga mengakibatkan orang yang berkenaan terhuyung-hayang bahkan jatuh serta mengeluarkan buih kerana banyaknya zat kelembapan. Kerasukan ini adalah gangguan daripada jin, dan hal ini tidak akan dapat terjadi kecuali kepada mereka yang mempunyai kekotoran jiwa, ataupun mungkin kerana memang sengaja jin itu ingin mengganggu manusia.

3.3.2.1 DALIL-DALIL TENTANG KERASUKAN JIN.

Kebenaran tentang kerasukan jin ini dikuatkan oleh dalil–dalil daripada al-quran dan as-sunnah serta dalil-dalil yang berdasarkan akal yang dinamakan ijtihad.

a. Dalil yang terdapat dalam al-quran.

Firman Allah s.w.t :
. الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لاَ يَقُومُونَ إِلاَّ كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنْ الْمَسِّ
Maksudnya : “Orang-orang yang memakan riba tidak dapat berdiri melainkan berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran tekanan penyakit gila.”

Imam Al-Qurtubi berkata : “Ayat tersebut merupakan dalil dan alasan yang sangat kuat bagi orang yang mengingkari akan kerasukan jin dan mengatakan bahawa perkara tersebut merupakan pengaruh tabiat atau alasan yang lain bahawa syaitan atau jin tidak dapat masuk pada diri manusia dan tidak akan mengganggunya hingga menjadi gila.”
Imam At-Tabari ketika menafsirkan ayat tersebut juga berkata : “Basyar pernah bercerita kepadaku, katanya : “Yazid telah bercerita kepada kami, katanya : “Telah bercerita kepada kami Sa’id bin Qatadah bahawa riba yang dilakukan oleh orang jahiliah itu ialah seseorang yang menjual sesuatu (sedangkan pembayarannya ditangguhkan) hingga batas waktu tertentu, maka jika telah sampai batas waktunya tetapi masih belum juga dibayar, maka harganya akan ditambah lagi begitu juga dengan dengan waktunya, kemudian Allah s.w.t berfirman kepada orang-orang yang memakan riba sebagaimana yang telah disebutkan sifat-sifatnya itu, bahawa mereka tidak akan dapat berdiri di akhirat dari kubur mereka melainkan seperti orang yang kerasukan syaitan kerana terkena penyakit gila, iaitu syaitan merosak akal fikirannya di dunia sehingga akibatnya ia menjadi gila.
Al-Hafiz Ibn Kathir berkata : “Orang-orang yang memakan riba, mereka itu tidak akan dapat berdiri kecuali seperti orang-orang yang kerasukan syaitan, iaitu berdirinya tidak normal.”

b. Dalil yang terdapat dalam hadith.

Dari Matar bin Abdur Rahman Al-A’naq berkata : Telah bercerita kepadaku Ummu Abban binti Al-Wazi’ bin Zari’ bin Amir Al-Abdi dari bapanya bahawa datuknya Az-Zari’ pergi menemui Rasulullah s.a.w dengan membawa anaknya atau anak saudara perempuannya yang sedang gila, datukku berkata : “Ketika kami pergi menemui Rasulullah s.a.w di Madinah, aku berkata kepadanya : “Ya Rasulullah, sesungguhnya aku membawa anakku atau anak saudara perempuanku yang sedang gila, tujuanku membawanya kepadamu supaya engkau dapat mendoakannya kepada Allah s.w.t”. Maka Rasulullah s.a.w bersabda : “Bawalah anak itu kemari.” Kemudian aku pergi mengambilnya di kenderaanku, lalu aku menggantikannya dengan dua pakaian yang baik dan aku pegang tangannya hingga aku bawa menghadap Rasulullah s.a.w.
Lalu Rasulullah s.a.w bersabda : “Dekatkan anak itu kepadaku kemudian hadaplah punggungnya.” Datukku berkata : “Kemudian Rasulullah s.a.w mengambil kainnya yang tersimpul dari atas dan bawahnya lalu baginda memukul punggung anak itu sehingga aku melihat putih kedua ketiaknya sambil berkata : “Keluarlah wahai musuh Allah , keluarlah wahai musuh Allah.” Kemudian kedua mata anakku itu melihat dengan pandangan yang sihat tidak seperti sebelumnya, Lalu Rasulullah s.a.w mendudukkan anak itu di hadapannya serta berdoa untuknya kemudian mengusap mukanya. Setelah doa dibacakan oleh Rasulullah s.a.w ini, tidak ada seorang pun di antara rombongan yang lebih baik dari anak itu.

Ya’la bin Murrah berkata : “Aku pernah melihat tiga perkara dari Rasulullah s.a.w yang belum pernah dilihat oleh orang yang sesudahku. Ketika kami keluar dalam satu perjalanan hingga akhirnya kami sampai di suatu jalan dan kami lalu dekat seorang wanita yang sedang duduk membawa anaknya, lalu wanita itu berkata : “Ya Rasulullah, sesungguhnya anakku ini terkena bala (musibah), dan kami juga terkena bala darinya, saya tidak tahu entah berapa kali dia diambil dalam sehari.” Rasulullah s.a.w berkata : “Dekatkan anak itu kepadaku.” Lalu wanita itu mengangkat anak tersebut dan meletakkannya di antara Rasulullah dan tali pelana kuda, selepas itu Rasulullah s.a.w membuka mulut anak tersebut dan meludahinya tiga kali lalu berkata: “Bismillah, aku adalah hamba Allah , pergilah engkau wahai musuh Allah.” Kemudian Rasulullah s.a.w menyerahkan anak itu kepada wanita tersebut dan berkata: “Temuilah kami saat kami kembali ke tempat ini nanti dan beritahukan kepada kami apa yang akan dilakukan anak ini.”
Ya’la bin Murrah berkata : “Selepas kami pergi dan kembali, lalu kami menemui wanita itu di tempat tersebut dengan membawa tiga ekor kambing, Rasulullah s.a.w bertanya : “Apakah yang telah dilakukan oleh anakmu?” Wanita itu menjawab : “Demi Allah yang telah telah mengutusmu untuk membawa kebenaran, kami tidak merasakan sesuatu pada anak ini dan dia telah menyembelih kambing-kambing ini.” Rasulullah s.a.w berkata kepada Ya’la : “Turunlah dan ambillah satu di antara kambing tersebut dan yang selebihnya kembalikan kepada wanita itu.”

Dalam riwayat Ahmad, ia berkata : “Telah bercerita kepada kami Waki’, ia berkata : “Telah bercerita kepada kami Al-Amasy dari Al-Minhal bin Amir dari Ya’la bin Murrah bapanya berkata : “Bahawa seorang wanita yang pernah datang kepada Rasulullah s.a.w dengan membawa anaknya yang terkena penyakit gila, lalu Rasulullah s.a.w bersabda : “Keluarlah wahai musuh Allah, aku adalah utusan Allah.” Para perawi berkata : “Selepas itu anak itu sihat. Lalu wanita menghadiahkan Rasulullah s.a.w dua ekor kambing, sedikit samin dan susu. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda : “Ambillah susu, samin dan seekor kambing, sedangkan yang selebihnya kembalikan kepada wanita itu.”

Ata’ bin Abi Rabbah berkata : “Telah berkata kepadaku Ibnu Abbas : “Mahukah aku tunjukkan kepadamu seorang wanita ahli syurga?” Saya menjawab : “Ya” Maka Ibn Abbas berkata : “Wanita hitam ini datang kepada Rasulullah s.a.w serta berkata : “Sesungguhnya aku diserang penyakit gila sehingga terbuka pakaian, maka doakanlah untukku.” Rasulullah s.a.w bersabda : “Jika engkau suka bersabarlah, maka bagimu syurga, dan jika engkau suka pula, maka aku akan berdoa semoga Allah menyihatkanmu.” Wanita itu berkata : “Aku akan tetap bersabar, akan tetapi doakanlah kepada Allah supaya pakaianku tidak terbuka.” Lalu Rasulullah s.a.w mendokan untuk wanita itu”.
Wanita tersebut bernama Ummu Zufar, sedangkan penyakit yang dialami oleh wanita tersebut adalah penyakit gila kerana kerasukan jin.
Dalam riwayat yang lain diterangkan bahawa wanita berkulit hitam itu berkata: “Aku takut kalau-kalau penjahat itu akan menelanjangiku.” Sedangkan yang dimaksudkan dengan penjahat oleh wanita itu adalah syaitan (jin).

Ibnu Mas’ud r.a berkata : “Bila Rasulullah s.a.w akan memulai solatnya, maka Rasulullah s.a.w membaca :
اَللَّهُمَّ إِنِّي أّعُوْذُبِكَ مِنَ الشَّيْطَانِ الَّرجِيْمِ وَهَمَزِهِ وَنَفْخِهِ وَنَفَثِهِ

Ertinya :
Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari syaitan yang terkutuk, dari penyakit gila yang ditimbulkannya, dari muslihatnya dan dari sya’irnya”
Abdul Karim Naufan berkata : “Hadis ini menunjukkan adanya penyakit gila yang ditimbulkan oleh jin kepada diri manusia, kerana dalam doa tersebit Rasulullah s.a.w berlindung dari al-hamaz, sedangkan ertinya ialah penyakit gila yang menimpa diri seseorang atau kerasukan jin”.

Abdul Yusra r.a berkata : “Bahawa Rasulullah s.a.w pernah berdoa :
اَللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوْذُبِكَ مِنَ الْهَرَمِ وَالتَرَدِّى وَالْهَدَمِ وَالْغَمِّ وَالْحَرِيْقِ وَالْغَرَقِ وَأَعُوْذُبِكَ أَنْ يَتَخَبَّطَنِىْ الشَّيَطَانُ عِنْدَ الْمَوْتِ وَأَنْ أُقْتَلَ فِيْ سَبِيْلِكَ مُدْبِرًا وَأَعُوْذُبِكَ أَنْ أَمُوْتَ لَدِيْغًا

Ertinya :
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari ketuaan, ragu-ragu, kehancuran, kesedihan,kebakaran dan tenggelam. Aku berlindung kepada-Mu dari kemasukan syaitan pada waktu kematian, dibunuh di jalan-Mu dalam keadaan lari meninggalkan medan peperangan, dan aku berlindung kepada-Mudari mati dalam keadaan terkena sengat”.

Dari Safiyah binti Huyai r.a berkata : bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :
إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِيْ مِنْ ابْنِ ﺁدَمَ مَجْرَىْ الدَّمِ

Maksudnya : “Sesungguhnya syaitan itu mengalir pada tubuh anak Adam seperti aliran darah.”

Dari Usman bin Abil r.a : “Ketika aku ditugaskan oleh Rasulullah s.a.w ke Thaif, pada waktu aku diganggu oleh sesuatu dalam solatku sehingga aku tidak tahu entah solat apa yang sedang aku kerjakan, lalu aku pergi menemui Rasulullah s.a.w, maka Rasulullah s.a.w bersabda : “Apa yang terjadi wahai Usman?” Maka aku menjawab : “Ya Rasulullah, sesungguhnya aku telah diganggu oleh sesuatu dalam solatku, sehingga aku tidak tahu entah solat apa yang aku kerjakan itu”. Rasulullah s.a.w bersabda : “Itu adalah gangguan syaitan, oleh kerana itu mendekatlah kepadaku”. Maka aku pun mendekatkan diri kepada Rasulullah dan aku duduk di atas kedua kakiku. Lalu Rasulullah s.a.w memukul dadaku dengan tangannya dan meludahi mulutku sambil bersabda : “Keluarlah wahai musuh Allah”. Rasulullah s.a.w berbuat demikian sampai tiga kali, selepas itu baginda bersabda : “Teruskanlah pekerjaanmu”. Usman berkata : “Demi Allah, selepas itu aku tidak pernah diganggu lagi”.

c. Dalil yang berdasarkan kepada akal.

Muhammad Al-Hamid berkata : Jika jin bertubuh halus, maka menurut akal mahu pun agama, tidaklah mustahil bahawa ia akan dapat masuk ke dalam tubuh manusia, kerana yang halus akan dapat masuk ke dalam yang tebal, seperti udara dapat masuk ke dalam tubuh kita, atau api dapat masuk ke dalam bara, atau elektrik dapat mengalir di dalam wayar, bahkan seperti air di dalam tanah, debu dan pakaian, padahal ianya tidak sehalus udara dan elektrik.

Sikap bagi orang yang menerima kebenaran ialah menerima dalil-dalil yang memberitahu bahawa jin dapat memasuki ke dalam tubuh manusia. Kenyataannya telah banyak kita saksikan sehingga kita tidak dapat untuk menolaknya. Di dalam hal ini, kita dituntut untuk mengimaninya supaya kita selamat di akhirat kelak.
Al-Qadhi Abdul Jabar Al-Hamazani berkata : “Jika benar hasil dari kesimpulan kami bahawa jin itu adalah makhluk yang bertubuh halus seperti udara, maka tidaklah mustahil makhluk ini akan dapat masuk ke dalam jasad manusia sebagaimana halnya udara dapat keluar masuk ke dalam tubuh manusia”.

d. Pendapat-pendapat dari Para Ulama’.

Telah dikemukakan pendapat-pendapat dari para ahli tafsir seperti At-Tabari., Al-Qurtubi, Ibnu Kasir dan Al-Alusi

Al-Asy’ari iaitu salah seorang tokoh daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah berpendapat bahawa jin dapat masuk ke dalam tubuh manusia berdasarkan kepada ayat al-Quran daripada surah Al-Baqarah ayat 275.

Abdullah bin Ahmad bin Hanbal berkata : “Aku berkata kepada bapaku : sesungguhnya ada orang yang berpendapat jin tidak dapat masuk ke dalam tubuh manusia, lalu bapaku menjawab : “Wahai anakku, sesungguhnya mereka telah berdusta kerana mereka berkata melalui lidahnya”.

Syeikhul Islam Ibn Taimiyah berkata : “Kedudukan jin telah dijelaskan oleh al-Quran, As-Sunnah dan kesepakatan para ulama’ Salaf dari umat ini. Begitu juga dapat masuknya jin ke dalam tubuh manusia telah disepakati oleh para Imam Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ia adalah merupakan perkara yang dapat disaksikan dan dirasakan. Jin dapat masuk ke dalam tubuh seseorang sehingga mengakibatkan orang tersebut akan berbicara dengan pembicaraan yang tidak dapat diketahui dan disedarinya.Bahkan jika dipukul dengan pukulan yang sangat kuat sekalipun, dia tidak akan dapat merasakannya. Sebagaimana firman Allah s.w.t yang maksudnya : “ Seperti orang yang kerasukan syaitan kerana penyakit gila”, Rasulullah s.a.w pula bersabda yang maksudnya : “Sesungguhnya syaitan mengalir dalam tubuh anak Adam seperti mengalirnya darah”.

Ibn Qayyim berkata : Kerasukan itu ada dua,
1) Kerasukan kerana roh-roh jahat dan rendah
2) Kerasukan kerana perangai-perangai jahat.

Ibn Hazm berkata : Sebagaimana yang dijelaskan dalam Al-Quran memang benar bahawa syaitan dapat masuk ke dalam tubuh manusia, lalu membangkitkan perangai-perangainya yang buruk (hitam) dan asap yang naik ke otak sebagaimana yang dikatakan oleh orang-orang yang kerasukan itu. Lalu pada saat itu, Allah s.w.t menjadikannya kerasukan syaitan atau jin sebagaimana yang kita saksikan. Hal ini telah dijelaskan oleh ayat al-Quran dan telah kita saksikn dari kenyataan.

d. Pendapat dari Doktor Perubatan

Seorang ilmuan yang berasal dari Amerika bernama Carrington berkata : “Jelas, bahawa kerasukan (syaitan atau jin) setidak-tidaknya merupakan kenyataan yang tidak dapat untuk diabaikan oleh ilmu pengetahuan selama adanya hakikat yang mengagumkan yang mendukungnya.

Dr. James Haislon berkata : ‘Kerasukan jin adalah pengaruh luar biasa yang dilakukan oleh makhluk luar yang mempunyai kesan pada akal dan pada jasad seseorang. Kita tidak dapat mengingkari kemungkinan terjadinya kerasukan makhluk halus.

Dr. Ahmad Sabahi ‘Ihwadhullah berkata : “Kerasukan adalah hasil dari perbuatan roh-roh jahat dan rendah. Untuk menyembuhkannya adalah dengan mengadakan perlawanan melalui roh-roh mulia, baik dan mempunyai nilai yang tinggi, sehingga dengan demikian akan dapat menolak pengaruh dan menentang perbuatannya. Perkara ini dapat dilakukan oleh orang-orang yang soleh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan